My Followers

Jangan kira halal begitu sahaja ...





SEBAGAI sebuah negara majmuk yang mempunyai kepelbagaian kaum, adat dan agama, Malaysia tidak pernah membataskan hak untuk rakyatnya menjalankan apa jua jenis perniagaan.

Pun begitu, kebebasan ekonomi yang diberikan kerajaan tidak bermakna si peniaga boleh sewenang-wenangnya tidak menghormati sensitiviti para pelanggan terutamanya masyarakat Islam yang menjadi majoriti penduduk di negara ini.

Pastinya bagi semua pihak yang terlibat dalam aktiviti ekonomi, terutamanya mereka yang terlibat dalam industri makanan, sedar dan mengetahui bahawa umat Islam terikat dan berpandu kepada soal halal dan haram produk yang dibeli.

Halal dan haram dalam Islam secara ringkas meruju kepada perkara yang dibolehkan dan dilarang di mana bagi seorang muslim, ia membabitkan soal keimanan serta kepercayaan mereka.

APA KENA MENGENANYA DENGAN PENGANUT AGAMA LAIN?

Kata kuncinya di sini ialah ekonomi dan masyarakat majmuk.

Setakat ini, pengetahuan umum masyarakat bukan Islam terbatas kepada khinzir dan arak. Mereka sering berpendapat bahawa tanpa mengandungi kedua-dua benda itu, ianya sudah memadai untuk dianggap sebagai halal. Ianya adalah sangat penting bagi peniaga dan juga pengguna untuk mengetahui secara khusus erti halal itu.

Tidak ramai daripada mereka menyedari bahawa bagi seorang muslim, ianya lebih daripada itu di mana setiap daging yang dimakan perlulah datang dari haiwan yang disembelih cara menurut kaedah yang ditetapkan oleh Islam.

Ini kerana, contohnya apabila seekor ayam disembelih, akan membantu untuk menyalurkan seluruh darah (yang mana haram bagi seorang muslim untuk memakannya) dalam badannya keluar.

Ini kerana darah di dalam Islam tergolong dalam bahan kumuhan atau buangan dan dianggap sebagai najis. Kaedah penyembelihan yang dianjurkan Islam iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam pada urat lehernya membantu organ-organ penting dalam tubuh sembelihan itu tidak rosak dan mengelakkan darah daripada tersekat dan kekal menjadi darah kental.

Peniaga merupakan pihak yang memberi khidmat berbayar dan ia menjadi kewajiban mereka untuk memberikan khidmat yang setimpal dengan apa yang dibayar pengguna.

Dalam konteks ini, ia bermakna dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna muslim, peniaga wajar memberikan perhatian kepada soal halal dan haram supaya hak kepenggunaan para pelanggan terpelihara.

Ia juga akan menguntungkan peniaga kerana dengan memahami dan menjaga sensitiviti pelanggan Muslim, dia pastinya akan menarik lebih ramai pengguna yang beragama Islam.

Halal dan haram tidak terbatas kepada makanan sahaja, di mana ia turut meliputi bahan yang digunakan dalam pengeluaran produkproduk seperti pakaian dan kasut. Bagi peniaga yang bijak, mereka sewajarnya bersikap proaktif dengan mengasingkan dan melabelkan produk yang diperbuat daripada bahan haram seperti kulit khinzir dengan jelas.

Pada hari ini, kita dapat lihat umat Islam semakin prihatin mengenai soal halal dan haram produk di mana ia menjadi isyarat kepada rakan-rakan bukan Islam untuk turut sama menitik beratkan perkara ini berdasarkan semangat muhibbah dan ekonomi.

Dalam konteks ini, ia bermakna peniaga bukan Islam terutamanya peniaga kedai makanan seperti kopitiam dan sebagainya tidak wajar sama sekali mengguna taktik kotor seperti menggantung ayat-ayat suci Al-Quran di dinding atau dalam premis perniagaan bagi menarik pelanggan mereka.

Ia juga bermakna para peniaga atau pengilang bukan Islam sewajarnya mula menggunakan hanya label halal atau sijil halal yang diiktiraf kerana ia merupakan satu jaminan bahawa mereka telah mematuhi tuntutan hukum Syarak dalam aktiviti pengeluaran.

Apatah lagi dewasa ini, di bawah pindaan Akta Perihal Dagangan yang telah dilaksanakan sejak Januari lalu telah memperuntukkan penalti yang berat terhadap pelanggaran undangundang dalam hal berkaitan dengan halal.

Kemajuan dunia maklumat dan teknologi sebenarnya sangat membantu masyarakat hari ini untuk mengetahui status sesuatu produk. Kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memeriksa status halal atau haram sesuatu produk itu kini boleh dilakukan hanya dengan menggunakan kemudahan semakan dalam talian dan SMS (sistem pesanan ringkas).

Semakan itu merangkumi semakan status halal produk, premis dan rumah sembelihan yang mendapat sijil Halal Malaysia. Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak status halal ialah taip halal (nombor kod bar) dan hantar kepada 32728. Selain daripada itu, Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka untuk mendapatkan maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan.

Oleh itu, tunggu apa lagi? Halal bukan suatu perkara yang merugikan, jadi sewajarnya semua mula mengorak langkah bagi memastikan ia tidak lagi menjadi satu isu.

- Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur. (PKPKL@hotmail.com)
Post a Comment