Tuesday, May 29, 2012

Elak bersih enjin guna air





WALAUPUN enjin terselindung di bawah bonet, kadang kala ia boleh menyakitkan mata jika melihatnya dengan keadaan yang kotor apabila diselaputi debu bercampur minyak.

Kawasan itu boleh dianggap `sensitif' jika tidak tahu cara untuk membersihkannya, malah boleh memberi masalah besar dan menyebabkan duit 'melayang' begitu saja.

Bagi membersihkan kawasan itu, usah menggunakan air kerana kebiasaannya pada permukaan enjin terdapat banyak minyak yang mana kotoran itu tidak dapat dihilangkan.

Malah, penggunaan air boleh menyebabkan litar pintas dan menyebabkan kereta meragam.

Seelok-eloknya, gunakan bahan yang paling klasik iaitu minyak tanah untuk menghilangkan minyak atau gris pada bahagian enjin.

Bagaimanapun, anda boleh membeli banyak bahan pencucian yang dijual di kedai aksesori untuk menghilang gris dan tar dengan menyemburkan bahan berkenaan di tempat diperlukan dan biarkan ia meresap sebelum mengelap menggunakan kain kering.

Gris dan sisa minyak pelincir perlu dibersihkan dengan segera daripada bahagian luaran enjin kerana boleh merosakkan tali kipas, paip getah serta kabel elektrik.

Selain gris, debu atau lumpur yang melekat pada komponen elektrik seperti alternator (motor penghidup), generator, gegelung penghidup, pengagih dan lampu boleh menyerap wap air serta boleh menyebabkan litar pintas.

Enapan putih pada terminal bateri pula boleh dihilangkan dengan menyiram siram air panas kemudian membersihkan dengan kain.

Enapan itu dapat dihilangkan dengan mudah, tetapi jangan sampai air masuk ke dalam bateri.

Ketika mencuci bahagian enjin, pemilik kenderaan dapat memastikan jika ada kebocoran minyak pelincir.

Oleh itu, jika mengesan kebocoran minyak pelincir, cari segera puncanya dan tambahkan minyak pelincir jika kurang.

Ini berikutan gasket kebuk enjin akan bocor selepas beberapa tahun sehingga menyebabkan minyak pelincir akan menitis.

Ia dapat dikesan pada lantai tempat kereta diletakkan. Jika jumlah titisan itu banyak, mungkin gasket di 'oil sum' yang rosak.

Dalam keadaan biasa minyak pelincir akan berkurangan menerusi pemeluwapan dan pembakaran. Tapi jumlahnya tidak banyak kira-kira 1/300 hingga 1/500 daripada jumlah penggunaan petrol.


Sumber: Harian Metro

No comments: