Wednesday, February 22, 2012

Dana kecemasan

APA yang akan berlaku jika tiba-tiba anda tidak mampu membiayai pendidikan anda? Bolehkah anda mengorbankan matlamat dan memperoleh ijazah atau adakah anda mempunyai rancangan sokongan untuk menghadapi perkara tidak diduga?

Dalam kehidupan, ada banyak ketidaktentuan yang mungkin anda hadapi - daripada kerosakan kecil kenderaan kepada kematian pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Peristiwa yang tidak diduga mungkin berlaku dan membawa kemudaratan kepada anda atau ahli keluarga. Dalam kebanyakan keadaan seperti itu, wang diperlukan.

Adalah amat penting bagi anda untuk bersedia dan mempunyai sumber sokongan serta pengetahuan untuk menghadapi situasi yang memerlukan anda berfikir bagaimana menyelesaikan masalah yang mungkin di luar pengalaman anda.

Dana kecemasan adalah salah satu alat sokongan yang boleh digunakan. Senaraikan dana kecemasan sebagai suatu matlamat kewangan anda.

Sebagai panduan, anda memerlukan simpanan bagi perbelanjaan sara hidup selama sekurang-kurangnya enam bulan dalam dana kecemasan anda. Malah lebih baik menyimpan bagi perbelanjaan sehingga 12 bulan.

Contohnya, jika anda memerlukan lebih kurang RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup, termasuk bayaran tetap seperti pinjaman perumahan atau sewa dan premium insurans, bil elektrik dan air. Anda sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM9,000 dalam dana kecemasan (RM1,500 x 6 bulan).

Jika boleh, simpan RM1,8000 dalam dana kecemasan (RM1,500 x 12 bulan). Pada mulanya mungkin sukar bagi anda menyimpan wang sebanyak itu, tetapi simpanlah sedikit demi sedikit bagi tempoh tertentu untuk membina dana ini.

Ingat, anda harus berusaha gigih untuk menyimpan wang.

Aset dan liabiliti

APA yang anda miliki dan apa yang anda berhutang. Dalam perancangan kewangan, anda perlu menilai kedudukan kewangan semasa anda.

Ini bermakna dari segi kewangan, apa yang dimiliki dan jumlah yang dihutang serta baki yang ada selepas menolak bayaran lain. Dalam erti kata lain, berapakah baki wang yang tinggal di tangan anda?.

Untuk melakukan ini, anda memerlukan dua jenis penyata kewangan iaitu penyata kira-kira peribadi dan penyata aliran tunai.

Kedua-dua penyata ini dapat membantu anda memberikan maklumat mengenai kedudukan kewangan semasa dan ringkasan pendapatan dan perbelanjaan anda.

Mengukur pencapaian anda dalam memenuhi matlamat kewangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Menyimpan maklumat mengenai aktiviti kewangan anda seperti pelaburan dan corak perbelanjaan.

Menyediakan data yang boleh digunakan untuk mengisi borang cukai pendapatan atau membuat permohonan pinjaman bank. Penyata kewangan peribadi mencatatkan apa yang anda miliki dan apa yang anda hutang.

Apa yang dimiliki (aset) termasuk wang tunai, tabungan, hartanah, amanah saham atau saham syarikat. Manakala hutang anda (tanggungan) merangkumi semua jenis pinjaman.

Sama ada hutang bank, keluarga atau kawan, selain hutang kad kredit dan pembayaran yang dijangka seperti sewa rumah dan bil utiliti.

Penyata kira-kira peribadi adalah kad skor yang lazimnya boleh digunakan untuk menilai kedudukan kewangan anda. Ini boleh menjadi titik rujuk semasa membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan.

Contoh penyata kira-kira peribadi yang disediakan di bawah boleh digunakan sebagai panduan untuk membuat penyata anda. Penyata kira-kira peribadi ini mempunyai nilai harta bersih yang positif kerana jumlah aset melebihi jumlah liabiliti.

Contoh penyata kira-kira peribadi

Butiran - Aset (RM) - Liabiliti (RM)

Akaun bank

Akaun simpanan - 5,237

Akaun semasa - 3,532

Akaun simpanan tetap - 25,835

Wang tunai di tangan - 1,235

Harta

Pangsapuri - 250,000 - 189,532

Rumah

Tanah

Barangan kemas - 7,695

Kereta - 60,000 - 36,572

Pelaburan

Kumpulan Wang Simpanan

Pekerja (KWSP) - 55,267

Amanah saham - 15,982

saham

Pinjaman Bank

Kad kredit - 11,278

Pinjaman pelajaran - 6,238

Pinjaman rakan dan keluarga

Sewa-beli perabot dan barangan elektrik - 10,672

Jumlah - 424,783 - 254,292

Nilai harta bersih - 170,491

Sumber: Berita Harian - Sat, Feb 18, 2012 - Inspirasi - Oleh Alzahrin Alias

No comments: