Wednesday, January 18, 2012

Lena diulit mimpi


ATAS alasan bilik tidur hanya untuk beradu dan tidak dikunjungi tetamu, anda mengabaikan saja ruang itu. Sebaiknya, belajar menghargai bilik tidur dengan mengetengahkan hiasan mengikut cita rasa atau mengambil inspirasi pereka dalaman tersohor.

Namun perlu diingat, bukan saja reka bentuk katil, almari solek serta pencahayaan perlu diberi keutamaan, sebaliknya beri perhatian kepada kepala katil yang menjadi sebahagian hiasan penting.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi mencantikkan bahagian kepala katil. Namun, apa yang paling menonjol ialah menggantung lukisan kegemaran di bahagian itu. Pilihan genrenya sepatutnya menampakkan keserasian antara cat dinding serta kemasan utama seperti cadar dan langsir. Namun, boleh saja mencuba warna kontras bagi mendapatkan impak serta suasana dramatik.

Namun, lukisan sebagai hiasan dinding terbaik mengiringi katil berkaki lebar. Ia mampu menyerlahkan estetika lukisan berkenaan. Disebabkan itu, sebolehnya, buat sedikit pelaburan dengan membeli karya pelukis nama besar atau setidaktidaknya, memaparkan eksperimen seni mengagumkan.

Hindari memilih imej berskala kecil kerana sukar dilihat serta dihayati dari jauh. Untuk fikiran tidak berkecamuk selain dapat tidur lena, pastikan lukisan pilihan itu memaparkan karya mudah ditafsir, gambar pemandangan alam serta rekaan bingkai sederhana.

Lukisan itu pula perlu digantung tinggi supaya tidak ditindih bantal dan jika berhasrat menjadikannya titik tumpu ruang, pasang lampu tumpu khas memfokuskan keindahan lukisan itu saja.

Bagi katil mempunyai bod kepala namun sudah tidak menarik dipandang, kembalikan semula serinya dengan lilitan fabrik organza. Selain melindungi permukaan yang sudah calar dan buruk, fabrik jarang itu mampu mengungkap suasana romantik lalu menjadikan tidur lebih mengasyikkan.

Sesetengah rekaan katil amat membosankan, maka bantuan aksesori amat diperlukan. Bagi menambah drama selain mengekalkan katil sebagai perabot utama, tempatkan panel penghadang berukir atau bermotif menarik pada bahagian kepala katil.

Kediaman jenis apartmen memang memerlukan cahaya semula jadi supaya ruang sempit tampak segar, luas dan berudara. Namun, pencahayaan berlebihan juga tidak baik kerana mengundang rasa berbahang. Kaedah mengurangkan bahang itu adalah dengan meletakkan penghadang berhampiran tingkap. Jika kedudukannya dekat dengan kepala katil, secara tidak langsung ia membentuk sebahagian hiasan di tempat berkenaan.

Katil yang tidak menyediakan kepala, patut diletak menghimpit dinding yang dilengkapi rak terbuka serta dihiasi. Bagi yang berkemampuan, pasang kemasan kulit atau gentian PVC di dinding terbabit. Pilihan kemasan kulit sebagai kepala katil selain unik, dianggap menguntungkan kerana tahan lasak serta mudah disenggarakan. Ia hanya perlu dilap dengan kain lembap bagi membersihkannya.

Penggunaan lampu tidur berciri mudah alih dengan cahaya boleh diselaraskan juga berbaloi ditempatkan di kepala katil. Selain menemani tidur dengan cahaya samar, ia juga juga berguna bagi mereka yang gemar membaca novel, akhbar selain melayari internet sebelum melelapkan mata.

Kadangkala aksesori sampingan berperanan mengindahkan suasana bilik. Supaya ruang dilihat harmoni dan saling menyahut, pastikan pilihan corak serta warna cadar, bantal, gebar selesa, langsir dan permaidani digunakan tidak lari jauh dengan warna kepala katil.

Peringatan bagi keluarga mempunyai anak kecil yang masih tidur bersama, elak memilih kepala katil berbucu tajam. Ia dikhuatiri menyebabkan kemalangan tidak diingini, misalnya kepala terhantuk pada bucu. Justeru, demi keselamatan, anda disyorkan memilih kepala katil yang menawarkan ciri keselamatan seperti kepala dipan dan jika inginkan kayu, pastikan memilih rekaan berbucu bulat.

Gantungan cermin besar di kepala katil mewujudkan kesan luas secara ilusi. Gaya ini amat dialualukan bagi bilik luas terhad. Untuk tampak simetri, gantung sebuah lukisan menarik perhatian di dinding bertentangan dengannya. Selain cermin besar, menarik juga dilekat cermin kecil yang diatur mengikut pola corak tertentu.

Gambar kenangan menggamit memori dan bernilai sentimental. Maka, tempat paling sesuai untuknya adalah di dinding kepala katil. Bagi menguatkan lagi nilai nostalgia, pilihlah gambar bercetak hitamputih dengan bingkai rona putih. Atur dalam kedudukan mendatar dan sebaiknya, sehingga mencecah siling supaya ia juga boleh dijadikan titik fokus ruang.

Sementara, bagi pemilik katil lama, pastinya sakit mata memandang kepala katil yang sudah usang akibat kena hentaman dan digores.

Kepala katil logam atau besi tempawan lebih tidak enak dipandang berikutan catnya menggelupas dan logamnya yang mula berkarat.

Namun, jangan terus dibuang, sebaliknya kembalikan ia semula ke rupa asal melalui sarung upholsteri. Pelbagai warna serta corak boleh dicuba namun bagi yang mementingkan keseragaman, pastikan pilihan anda mengikut tema serta konsep dan seeloknya, menampilkan sama motif dengan cadar, langsir serta permaidani.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Jan 15, 2012 - Rona - Oleh Bennie Zie Fauzi

No comments: