My Followers

Wan Mat Saman Bapa Pembangunan Kedah

Wan Muhammad Saman

CATATAN sejarah menunjukkan Kedah sejak beratus tahun lalu adalah negeri pertanian dengan padi menjadi tanaman utama penduduk. Ia disebabkan keadaan bentuk muka bumi negeri itu yang rendah dan pamah menjadikannya amat subur untuk tanaman padi.

Di samping pertanian, Kedah juga dikatakan unggul sebagai destinasi perdagangan di rantau ini apabila menjual bijih timah, lada hitam dan gajah untuk kenderaan dan pengangkutan.

Bagaimanapun, apabila Pulau Pinang dijajah Inggeris pada 1786, kesibukan Kedah sebagai negeri perdagangan bertukar menjadi sepi.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, berkata namun selepas kelahiran Wan Muhammad Saman Wan Ismail, pada 1830-an yang kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah yang pertama (kini jawatan itu dikenali Menteri Besar), membuka lembaran baru kepada Kedah.

Lahir di Alor Janggus, kira-kira sembilan kilometer dari bandar raya Alor Star pada 1830-an, Wan Muhammad Saman mendapat pendidikan asas dalam pengajian al-Quran ketika kecil. Sesuai dengan zaman itu, beliau juga diajar ilmu berperang dan boleh bertutur bahasa Thai.

Kemampuan cemerlang Wan Muhammad Saman itu mendorong Sultan Kedah ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin III memilihnya mengiringi baginda ketika melawat Siam pada 1865 untuk meninjau pembangunan di negara Gajah Putih itu.

Melihatkan kepada keupayaan dan kemampuannya yang luar biasa, Sultan Ahmad Tajuddin III mewujudkan satu jawatan Perdana Menteri pada 1870 dan melantik Wan Muhammad Saman yang juga ipar baginda untuk menyandangnya.

Beliau berkata, dengan jawatan itu, Wan Muhammad Saman melaksanakan pelbagai perubahan dalam pentadbiran Kedah. Pertama, menyelaraskan semua pemerintahan di bawah pentadbirannya. Dalam hubungan itu, beliau menjadikan Alor Star sebagai pusat pentadbiran negeri.

Wan Muhammad Saman dikatakan berazam mahu mengembalikan kegemilangan Kedah sebagai pusat kegiatan ekonomi yang tersohor di rantau ini.

Dibantu oleh menteri keempat, kelapan, ke-16 dan pembesar daerah, beliau sering bermesyuarat di Balai Besar, Alor Star bagi mencari idea baru membangunkan ekonomi.

Beliau juga dikatakan akan menasihatkan Sultan menyingkirkan pembesar daerah tertentu sekiranya tidak sesuai memikul tanggungjawab baru serta bertindak sebagai penasihat peribadi Sultan dalam semua aspek pembangunan.

Wan Muhammad Saman menyerahkan pentadbiran hal-ehwal orang Cina kepada kapitan Cina.

Hasil pertambahan pengalaman selepas melawat Pulau Pinang dan Siam pada 1865, beliau melancarkan pelbagai program pembangunan di Kedah. Usaha pertama ialah memberi peluang kepada orang Cina membuka kebun kopi, kebun pala dan kebun cengkih di Bukit Pinang. Usaha itu sedikit sebanyak dapat merancakkan ekonomi negeri.

Dasar pembangunan yang dibawa Wan Muhammad Saman dikatakan amat serasi dengan zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin III yang menubuhkan sekolah Melayu pertama di Padang Lepai, Kota Setar pada 1861, membina jalan raya, memperkenalkan rawatan perubatan moden dengan mengambil seorang doktor dari Madras selain menggalakkan saudagar asing dari India dan Cina menjalankan perniagaan di Kedah.

Beliau turut membesarkan bandar Alor Star sehingga berkembang ke Anak Bukit dan Langgar. Pelbagai insentif diberikan kepada saudagar asing supaya melabur di Kedah.

Turut dibangunkan ialah jalan raya dan titi batu di Sungai Alor Merah. Pembangunan pesat itu memerlukan lebih ramai buruh dibawa masuk dari China dan India.

Dalam bidang pendidikan pula, Wan Muhammad Saman mendirikan banyak sekolah untuk rakyat. Beberapa sekolah Melayu didirikan di Changlun (1892), Kulim (1896) dan Alor Star (1898). Mata pelajaran yang diajar ialah menulis, membaca jawi, kira-kira dan ilmu alam. Guru khas mengajar Bahasa Thai juga disediakan.

Ketika melawat Siam, beliau tertarik dengan pelbagai terusan yang menjadi jalan perhubungan serta pengangkutan di Bangkok. Ini menimbulkan ilham kepadanya untuk membina sebatang terusan di Kedah bagi mengemaskan sistem tali air di negeri itu.

Wan Shamsudin berkata, iltizam yang tinggi bagi melihat hasil padi ditingkatkan, Wan Muhammad Saman mengerah penduduk kampung menggali terusan sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerai di Kuala Muda hingga ke Tandop, Alor Star. Saliran itu lebih dikenali sebagai Terusan Wan Mat Saman dan dikatakan terusan terpanjang di dunia yang digali menggunakan tulang empat kerat.

Kerja pembinaan terusan itu dikatakan membabitkan lebih 5,000 tenaga penduduk tempatan.

Terusan selebar enam meter dan sedalam 2.5 meter itu terbukti mampu menambah hasil padi ketika itu dan hasilnya, pada 1969 tercetuslah idea untuk memperbaiki sistem saliran oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Selepas melalui pelbagai kesukaran, terusan itu berjaya disiapkan pada 1896, sebelum Wan Muhammad Saman meninggal dunia dua tahun selepas itu.

Kegigihan Wan Muhammad Saman memajukan Kedah melalui pelbagai idea baru ketika itu, tidak hairanlah beliau digelar Bapa Pembangunan Kedah oleh ramai sejarawan.

Info

Wan Muhammad Saman

* Lahir pada 1830-an di Alor Janggus, dekat Alor Star.

* Mendapat pendidikan agama dan al-Quran, tetapi bijak dalam merancang strategi pembangunan negeri sehingga mendapat kepercayaan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin III.

* Giatkan aktiviti ekonomi di bandar Alor Star dengan membina lebih banyak kedai dan menggalakkan kedatangan pedagang Cina.

* Memberi sumbangan dalam membangunkan bandar Alor Star dan aspek pendidikan.

* Membina Terusan Wan Mat Saman sepanjang 35km dari kaki Gunung Jerai di Kuala Muda hingga ke Tandop, Alor Star.

Sumber : Berita Minggu - Sun, Jun 22, 2008 - 06 - Dimensi - Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
Post a Comment