Tuesday, December 27, 2011

Cara belanja wang bonus



TAHUN 2011 semakin hampir ke penghujungnya dan pekerja biasanya ternanti-nanti untuk mendapat bonus daripada majikan. Berikut beberapa cadangan yang boleh digunakan bagi merancang perbelanjaan wang bonus anda.

Bayar diri anda dulu

Biasanya, sebelum mendapat bonus, anda sudah memikirkan pelbagai cara untuk membelanjakannya, mungkin ada yang ingin membeli kereta baru, mengubah suai rumah, membeli-belah, pergi bercuti, beli barang keperluan anak dan sebagainya. Sabar dulu!

Teknik `bayar diri anda dulu' (pay yourself first) cara paling berkesan dalam pengurusan kewangan. Mudah saja untuk melaksanakannya. Simpan sebahagian wang bonus itu sebelum mula berbelanja. Jumlah yang ingin disimpan pula terpulang kepada anda - lagi banyak, lagi bagus. Biasanya anda dinasihatkan menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus.

Wujudkan dana kecemasan

Gunakan wang bonus yang baru diterima untuk membentuk dana kecemasan yang sangat penting bagi memastikan anda mampu terus menjalankan kehidupan seperti biasa biarpun ditimpa perkara tidak diingini. Jumlah dana kecemasan yang dicadangkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada jumlah perbelanjaan sebulan. Jika dana ini sudah digunakan, anda dinasihatkan menggantikannya secepat mungkin.

Langsaikan hutang

Gunakan duit bonus untuk melangsaikan hutang sedia ada. Anda boleh melangsaikan terus atau mengurangkan jumlah hutang dengan membayar lebih banyak daripada kadar bayaran bulanan. Dengan melangsaikan atau mengurangkan tanggungan hutang, anda dapat mempercepatkan proses pembayaran, sekali gus menjadikan anda bebas daripada beban kewangan. Langsaikan dulu hutang yang mengenakan caj faedah tinggi seperti kad kredit.

Pelaburan

Wang bonus juga boleh dilaburkan dalam skim pelaburan yang sah dan dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Pastikan anda faham apa yang anda laburkan dengan mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai produk dan syarikat yang menguruskan pelaburan itu.

Pastikan anda memilih produk pelaburan yang sesuai dengan profil risiko dan matlamat pelaburan. Anda perlu faham, prinsip asas pelaburan adalah `lebih tinggi pulangan daripada sesuatu pelaburan, lebih tinggi risikonya'.

Perlu diingat, setiap jenis pelaburan mempunyai strategi pelaburan tersendiri dan tidak semestinya berkesan jika digunakan dalam produk pelaburan lain. Elakkan daripada melabur dalam skim pelaburan tidak sah. Sentiasa periksa dengan SC atau pihak berkuasa lain sebelum menyertai sebarang skim pelaburan.

Beli aset


Satu lagi tindakan bijak membelanjakan wang bonus ialah membeli aset. Secara amnya, aset ialah apa saja yang dimiliki dan memberi nilai tambah kepada kewangan anda, sama ada dalam jangka masa panjang mahupun singkat.

Dengan menggunakan wang bonus untuk menambah aset, anda memberikan ruang kepada nilai bersih diri (net worth) untuk berkembang pada masa depan. Contoh aset yang bertambah nilainya ialah rumah, emas, berlian dan hartanah.

Kesimpulan


Semua perkara di atas adalah cadangan perbelanjaan wang bonus yang mungkin anda tahu. Bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkan adalah dua perkara berbeza. Pastikan anda mengikut bajet dalam membelanjakan wang bonus. Selamat merancang!

* ARTIKEL ini dibawa oleh (C) Securities Industry Development Corporation. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan bijak, layari laman web Pelabur Malaysia (www.min.com.my). Jika anda ingin berkongsi, menerbit atau mengedarkan artikel ini, sila e-mel ke: min@min.com.my

No comments: