Wednesday, August 10, 2011

Anak cerewet makan patut diberi perhatian

IBU bapa yang mempunyai anak cerewet makan saja yang tahu betapa sukarnya berhadapan masalah ini. Bayangkan masa makan yang hanya setengah jam boleh bertukar menjadi berjam-jam semata-mata menggoda selera si kecil untuk makan.

Kegemukan atau obesiti di kalangan kanak-kanak antara masalah yang gemar diperkatakan, bagaimanapun tanpa disedari isu kanak-kanak yang cerewet makan juga semakin meningkat malah dianggarkan kira-kira 45 peratus ibu bapa membawa anak mereka untuk rujukan dan perkara paling ditakuti ia akan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan psikologi kanak-kanak berkenaan.

Pakar Perunding Pediatrik, Dr William C MacLean Jr, berkata antara tanda kanak-kanak cerewet makan ialah keengganan untuk mengambil pelbagai makanan hingga menjurus kepada pengambilan satu jenis makanan saja untuk jangka waktu yang lama, keengganan untuk mencuba makanan baru selain tidak suka sesetengah jenis makanan.

Katanya, punca kenapa kanak-kanak cerewet makan adalah pelbagai dan antara yang utama ialah cara hidup moden, apabila ibu bapa lebih gemar membawa anak makan di luar dan kekurangan masa terluang untuk menyediakan anak makanan sesuai dengan usia mereka.

"Apabila kanak-kanak memasuki usia dua tahun, selera makan mereka berkurangan dan pengambilan makanan juga berkurangan. Kalau zaman dulu ketiadaan televisyen umpamanya membolehkan anak memberikan tumpuan sepenuhnya pada masa makan tetapi hari ini sebaliknya, kadangkala televi syen lebih menggoda dan mengenyangkan!.

"Selalunya kanak-kanak cerewet makan berusia bawah 10 tahun tetapi paling kerap berlaku pada usia satu hingga tiga tahun.

"Keadaan ini menyebabkan ibu bapa bimbang kerana tidak pasti sama ada anak mereka makan secukupnya dan mendapat diet seimbang. Dalam banyak kes, keadaan ini menimbulkan konflik dalam keluarga dan pertentangan antara ibu bapa dengan anak. Konflik ini menyebabkan anak semakin kurang makan dan ibu bapa bertambah bimbang. Ini juga boleh menyebabkan ibu bapa menawarkan makanan yang salah sebagai percubaan untuk memujuk anak supaya makan.

"Dalam kes tertentu keadaan ini boleh merencatkan pertumbuhan dan perkembangannya. Kemajuan ekonomi juga menyebabkan ramai ibu bapa yang berkerja kesuntukan masa untuk menyediakan sajian makanan berkhasiat dan sihat untuk anak-anak. Masa untuk bersama keluarga juga semakin berkurangan dan waktu makan selalu mencetuskan kekecohan.

"Di samping itu, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan membawa anak-anak makan di luar. Kemunculan begitu banyak restoran makanan segera ditambah pula gaya hidup mewah yang diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa menyebabkan perubahan selera dan kecenderungan kanak-kanak.

"Gaya hidup `makan luar' adalah antara punca utama masalah tabiat makan tidak sihat dan diet tidak seimbang di kalangan kanak-kanak zaman kini," katanya pada taklimat media memahami dan menangani masalah tabiat makan yang tidak sihat dan anak-anak yang cerewet makan anjuran Abbott Nutrition. Turut hadir Pengurus Besar Abbott Nutrition International, Christopher Kirkham dan Pakar Pemakanan, Dr Tee E Siong.

Dr MacLean yang juga Profesor Klinikal di Jabatan Pediatrik, Ohio State University yang juga adalah seorang pakar perunding pemakanan kanak-kanak di Institut Penyelidikan Pemakanan berkata, antara bahaya yang boleh timbul daripada kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak ialah tidak mengambil kombinasi makanan yang betul dan seimbang.

Antara lain, kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak boleh merencatkan tumbesaran, perkembangan mental dan melemahkan sistem imun. "Tidak ada makanan yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan kesihatan. Diet yang seimbang dapat membekalkan nutrien untuk menyokong tumbesaran dan kesihatan dan memberi tenaga untuk belajar dan bermain.

"Selain memberi makanan yang betul, pemberian makanan tambahan seperti susu yang lengkap, boleh dijadikan sebahagian penting daripada program untuk menangani anak-anak cerewet makan, lebih-lebih lagi jika kadar tumbesaran mereka di bawah tahap optimum dan membimbangkan ibu bapa.

"Walaupun kebanyakan ibu tahu tahu piramid makanan tetapi mereka tidak mengamalkannya. Jadikan Piramid itu sebagai garis panduan dalam pemahaman anda terhadap pemakanan yang sihat dan mula melatih anak anda untuk makan dengan betul dengan menawarkan pelbagai jenis makanan yang seimbang.

"Baru-baru ini kajian yang dijalankan menunjukkan walaupun satu dalam tiga ibu bimbang anak mereka tidak mendapat khasiat pemakanan yang mencukupi, lebih 70 peratus daripada mereka tidak mengawasi apa yang anak mereka makan. Ini boleh menyebabkan malnutrisi, yang mana akan menyebabkan anak menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian, mengalami masalah tumbesaran dan perkembangan serta kerap jatuh sakit," katanya.

Sementara itu Kirkham berkata, menangani kebimbangan ibu bapa ini, Abbot Nutrition menawarkan penyelesaian kepada masalah yang semakin meruncing ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab berterusan syarikat terhadap Pemakanan Kanak-kanak Yang Sihat.

Ketika taklimat berkenaan, Abbott Nutrition turut melancarkan buku kecil PediaTips2 yang disesuaikan dengan produk PediaSure Complete. Edisi terbaru dalam dalam siri buku kecil popular Abbot ini memberikan petua yang menarik dan berguna untuk ibu bapa yang terdesak untuk mengatasi masalah anak yang cerewet makan.

FAKTA

Tip memberi makan

* Sekali-sekala, biarkan anak pilih makanannya sendiri. Elakkan soalan terbuka seperti `Apa yang kamu hendak makan malam ini?' Sebaliknya senaraikan dua jenis untuk pilihannya.

* Jika anak anda suka suatu sajian tertentu, cuba memasak makanan lain dengan cara yang sama.

* Apabila memberi makanan yang baru, cincang halus dan tambahkan kepada sajian kesukaan anak anda.

* Masak daging atau sayur-sayuran kegemaran anak anda dengan cara yang baru.

* Beri makanan dalam jumlah yang sedikit dalam jarak waktu yang lebih kerap. Ruang perut anak kecil. Oleh itu mereka akan berasa lapar dengan lebih cepat.

* Jauhi makanan ringan seperti kentang goreng dari rumah anda. Makanan ini mempunyai kandungan nutrisi yang rendah dan akan merosakkan selera makan anak anda terhadap makanan yang lebih berkhasiat.

* Temani anak anda sepanjang dia makan, dan jadikan waktu itu pengalaman santai yang menyeronokkan.

Kurangkan rasa tertekan

* Bahagikan tanggungjawab masaakan dengan pasangan anda atau jemput saudara-mara, keluarga angkat, dan rakan-rakan untuk makan bersama-sama. Kanak-kanak biasanya berkelakuan lebih baik di depan tetamu.

* Bertenang. Dunia tidak akan berhenti jika anak anda masih enggan makan lobak atau hati.

* Luangkan masa untuk diri sendiri selepas anak anda makan. Minta pertolongan pasangan anda untuk mengemas dan menjaga anak-anak anda, sementara anda berendam di dalam tab mandi, membuat rawatan muka atau mendengar muzik yang menenangkan.

* Apabila masalah pemakanan timbul, anda mudah hilang pertimbangan dan kebahagiaan menjadi ibu bapa. Jika anda bekerja di luar rumah, anda perlu melonggarkan keperluan pemakanan anak anda agar memudahkan pengasuh anak anda menyediakan makanan, sehala dengan matlamat anda - diet yang seimbang berpandukan piramid makanan, menikmati makanan dan masa makan yang menyeronokkan.

Sumber: Berita Harian - Hip - Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

1 comment:

Unknown said...

my boy 4 yrs old memang susah nak makan...;) tQ for sharing this.