Thursday, July 7, 2011

Tibi masih mengancam

APABILA salah seorang teman sepejabat disahkan menghidap tibi, ramai risau apatah lagi mereka yang duduk berhampiran dengannya atau makan bersama beberapa hari sebelum dia diberikan cuti sakit. Kebimbangan itu berasas kerana bakteria penyebab tibi iaitu Mycobacterium tuberculosis sangat mudah merebak melalui udara.

Bakteria tibi ini merebak apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk, bersin, ketawa atau bercakap sehingga terpercik air liur. Atau apabila kita tersentuh permukaan yang tercemar dengan bakteria ini dan membawanya ke pintu masuk saluran pernafasan dengan menyentuh hidung tanpa disedari.

Bakteria ini masuk ke badan seseorang melalui saluran pernafasan sebelum ia menyerang paru-paru.

Inilah sebabnya kita sering diingatkan untuk menutup mulut dengan sapu tangan atau kertas tisu setiap kali batuk mahupun bersin, malangnya tidak ramai mengamalkan saranan ini.

Menutup mulut ketika batuk atau bersin bukan hanya untuk mencegah tibi, malah mampu mengelak merebaknya jangkitan pelbagai penyakit pernafasan lain seperti selesema, influenza, sinusitis atau rinitis yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan khususnya bagi mereka yang sudah menghidap penyakit kronik, kanak-kanak kecil (di bawah usia lima tahun) dan orang tua melebihi 65 tahun.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan setiap tahun kira-kira satu pertiga penduduk dunia dijangkiti tibi dan daripada jumlah itu lebih sembilan juta orang jatuh sakit. Malah setiap tahun hampir dua juta kematian berkaitan tibi dilaporkan di seluruh dunia dan tibi menjadi pembunuh utama di kalangan individu yang dijangkiti virus HIV.

Tibi tidak popular kerana dianggap sebagai penyakit kuno tetapi ia masih menjadi ancaman kerana tanpa rawatan, seseorang yang jatuh sakit akibat jangkitan tibi boleh meninggal dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara yang mengalami beban tibi sederhana dan ini bermakna ada banyak tindakan yang perlu diambil untuk menangani penyakit ini.

Sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut pada setiap 24 Mac, marilah kita sama-sama belajar serba sedikit mengenai penyakit ini supaya tindakan segera boleh diambil sekiranya ada ahli keluarga yang menunjukkan gejala dijangkiti.

*  Siapa berisiko mendapat jangkitan tibi?

Semua orang, terutama golongan tua (65 tahun ke atas) dan kanak-kanak di bawah lima tahun, tetapi sama ada ia menyebabkan penyakit atau tidak bergantung kepada daya ketahanan badan seseorang. Di negara kita, hampir 65 peratus pesakit tibi berumur dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun.

* Bagaimana bakteria penyebab tibi merebak?

Ia merebak melalui udara apabila titisan cecair mulut atau hidung individu yang dijangkiti terpercik ke udara - sama ada ketika bercakap, batuk, bersin, ketawa atau menyanyi. Apabila bakteria ini masuk ke dalam badan seseorang, ia akan menyerang paru-paru.

* Adakah setiap orang yang dijangkiti bakteria penyebab tibi akan sakit?

Jika anda mendapat jangkitan, tidak bermakna anda akan menghidap tibi kerana dalam keadaan biasa, sistem imun badan baik boleh menghapuskan bakteria ini dengan mudah. Sebaik memasuki badan, bakteria penyebab tibi boleh hidup bertahun-tahun lamanya dalam badan kita tanpa menimbulkan masalah dan individu begini dikelaskan sebagai pembawa kuman dan mereka tidak akan menjangkiti orang lain.

Seseorang hanya dikelaskan sebagai pesakit tibi apabila jangkitan itu membuatkan dia sakit. Dalam keadaan begini (sakit) individu berkenaan boleh menjangkiti orang di sekelilingnya jika tidak diberi rawatan segera. Satu daripada 10 pesakit tibi sakit teruk apabila penyakit menjadi aktif (fasa paling mudah berjangkit) dan jika tidak dirawat, ia boleh menjangkiti 10 hingga 15 orang setahun.

* Apakah tanda-tanda seseorang menghidap tibi?

Antara tandanya ialah batuk berterusan melebihi dua minggu dan tidak sembuh dengan rawatan ubat batuk biasa; batuk berkahak (berdarah); demam dan berpeluh, terutama pada sebelah petang dan malam; hilang selera makan dan susut berat badan; sakit dada apabila batuk atau ketika menarik nafas panjang; mudah letih; degupan jantung menjadi pantas dan bengkak pada leher (apabila nodus limfa pada leher dijangkiti).

* Apabila dijangkiti, apa yang berlaku?

Penyakit tibi berlaku dalam dua keadaan. Pertama, bakteria penyebab tibi hidup dalam paru-paru seseorang selama lima hingga tujuh tahun secara tidak aktif dan tidak menimbulkan gejala hingga individu berkenaan mengalami masalah kesihatan yang melemahkan sistem imunnya seperti kencing manis. Apabila ini berlaku, bakteria penyebab tibi mula menyerang paru-paru secara aktif.

Kedua, serangan kuman tibi berlaku dengan cepat dalam masa beberapa minggu selepas dijangkiti. Ini biasanya berlaku pada pesakit yang mengalami masalah lemah daya tahan badan seperti pesakit Aids.

Bakteria tibi boleh menjadi aktif sekiranya daya ketahanan badan seseorang tidak mampu menyekat pembiakannya. Serangan bakteria tibi boleh merebak ke seluruh badan. Jika koloni bakteria banyak di paru-paru, ia boleh menyebabkan paru-paru berlubang.

* Perbezaan antara pembawa bakteria tibi dengan pesakit tibi:

a. Pembawa bakteria tibi - tidak mengalami gejala, tidak jatuh sakit, tidak akan menjangkiti orang lain, biasanya menunjukkan keputusan positif dengan ujian kulit atau darah untuk tibi, mempunyai keputusan normal untuk ujian sinar-X dada dan keputusan negatif bagi ujian lumuran atau kultur air liur.

b. Pesakit tibi - Mengalami gejala (seperti yang disenarai di atas); boleh menjangkiti orang lain, menunjukkan keputusan positif untuk ujian darah atau kulit untuk tibi; keputusan tidak normal untuk ujian sinar-X dada dan keputusan positif bagi ujian lumuran atau kultur air liur.

* Adakah rawatan tibi yang ada di negara kita berkesan?

Ya. Antara kelebihan penyakit tibi ialah dalam kebanyakan kes ia boleh dirawat dengan berkesan di rumah. Pesakit akan ditahan di hospital jika keadaan mereka terlalu tenat, jumlah kuman dalam badan sangat tinggi atau mengalami komplikasi lain.

Strategi rawatan di rumah yang dipanggil Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus (DOTS) sangat berkesan dengan kadar sembuh setinggi 97.6 peratus. Untuk sembuh daripada tibi, pesakit hanya perlu mematuhi tiga peraturan DOTS iaitu:

a.  Makan ubat pada waktu ditetapkan sekurang-kurangnya selama enam bulan

b.  Untuk dua bulan pertama, pesakit perlu mengambil empat jenis ubat setiap hari disaksikan anggota kesihatan terlatih (peringkat intensif)

c.  Empat bulan berikutnya, pesakit perlu mengambil ubat dua kali seminggu di bawah penyeliaan kakitangan perubatan yang dilantik

* Mengapa perlu makan ubat tibi setiap hari selama enam bulan?

Bakteria tibi mati secara perlahan-lahan. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk membunuh semua bakteria tibi dalam badan pesakit. Walaupun anda berasa sudah sihat selepas beberapa minggu tetapi anda masih perlu menghabiskan bekalan ubat yang diberikan doktor. Ingat, bakteria tibi masih hidup dalam badan anda walaupun anda sudah boleh bergiat cergas.

Jangan memperjudikan kesihatan diri sendiri dengan menghentikan pengambilan ubat. Ini adalah tindakan berbahaya kerana bakteria tibi ini akan terus hidup dan anda mungkin akan membentuk daya ketahanan terhadap ubat yang diambil sekarang. Akibatnya anda akan memerlukan ubat yang lebih kuat - yang bukan saja perlu diambil dalam jangka masa lebih lama tetapi ia juga biasanya mempunyai kesan sampingan.

Rawatan DOTS ada di semua pusat kesihatan besar di seluruh negara dan diberi secara percuma tanpa mengira status kewangan pesakit. Pesakit yang dirujukkan dari hospital swasta hanya dikenakan bayaran RM30 sebagai proses pemindahan (dari hospital swasta ke hospital kerajaan).

Sepanjang tempoh rawatan, pesakit diberi cuti sakit bagi mengelak mereka menjangkiti orang lain. Malah doktor menyarankan pesakit diasingkan tempat tidur sehingga disahkan melepasi fasa penyakit mudah berjangkit.

* Bagaimana anda boleh mencegah jangkitan tibi?

Jika anda dijangkiti, perkara yang paling penting ialah menghabiskan ubat seperti diarahkan doktor. Malah anda juga perlu memenuhi temu janji susulan dengan doktor walaupun anda rasa sudah sihat. Selain itu ada beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan:

a. Sentiasa tutup mulut dengan kertas tisu apabila batuk, bersin atau ketawa. Simpan kertas tisu itu dalam beg plastik sebelum dibuang.

b. Sepanjang tempoh cuti sakit, berehatlah di rumah. Jangan keluar bersiar-siar terutama ke tempat yang ramai orang.

c.  Asingkan diri daripada ahli keluarga lain untuk mengurangkan risiko jangkitan.

d. Buka tingkap bilik supaya udara bersih dapat masuk. Lebih baik jika cahaya matahari dapat masuk ke bilik anda. Pancaran cahaya matahari boleh membantu membunuh bakteria tibi.

Sumber: Metro Ahad - Sun, Mar 20, 2011 - Sihat 
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

No comments: