Tuesday, May 31, 2011

Hargai paru-paru

RAMAI tidak sedar betapa bertuahnya mereka dianugerahkan paru-paru sihat yang membolehkan proses pernafasan berjalan lancar.




Anugerah yang dinikmati dengan mudah ini membuatkan ramai orang kurang menghargai paru-paru mereka, malah ada pula secara sukarela meracun paru-paru dengan asap rokok walaupun tahu ia mengandungi lebih 4,000 bahan kimia berbahaya.



Paru-paru adalah organ yang membolehkan kita bernafas. Ia menyediakan permukaan luas (seluas padang bola sepak jika dibentangkan) sebagai laluan kepada oksigen dari udara memasuki salur darah untuk dibawa ke jantung dan dipamkan ke seluruh badan. Pada masa sama ia menjadi laluan untuk mengeluarkan karbon dioksida daripada badan.



Tahukah anda, secara purata kita bernafas 25,000 kali setiap hari. Kandungan udara yang kita sedut kebanyakannya ialah oksigen dan nitrogen.



Pun begitu, udara juga boleh memberi kesan kurang baik kepada paru-paru, terutama apabila udara yang kita sedut dicemari bakteria, virus, asap rokok dan kenderaan atau wap bahan kimia (termasuk bahan kimia domestik seperti larutan peluntur dan asid pencuci longkang).



Sekali sekala berada dalam keadaan tercemar begini mungkin tidak mendatangkan kesan besar pada individu sihat, tetapi bagi yang ada masalah paru-paru ia boleh menjejaskan kesihatan dan mungkin membahayakan nyawa, khususnya apabila bahan pencemar berkenaan membuatkan mereka sukar bernafas.



Mungkin pembaca masih ingat kisah adik Mohd Khusairi Hamzah dari Shah Alam, Selangor, yang terpaksa membawa tangki oksigen ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga jika diserang asma (disiarkan dalam akhbar beberapa tahun lalu). Ia diikuti laporan mengenai bayi berusia 16 bulan yang memerlukan bantuan alat respirator dan tangki oksigen bagi membolehkannya bernafas dengan baik.



Jika ada kesempatan, luangkan masa melawat Institut Respiratori Kuala Lumpur (terletak berdekatan Hospital Kuala Lumpur) untuk berkenalan dengan pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD) yang terpaksa menggunakan banyak tenaga hanya untuk menarik nafas!



Itu belum masuk kes pesakit COPD yang teruk sehingga terpaksa bergantung kepada tangki oksigen sepanjang masa untuk meneruskan hidup.



Paparan di atas adalah sebahagian contoh masalah dihadapi apabila fungsi paru-paru terjejas akibat pelbagai sebab, termasuk kecacatan sejak lahir dan penyakit.



Menurut Perunding Kesihatan Dalaman dan Perubatan Respiratori Hospital Pakar Damansara merangkap Pengerusi Yayasan Paru-paru Malaysia, Datuk Dr Zainudin Md Zin, penyakit berkaitan masalah paru-paru adalah lazim di seluruh dunia.



Dianggarkan lebih 35 juta penduduk Amerika menghidap penyakit paru-paru (asma dan COPD). Dilaporkan jika semua pesakit yang alami masalah paru-paru dihimpunkan, ia menjadi pembunuh ketiga utama di negara berkenaan.



Di negara kita, jumlah sebenar pesakit paru-paru tidak diketahui, tetapi ia menjadi punca kedua utama kemasukan ke hospital selepas jangkitan. Namun Dr Zainudin tidak menolak jumlahnya memang besar kerana ia merangkumi banyak jenis penyakit, antaranya:



* Asma



* COPD



* Kanser paru-paru



* Bronkitis



* Fibrosis paru-paru



* Penyakit motor neuron



* Jangkitan (tibi, pneumonia, influenza)



* Bronkopulmonari displasia (BPD, iaitu paru-paru yang tidak matang)



* Kegagalan ventilatori kronik (keadaan otot pernafasan lemah atau dinding dada ada kecacatan)



Laporan juga menunjukkan penjagaan paru-paru sangat penting, khususnya bagi wanita, kerana wanita lebih mudah mengalami kanser paru-paru (jenis berbeza daripada kanser paru-paru akibat merokok).



Kajian mendapati wanita mempunyai kebarangkalian 1.5 kali lebih tinggi mendapat kanser paru-paru berbanding lelaki dan 65 peratus pesakit asma yang meninggal dunia di Amerika Syarikat adalah pesakit wanita. Malah jumlah wanita dikesan menghidap bronkitis kronik dua kali lebih tinggi berbanding lelaki.



Antara tanda umum masalah paru-paru ialah:



* Sukar bernafas



* Nafas menjadi pendek (tercungap-cungap apabila bernafas)



* Berasa seperti tidak cukup udara



* Kemampuan untuk bersenam berkurang



* Batuk yang tidak surut walaupun mengambil pelbagai jenis ubat



* Batuk berdarah atau berkahak



* Sakit atau tidak selesa apabila menarik dan menghembuskan nafas



Dalam keadaan apabila rawatan tidak mampu memulih atau mengembalikan fungsi paru-paru, pesakit terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan seperti tangki oksigen, konsentrator oksigen atau ventilator untuk terus hidup.



Kini Yayasan Paru-paru Malaysia menyediakan perkhidmatan pinjaman alat-alat bantuan pernafasan untuk kegunaan domestik kepada pesakit yang memerlukan.



"Sehingga kini kita meminjam alat pernafasan kepada lima pesakit. Ini adalah alat yang tidak ditawarkan oleh hospital kerajaan dan ada pesakit tidak mampu membelinya sendiri.



"Tempoh pinjaman tidak terhad iaitu selagi pesakit memerlukan alat itu. Ada pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sepanjang hayat, tetapi ada juga yang memulangkannya apabila keadaan mereka bertambah baik.



"Pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan pada waktu malam untuk 'menyegarkan' semula badan supaya pada waktu siang mereka boleh bekerja atau menjalankan aktiviti harian tanpa masalah. Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit," katanya.



Siapa yang perlukan alat bantuan pernafasan ini? Ramai. Mereka termasuk pesakit BPD yang kebanyakannya kanak-kanak, pesakit asma yang teruk, pesakit COPD, kanser dan fibrosis.



Dengan adanya alat bantuan pernafasan seperti ini jangka hayat kini meningkat kerana dulu ramai pesakit meninggal dunia sebelum berusia 12 tahun kerana paru-paru tetap dalam keadaan tidak matang.



Alat bantuan pernafasan ini bukan murah. Bagi tangki oksigen, harganya sekitar RM1,000 hingga RM2,000; konsentrator oksigen (RM4,000 hingga RM5,000); mesin tekanan saluran udara postif (CPAP, RM3,000) dan RM20,000 hingga RM30,000 bagi ventilator!



Untuk mengumpul dana membantu pesakit, yayasan akan mengadakan Bazar Amal Dalam Taman pada 28 Mac ini bermula jam 8 pagi hingga 6 petang di ZA Studio, Lot 3464, Kampung Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.



Pelbagai acara menarik diadakan seperti jualan barang perhiasan, makanan, refleksologi, permainan dan lukisan. Segala kutipan jualan akan disalur terus kepada yayasan. Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 019-380 5689 atau 03-2283 5689.



Pada masa sama ambil peluang ini untuk mendapat pelbagai maklumat mengenai penyakit paru-paru kerana selain gerai pameran, bazar ini disertai ramai sukarelawan yang membabitkan pesakit, ahli keluarga pesakit, Kelab Asma Kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur, Persatuan Pesakit Paru-paru Kuala Lumpur dan Pertubuhan Torasik Malaysia.



Kaedah menjaga paru-paru:



* Berhenti merokok



* Elak menjadi perokok sekunder



* Elak persekitaran tercemar



* Kurangkan penggunaan bahan kimia industri atau domestik



* Jika bekerja dalam industri berkaitan kimia, pakai topeng penutup muka



* Amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat



* Kawal penyakit (jika anda menghidap penyakit berkaitan paru-paru)

No comments: