Sunday, February 6, 2011

Lebih kenyang dengan karbohidrat



RAMAI yang gemar menolak makanan berkarbohidrat apabila mahu melangsingkan badan.

Ada yang sanggup tidak menjamah nasi bertahun-tahun lamanya semata-mata beranggapan makanan berkarbohidrat tidak elok untuk tubuh terutama di kalangan mereka yang mahu mengurangkan berat badan.

Makanan berkarbohidrat adalah satu daripada sumber utama tenaga untuk tubuh. Makanan berkarbohidat dibahagikan kepada karbohidrat ringkas dan kompleks.

Sebelum bertindak untuk mengelak daripada menikmati karbohidrat, perlu difahami kelas karbohidrat yang sepatutnya. Hakikatnya, menikmati makanan yang padat dengan jenis karbohidrat yang betul antara rahsia untuk mendapatkan tubuh ramping dan kekal langsing.

Berdasarkan pelbagai kajian di universiti dan pusat penyelidikan terkemuka, karbohidrat dimaksudkan terdiri daripada kanji yang mempunyai ketahanan seperti biji-bijian, kekacang dan legum.

Kanji sedemikian membantu kita makan pada kadar yang kurang, membakar lebih kalori serta membuatkan tubuh lebih bertenaga, kurang tekanan dan kurang kolesterol.

Mereka yang berbadan ramping sekalipun mengambil karbohidrat setiap hari malah kajian mendapati, apabila karbohidrat merangkumi 64 peratus (361 gram) daripada jumlah pengambilan kalori setiap hari, ia banyak membantu tubuh untuk kekal langsing.

Kebanyakan diet rendah karbohidrat mengehadkan pengambilan karbohidrat kurang daripada 30 peratus jumlah kalori, malah ada kalanya hanya 30 gram karbohidrat setiap hari.

Kebanyakan makanan yang kaya dengan karbohidrat bertindak dengan mengekang selera makan. Ia lebih mengenyangkan berbanding protein atau lemak.

Karbohidrat berkenaan membuatkan tubuh rasa kenyang kerana ia dihadam secara perlahan berbanding jenis makanan lain, sekali gus mencetuskan rasa kenyang pada otak dan perut.

Kajian di Universiti Surrey, United Kingdom, mendapati pengambilan kanji yang mempunyai ketahanan lama dalam satu hidangan membuatkan peserta kajian itu mengambil 10 peratus lebih rendah kalori (anggaran 150 hingga 200 kalori untuk purata wanita) keesokan harinya kerana mereka rasa kurang lapar.

Gabungan karbohidrat yang tepat juga satu cara yang baik untuk mengawal gula dalam darah dan menjauhkan kencing manis.

Kajian di Pusat Pemakanan Manusia Beltsville di Amerika Syarikat mendapati peserta yang mengambil diet kaya dengan makanan tinggi kandungan kanji berkenaan berupaya untuk mengurangkan gula dalam darah selepas makan dan tindak balas insulin sehingga 38 peratus.

Apapun, pengambilan karbohidrat perlu digabungkan untuk mengelakkan kenaikan mendadak gula dalam darah. Pilihan beras perang misalnya, lebih baik daripada beras putih dan pengambilannya sebaik-baiknya digabungkan dengan makanan lain seperti kekacang bagi menyeimbangi gula darah.

Karbohidrat dalam makanan berkanji tahan lama itu juga mempertingkatkan metabolisme dan pembakar lemak semula jadi tubuh yang lain. Ketika makanan terbabit bergerak ke arah sistem penghadaman, ia membebaskan asid lemak yang menggalakkan pembakaran lemak terutama di bahagian perut.

Asid lemak ini membantu untuk mengekalkan jisim otot yang turut meningkatkan metabolisme, membantu untuk mengurangkan berat badan lebih cepat.

Dalam satu kajian, apabila saintis memberikan sekumpulan tikus makanan yang kaya dengan kanji terbabit, ia didapati meningkatkan aktiviti enzim pembakaran lemak dan mengurangkan aktiviti enzim penyimpanan lemak.

>Info

Tip mengenai karbohidrat:


> Tubuh yang langsung tidak mendapat karbohidrat sebagai sebahagian daripada pemakanan seharian boleh menyebabkan mereka mengalami ketosis. Ia adalah keadaan iaitu tubuh berada dalam mod kelaparan dan mula menghadam tisu otot, bukannya lemak. Paling minimum, sebanyak 100 gram karbohidrat disarankan oleh pakar untuk menghalang daripada berlakunya ketosis.

> Karbohidrat kompleks adalah sumber penting khasiat yang membekalkan tubuh dengan serat, potasium serta vitamin B, E dan C. Karbohidrat kompleks ini lebih baik untuk tubuh kerana perlu dipecahkan terlebih dulu sebelum ditukar kepada glukos. Ini membolehkan pembebasan glukos dan insulin secara stabil. Makanan berkarbohidrrat kompleks termasuk buah-buahan, sayuran dan bijian penuh.

> Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah karbohidrat baik yang perlu dimakan setiap hari. Sayuran tidak hanya menyihatkan malah kaya dengan antioksidan yang meningkatkan sistem ketahanan tubuh iaitu aspek penting untuk mengurangkan berat. Seeloknya, pilih sayuran terdiri daripada pelbagai warna.

>Bijian penuh yang juga karbohirat yang baik boleh didapati daripada makanan seperti oat, gandum penuh dan barli. Tambahkan bijian penuh dan kekacang dalam sajian seharian.

No comments: