Friday, October 29, 2010

Membantu anak bersiap ke sekolah



ADAKAH anda bercadang menghantar anak anda ke prasekolah (tadika) dalam tempoh tiga bulan ini? Ada beberapa perkara penting yang ibu bapa perlu tahu jika mempunyai anak prasekolah. Apakah aktiviti yang perlu dibentuk untuk membolehkan anak bersedia ke sekolah? ADA banyak faktor yang menyumbang kejayaan anak ke sekolah. Ada lima bidang penting yang dikenal pasti sebagai persediaan anak ke sekolah.

1. Kanak-kanak perlu sihat dan cergas fizikal.

Pemakanan baik dan seimbang tidak diragukan sangat kritikal pada pembelajaran kanak-kanak. Ibu bapa perlu peka pada penyakit minor seperti jangkitan telinga yang tidak dirawat segera boleh melambatkan perkembangan bahasa kanak-kanak.

Kegiatan fizikal seperti berlari, melompat dan memanjat membantu kanak- kanak mengawal pergerakan otot besar mereka. Kanak-kanak juga belajar konsep penting seperti di atas dan di bawah, lambat dan cepat, di dalam dan di luar apabila mereka bermain di taman permainan.

Melukis dengan krayon besar atau marker (tidak beracun), menekap di sekeliling tangan atau objek lain, menggunakan gunting yang selamat membantu membentuk kemahiran motor dan kawalan, diperlukan untuk menulis dan kegiatan lain seharian. Memindahkan objek kecil dengan penyepit gula daripada mangkuk ke mangkuk adalah juga kegiatan menarik untuk koordinasi mata tangan dan sisi.

2. Kanak-kanak perlu membentuk kesejahteraan sosial dan rohani yang positif.

Kanak-kanak yang selesa dengan diri dan keupayaan belajar mereka, berasa yakin untuk meneroka bidang dan menghadapi cabaran baru.

Ketika kecil mereka perlu belajar bagaimana mengendalikan tanggungjawab yang membentuk membangun. Jika mereka berjaya melaksanakan tugas diberi, mereka berasa ingin membuat lebih lagi. Budak dua tahun suka membuat kerja menggunakan tangannya seperti menuang air daripada jag ke jag ataupun merangkaikan manik. Apabila siap, dia berasa dihargai apabila ada orang dewasa yang memuji.

Sebaliknya, jika kanak-kanak itu dihukum atau dibiarkan, keadaan mereka pasti menyedihkan kerana mereka tidak mahu mencuba benda baru hingga tidak dapat mempelajari perkara baru.

Amat penting bagi kanak-kanak mempunyai kemahiran sosial sebelum mereka memasuki sekolah. Ramai anak prasekolah tidak didedahkan pada hal ini. Apa yang ditekankan adalah kanak-kanak duduk diam dan mendengar apa yang dicakapkan guru.

Kini semakin disedari bergaul dengan orang lain, kemahiran yang diperlukan kanak-kanak dan apabila berbincang mengenai idea baru akan menambah kefahaman mereka.

Anak anda perlukan suasana yang membolehkan dia menyuarakan pandangan, idea dan bertanya soalan. Peluang bermain dan belajar dengan kanak-kanak lain, terutama pada awal usia mereka membolehkan kanak-kanak berlatih kemahiran sosial dan belajar bergaul dengan orang lain.

3. Kanak-kanak perlukan pendekatan pembelajaran mengikut gaya mereka secara individu. 

 Setiap kanak-kanak menggunakan pendekatan pembelajaran mengikut cara mereka. Ibu bapa perlu memerhatikan bagaimana anak mereka belajar. Adakah mereka ingin tahu? Bolehkah mereka bekerja bersendirian atau adakah mereka perlukan bantuan orang dewasa setiap waktu? Adakah mereka berazam menyelesaikan tugas yang sukar? Adakah mereka pendengar yang baik - boleh memahami apa yang dijelaskan pada mereka, diikuti tindakan yang sewajarnya? Adakah mereka lebih baik dalam kegiatan fizikal atau bolehkah mereka memahami hanya dengan melihat gambar?

Biarkan kanak-kanak yang menentukan gaya pendekatan terbaik pembelajaran.

4. Kanak-kanak perlukan suasana pembelajaran bahasa yang kaya.

Kejayaan sekolah banyak menyumbang pada pembangunan bahasa tetapi bukan menerusi latihan tubi kanak-kanak membangunkan kemahiran bahasa mereka.

Melalui pengalaman bermakna, kanak-kanak belajar bahasa adalah alat yang boleh mereka gunakan untuk berkomunikasi. Mereka perlu menikmati bahasa supaya berasa ingin menguasainya secepat mungkin.

Contohnya, anak kedua saya suka mendengar cerita terutama The Dog oleh Margaret Thorn George (Sunshine Books). Pada usia satu tahun, dia memilih buku ini daripada buku lain dan meminta dibacakan setiap kali kami adakan sesi membaca dengan kuat.

Ketika berusia dua setengah tahun, dia boleh menyelak buku dan berpura- pura membaca cerita itu sendiri. Dia ingat setiap patah perkataan. Dia menunjukkan minat dan berasa seronok membaca walaupun dia belum belajar membaca tetapi dia mengecam simbol pada perkataan yang suka didengarnya.

Menyanyi, bercerita, bermain drama dan bermain jari, adalah kegiatan menarik untuk membentuk kemahiran bahasa kanak-kanak. Mereka juga perlukan pengalaman luas mengenai dunia di sekeliling mereka agar dapat membentuk kemahiran pembelajaran positif. Ibu bapa, anggota keluarga dan orang lain juga boleh menggalakan pembelajaran secara menanamkan minat.

Jika anak anda lebih berminat pada kereta ataupun binatang, anda boleh gunakan minat yang ditunjukkan mereka ini untuk memperkembangkan pengetahuan mereka. Misalnya, anak anda mungkin boleh belajar mengenai warna daripada penerangan anda mengenai kereta yang diminatinya.

5. Kanak-kanak perlukan pengharapan positif dan wajar mengenai sekolah.

Kanak-kanak berusia empat, lima ataupun enam tahun tidak seperti anak berusia tujuh atau lapan tahun. Keperluan dan keupayaan mereka jauh bezanya daripada yang memasuki tahun satu. Mereka tidak seharusnya diharap membuat kerja sekolah saja dan menduduki peperiksaan pada tahap prasekolah.

Pilih persekitaran prasekolah yang menawarkan pelbagai pusat pembelajaran seperti tempat yang selesa untuk melihat gambar dalam buku ataupun sekadar berbaring mendengar cerita, sudut permainan untuk bermain rumah-rumah, satu kawasan luas batu blok, sudut melukis, bahan tampal cantum dan pelbagai bahan kreatif lain yang tersedia untuk kanak-kanak bila-bila masa saja sepanjang hari, juga sudut khusus di mana kanak-kanak boleh membuat buku mereka sendiri.

Paling penting, guru yang membantu dan memperkembangkan pembelajaran kanak-kanak bertanyakan soalan berbentuk membina, sentiasa menawarkan bantuan dan galakan yang diperlukan serta membentuk suasana yang mencabar dan meningkat minat mereka.

2 comments:

Encik MamaT said...

tadika , pra sekolah...
main makan... tu je kebanyakan aktiviti... :D

Anonymous said...

salam hanah..satu info yg baik..tq berkingsi.
dirumah makcik kalau tak bising maknanya hari tak sekolah..weekends..kejut bangun, tanya dah sikat rambut ke tidak,suap breakfast dll.bunyi je mulut tu..hehe..sekarang ni muzafar dah tak ketadikanya jadi hanya seorang je yg kena tanya.