Thursday, September 23, 2010

Keladi indahkan dekorasi kediaman



PENANAMAN tumbuhan liar hutan umpamanya pokok keladi atau caladium daripada famili araceae memang cantik, unik dan menarik.

Namun, pokok hiasan itu memerlukan rutin pengurusan selari kerana ia tidak lasak, mudah mati dan alah kepada cahaya berlebihan.

Ekologi alam yang redup, berpaya dan tanah gambut adalah habitat paling sesuai untuknya hidup subur.

Kepelbagaian serlahan dan tekstur dari segi bentuk dan warna daunnya menyebabkan pokok keladi menjadi pilihan peminat seni taman untuk diletakkan di tepi rumah atau kolam binaan.

Antara variasi keladi yang sebelum ini terbiar di pinggir hutan dan kini menjadi pilihan ramai itu ialah spesies caladium bicolour, caladium splendens dan caladium changpur.

Caladium bicolour mempunyai warna merah cerah di tengah dan hijau pada daun, caladium splendens pula, hijau berbintik merah dan putih manakala caladium changpur dengan urat daun berwarna putih berlatarkan warna hijau memang anggun jika ditanam dalam pasu.

Keladi lain termasuk puluhan spesies aglaonema yang hidup subur di kawasan tropika.

Ia turut dispesifikasikan tumbuhan saka yang subur di kawasan gambut dan mempunyai banyak bahan organik serta reputan tumbuhan.

Pembiakan baka daripada spesis brevispathum, marantifolium, pictum dan oblongifolium boleh dilakukan dengan memisahkan rumpun atau anak pada pangkal induk.

Alocasia sanderiana dan alocasia thiboutiana adalah dua spesis keladi daripada keluarga araceae yang menarik ditanam di kawasan kolam atau dalam ruang rumah tertutup.

Sanderiana diminati ramai kerana daun berlekuk di tepi termasuk uratnya yang timbul berwarna putih perak membahagikan kehijauan klorofil daun.

Keladi thiboutiana juga memiliki sifat sama kecuali tidak memiliki lekuk di tepi dan ketinggiannya lebih rendah daripada sanderiana tetapi kedua-dua keladi jenis ini mempunyai daun keras berwarna hijau tua berkilat.

Keladi yang mampu menyerlahkan kuntuman bunga menarik dalam tempoh panjang ialah dwarf anthurium, aocisia spp., spathiphyllum spp., dan anthurium spp., dengan pelbagai serlahan warna bunga yang tumbuh dari tengah atau celahan pelepah daunnya.

Kebanyakan jenis keladi hiasan memiliki bendalir beracun yang dikhuatiri boleh menyebabkan buta sekiranya terkena mata, selain cirit-birit dan gatal.

Sebenarnya, sifat semulajadi itu dianggap `pelindung' kepada tumbuhan terbabit dalam menghalang serangga perosak memakan daun atau memusnahkan batangnya.

Bagaimana pun, ada keladi yang berfungsi kepada dunia perubatan tradisional seperti vareiti homalomena spp., colocasia escuelenta, amorphophallus spp., alocasia macrorrhiza dan acorus calamus.

Peminat seni taman yang ingin menjimatkan kos pembelian baka keladi boleh mendapatkan pelbagai spesis tempatan yang tumbuh melata di kawasan redup sama ada di ladang kelapa sawit, kebun getah atau paya.

Keladi yang boleh dimakan seperti keladi Pinang serta keladi bersaiz besar juga sesuai dijadikan pokok hiasan sekiranya ditanam secara berkelompok sebagai 'latar belakang' kepada pokok keladi lain yang memiliki keindahan daunnya.

Aspek yang perlu diberi keutamaan dalam penanaman dan penjagaan pokok keladi ialah dedahan cahaya matahari yang perlu dikawal agar kesuburannya tidak terbantut, selain daun tidak rosak atau 'melecur'.

1 comment:

Anonymous said...

excellent points and the details are more precise than elsewhere, thanks.

- Murk