Thursday, January 28, 2010

Serangan pneumokokal

DARIPADA hari pertama dilahirkan, setiap bayi terdedah kepada pelbagai ancaman jangkitan virus dan bakteria yang ada di sekeliling kita. Namun, antara paling membimbangkan pakar perubatan ialah jangkitan daripada bakteria Streptococcus pneumoniae yang mengakibatkan penyakit pneumokokal, khususnya pada bayi dan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun.

Pneumokokal adalah punca utama penyakit serius di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit lain yang boleh mengancam nyawa seperti pneumonia (keradangan paru-paru), meningitis (keradangan lapisan tisu pada otak), bakteremia (keracunan darah) dan otitis media (jangkitan telinga tengah) yang dianggarkan membunuh hampir sejuta kanak-kanak di bawah umur lima tahun, terutama di negara membangun.

Ada lebih 90 jenis bakteria S pneumoniae yang dikenal pasti dan daripada jumlah ini, 10 hingga 15 daripadanya bertanggungjawab ke atas 80 hingga 90 peratus kes penyakit pneumokokal invasif di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia. Penyakit pneumokokal merebak melalui sentuhan dengan pesakit yang `membawa' bakteria di dalam tekak mereka.

Bakteria ini mudah tersebar melalui bersin, batuk atau menyentuh objek tercemar dan membawa bakteria masuk ke badan dengan menyentuh mulut atau hidung tanpa disedari. Bukan semua orang yang dijangkiti bakteria ini akan sakit kerana ada yang hanya menjadi pembawa (tidak mengalami gejala jangkitan) dan menyebarkannya kepada orang lain.

Semua orang boleh mendapat jangkitan tetapi kumpulan paling berisiko ialah kanak-kanak kecil (di bawah umur lima tahun) dan orang tua (melebihi 65 tahun); individu yang lemah daya ketahanan badan seperti pesakit kanser, leukemia, pesakit Hodgkin dan HIV; serta kumpulan pesakit yang menghidap penyakit kronik (sakit paru-paru, jantung, buah pinggang dan kencing manis).

Meningitis, pneumonia dan bakteremia dikategorikan sebagai penyakit pneumokokal invasif (IPD) dan berlaku apabila bakteria ini menjangkiti bahagian yang biasanya sangat steril dalam badan, kata Perunding Paediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Setiap tahun kira-kira 156 juta kanak-kanak dirawat akibat jangkitan penyakit pneumonia invasif dan 95 peratus daripadanya adalah kes baru.

"Pneumonia invasif adalah punca utama kematian dalam kumpulan penyakit pneumokokal. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sangat serius dan kadar kematian dianggarkan 10 hingga 20 peratus. Risiko kematian ini boleh meningkat melebihi 50 peratus pada kumpulan berisiko tinggi, terutama kanak-kanak dan orang tua. Antara gejala penyakit ini ialah menggigil, seram sejuk, demam panas, berpeluh, sesak nafas, sakit otot, lesu dan batuk berkahak.

"Pneumokokal meningitis pula lebih kerap berlaku pada kanak-kanak kurang dua tahun dan orang tua melebihi 65 tahun. Kira-kira 20 peratus (seorang daripada lima pesakit kanak-kanak) dan 25 peratus pesakit yang sembuh akan mengalami pelbagai kesan seperti masalah pendengaran dan penglihatan, masalah tingkah laku, ingatan, lesu dan sakit kepala yang berpanjangan.

"Malah pneumokokal bakteremia dikelaskan sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan kematian kepada 20 peratus kes. Kebanyakan pesakit mengalami gejala demam, sakit kepala dan otot. Lebih membimbangkan dalam 25 peratus kes, penyakit ini menyusul selepas seseorang pesakit menghidap pneumonia invasif," katanya pada pelancaran vaksin Synflorix iaitu vaksin pneumokokal berkonjugat anjuran GlaxoSmithKline.

Bakteria ini juga boleh menyebabkan jangkitan kurang invasif (kurang berbahaya) seperti otitis media, sinusitis (keradangan pada rongga sinus) dan bronkitis (keradangan saluran udara pada paru-paru). Bagaimanapun, jangkitan kurang invasif ini juga boleh mendatangkan masalah dan tekanan bukan pada kanak-kanak tetapi ibu bapa.

Bagaimanapun, penyakit berbahaya ini boleh dielak dengan suntikan vaksin. Menurut Dr Zulkifli, amalan pencegahan berbeza antara negara dan jenis penyakit tetapi secara umumnya jangkitan pneumokokal dirawat dengan antibiotik. Antara antibiotik paling popular dan berkesan ialah penisilin.

Beberapa tahun kebelakangan ini, didapati bakteria ini menunjukkan daya ketahanan terhadap penisilin dan beberapa antibiotik lain. Ini bermakna rawatan yang ada sekarang kurang berkesan dan penyakit lebih sukar dirawat. Ini sebabnya pencegahan melalui vaksin menjadi sangat penting dan berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi boleh memberi kesan sangat besar untuk mengurangkan kemunculan kes baru penyakit pneumokokal.

Bagaimana vaksin ini bertindak? Vaksin mengandungi ekstrak bakteria atau virus hidup dalam bentuk tidak aktif dipanggil patogen. Ia tidak menyebabkan serangan sesuatu penyakit, sebaliknya kehadiran patogen lemah ini merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi yang menyerang patogen berkenaan.

Antibodi ini terus ada dalam badan dan jika seseorang itu dijangkiti patogen (bakteria atau virus yang sama), sistem imun badannya dapat mengenali, menyerang dan menghapuskan patogen berkenaan. Ini melindungi individu itu daripada menghidap penyakit yang disebabkan bakteria atau virus terbabit.

Sehingga kini ada dua jenis vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal iaitu PCV7 (diperkenalkan pada 2000 dan memberi perlindungan kepada tujuh jenis bakteria pneumokokal) dan terbaru, Synflorix (memberi perlindungan kepada 10 jenis bakteria pneumokokal).

Vaksin baru ini memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada mengalami masalah otitis media (jangkitan telinga tengah). Bakteria ini menjadi punca kepada lebih 70 peratus kes otitis media dan 75 peratus kes membabitkan kanak-kanak di bawah umur tiga tahun tetapi kes paling banyak dicatat pada bayi berumur antara enam hingga 18 bulan dan ia boleh berulang jika langkah pencegahan tidak diambil.

"Jangan biarkan anak kita terdedah kepada penyakit berbahaya ini kerana kos rawatannya jauh lebih mahal berbanding pencegahan. Vaksin untuk penyakit ini boleh diberi bersama vaksin lain yang tersenarai dalam program imunisasi sedia ada," katanya.

No comments: