SETIAP kali kita memohon pinjaman atau kad kredit daripada bank, maklumat peribadi kita akan didedahkan kepada pihak bank. Maklumat itu termasuk nama, alamat, nombor telefon, maklumat pekerjaan, nombor kad pengenalan, umur, status perkahwinan dan pelbagai lagi.
Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai sistem yang menyimpan semua data kredit yang dibekalkan kepada institusi kewangan di Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Sistem ini merangkumi maklumat pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, kad kredit, maklumat pinjaman yang dibuat bersama rakan atau keluarga, selain maklumat permohonan pinjaman terbaru anda. Dengan kata lain, sesebuah bank itu sedia maklum permohonan pinjaman atau kad kredit anda di bank lain sebelum berkunjung ke bank mereka.
Setiap bank ada cara tersendiri untuk menilai skor kredit anda. Maklumat peribadi serta latar belakang pinjaman dan pembayaran anda membolehkan bank membuat keputusan sewajarnya berkenaan permohonan pinjaman anda. Malah, ia membolehkan mereka menarik balik kemudahan pinjaman yang diberikan kepada anda.
Bagaimana memperbaiki skor kredit anda?
* Dapatkan pekerjaan dan miliki sebuah rumah.
Perkara pertama akan dilihat pegawai bank ialah skor kredit anda - adakah anda memiliki pekerjaan yang stabil, boleh menjana pendapatan berterusan dan apakah jawatan pekerjaan anda sekarang? Maklumat ini penting untuk memberikan petunjuk sama ada anda mampu menyara perbelanjaan harian serta membayar hutang sedia ada dan hutang yang bakal ditanggung kelak. Satu lagi faktor yang memberi kesan kepada skor kredit anda ialah sama ada anda memiliki rumah sendiri. Jika ya, ia mencerminkan kestabilan dan mutu kehidupan yang lebih baik.
* Kurangkan kad kredit dan buat pembayaran penuh.
Berikutan kos kehidupan semakin meningkat dan suasana perniagaan lebih kompetitif, ramai menghadapi masalah menjelaskan hutang mereka. Perbelanjaan melampau dan kesukaran membendung perbelanjaan menggalakkan lebih ramai antara kita memiliki lebih daripada satu kad kredit tanpa memiliki keupayaan untuk menjelaskan hutang kad kredit masing-masing.
Jika anda ingin memiliki skor kredit lebih baik, pastikan anda menjelaskan sepenuhnya hutang kad kredit anda dalam masa ditetapkan dan elakkan daripada memiliki terlalu banyak kad kredit.
* Bayar bil anda pada masanya.
Bank sentiasa peka terhadap rekod pembayaran hutang anda. Sekiranya anda gemar melewatkan pembayaran hutang, ini akan menyukarkan anda untuk memohon pinjaman daripada bank lain kelak. Dengan menggunakan CCRIS, bank yang anda kunjungi untuk memohon pinjaman terbaru boleh mendapatkan maklumat pembayaran hutang anda dengan lain.
Justeru, pastikan anda menjelaskan bil anda tepat pada masanya demi menjaga rekod kewangan yang baik. Memiliki rekod kurang baik akan memberikan anda imej peminjam yang negatif.
* Kekalkan dengan satu bank saja.
Jika boleh, kekalkan dengan satu bank saja kerana rekod kredit yang panjang akan meningkatkan skor kredit anda. Bagaimanapun, anda perlu memastikan bank itu sentiasa memberikan kadar baik dan kompetitif untuk semua pinjaman anda. Namun, sekiranya anda boleh mendapatkan kadar pinjaman lebih rendah di bank lain, bertukarlah kepada bank terbabit kerana anda akan banyak berjimat.
* Hadkan hutang dan akaun hutang anda.
Berdasarkan pendapatan sekarang serta keupayaan berhutang anda, cuba hadkan hutang dan akaun hutang anda. Bank sememangnya mempunyai maklumat pinjaman dan juga jenis akaun pinjaman anda yang aktif dengan bank lain. Jangan habiskan keupayaan berhutang anda dan elakkan daripada berbelanja berlebihan sehingga anda kehabisan wang sama sekali ketika berlakunya kecemasan.
Artikel ini ditulis bersama Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Ooi Kok Hwa daripada MRR Consulting dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Kandungan artikel ini hanya pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian atau pandangan rasmi SIDC. Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk tips pelaburan bijak.
No comments:
Post a Comment