Sunday, November 15, 2009

Titik paling selatan Asia


DANGA Bay atau Teluk Danga berhampiran Pantai Lido kini menjadi destinasi paling hip buat warga tempatan dan pelancong terutama dari seberang Tambak Johor.

Pengunjung bukan saja dapat menyaksikan seni bina Rumah Limas, beli-belah di kompleks berhadapan dengan taman permainan yang dibuka sehingga larut malam, mencuba permainan ekstrem seperti roller coaster atau sekadar bersiar-siar sambil menunggang kuda padi.

Selain gondola, mereka yang datang bersama keluarga boleh menaiki kereta api mini merentasi Danga Bay pada harga berpatutan.

Namun, jika mahu pengalaman lebih romantis, sertai pelayaran makan malam sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Danga Bay seluas 540 hektar di pesisiran Selat Tebrau yang mengubah wajah Johor Bahru ini bukanlah tarikan tunggal di bandar raya selatan tanah air ini.

Untuk mereka yang kali pertama ke sini, mulakan kembara di tengah kota dengan mengunjungi Istana Besar dan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar.

Bangunan berdepan dengan perairan ini pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Johor sebelum pembinaan Istana Bukit Serene.

Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan yang siap dibina pada 1942 menjadi bukti Johor antara negeri terawal mengguna pakai model pentadbiran British.

Keunikannya pada seni bina gaya Renaissance yang kental bersifat kosmopolitan dengan sentuhan sentuhan Anglo-Melayu.

Masjid Sultan Abu Bakar yang dibina dengan seni bina Moor dan era Victoria, gaya sama yang mendominasi pada kebanyakan bangunan sebelum Tanah Melayu merdeka. Makam Diraja di Jalan Mahmodiah pula menjadi tanah perkuburan untuk keluarga diraja Johor.

Zoo Johor yang bertentangan dengan masjid ini boleh dijadikan pilihan terutama jika melancong bersama keluarga. Balai Seni Nusantara pula menyimpan pelbagai artifak dari Kemboja, Thailand dan Indonesia.

TARIKAN LAIN

>Jika gemarkan kehijauan, kunjungi Air Terjun Kota Tinggi yang menjadi tumpuan warga tempatan. Air dari ketinggian 34 meter ini mengalir dari mata air di Gunung Panti.

>Muzium Nanas di Kilometer (km) 52, Jalan Pontian sedia peluang melihat lebih dekat cara penanaman nanas dan mencuba sendiri hasil produk keluaran tempatan itu. Muzium Bugis mempamerkan 1,500 koleksi dan artifak Bugis termasuk mata wang lama, setem, tembikar dan persalinan berusia lebih 100 tahun.

>Taman Negara Tanjung Piai yang menempatkan titik paling selatan Asia, juga destinasi ideal untuk kaki pancing di kelong berdekatan. Ia menawarkan restoran makanan laut dan lawatan ke ladang lebah milik penduduk kampung.

>Desaru, pantai peranginan popular terletak kira-kira 98 km dari ibu negeri Johor, menawarkan percutian tepi pantai. Ia juga terletak berdekatan dengan beberapa tarikan seperti ladang buaya, taman burung unta dan dusun buah-buahan yang dibuka sepanjang tahun.

No comments: