My Followers

Usah banding bajet orang lain


ASPEK kewangan menjadi teraju penting dalam sesebuah rumah tangga, namun jika tidak bijak menguruskannya, wang sering menjadi punca masalah antara pasangan sehingga boleh mencetuskan konflik dalam rumah tangga, menurut perunding motivasi kewangan, Shamsudin Kadir.

Ia turut menjadi masalah utama dalam sesebuah rumah tangga apabila pertelingkahan berlaku berikutan pasangan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara tanpa melihat keupayaan kewangan yang ada.

Menurutnya, apabila melihat jiran menghantar anak ke sekolah swasta yang hebat atau mengikuti kursus di luar kemampuan diri, ia boleh membibitkan kekeruhan antara pasangan jika terlalu terikut-ikut tanpa mengukur baju di badan sendiri.

"Apabila pasangan ingin merancang bajet keluarga, perkara pertama adalah prinsip hidup selain menentukan matlamat yang ingin dicapai.

"Dua keluarga mendapat gaji yang sama dan bilangan anak yang sama mempunyai prinsip berbeza. Untuk itu, perbelanjaan mereka bukan saja berbeza dan ada kemungkinan, ada keluarga berbelanja di luar kemampuan mereka. Sebaiknya, tuliskan matlamat itu di atas sekeping kertas.

"Contohnya, jika anda memiliki dua anak yang berusia kurang daripada tujuh tahun, tentukan sistem pembelajaran peringkat tadikanya.

"Ada ibu bapa membelanjakan RM350 sebulan bagi setiap anak untuk kelas tadika. Ada ibu bapa lain bergaji sama membelanjakan hanya RM150 sebulan untuk kelas tadika anak mereka biarpun kedua-dua keluarga itu menerima gaji yang sama iaitu RM5,000 sebulan.

"Matlamat hidup yang ditetapkan berdasarkan pengalaman ibu bapa sama ada dari segi pemerhatian semasa ataupun melalui pembacaan mengenai cara mendidik anak.

"Tidak perlu risau apabila anda menyediakan perbelanjaan lebih besar bagi pendidikan anak berbanding keluarga lain yang mendapat gaji sama. Ini berlaku kerana prinsip dan matlamat yang ingin dicapai adalah berbeza," katanya.


Pemilik Ultra Mind Resources beroperasi di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur ini mencadangkan supaya prinsip serta keperluan untuk diri sendiri, pasangan dan anak ditentukan terlebih dulu ketika membuat bajet perbelanjaan.

Contohnya, apabila memikirkan keperluan masa depan anak, ada keperluan dalam menyediakan tabung pendidikan mereka.

Tabung ini boleh dihasilkan melalui simpanan dalam insurans, skim simpanan pendidikan atau pembelian rumah bagi setiap anak.

Gaji bulanan yang diterima biasanya tetap, hanya setahun sekali berlaku perubahan ketika mendapat kenaikan gaji.

Oleh itu, pasangan suami isteri perlu berbelanja mengikut keperluan dan had kemampuan mereka berdasarkan gaji serta jumlah perbelanjaan.

Contohnya, jika gaji bersih yang diterima adalah RM3,000, jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan adalah RM2,100 saja.

Ertinya, RM300 pertama iaitu 10 peratus adalah untuk pelaburan diri sendiri manakala RM600 iaitu 20 peratus daripada gaji bersih adalah untuk tabung kecemasan.

Hanya baki RM2,100 boleh dibelanjakan tetapi jika dibelanjakan tanpa ada sistem, ia membuatkan pasangan berbelanja lebih daripada sepatutnya.

Akibatnya, pasangan menanggung hutang baru dan kadar tekanan perasaan juga meningkat mendadak.

Berikut adalah contoh untuk belanja isi rumah: Jumlah baki gaji yang boleh dibelanjakan adalah RM 2,100.

Senarai Perbelanjaan RM

Duit poket ibu bapa 100

Duit poket suami isteri 200

Duit poket anak (dua anak) 100

Barangan dapur (kering dan basah)

400 Barangan keperluan anak kecil (susu, lampin pakai buang dan ubat)

150 Yuran tadika (seorang anak di bawah tujuh tahun)

150 Ansuran Rumah

500 Ansuran Kereta

250 Bil elektrik

50 Bil air

15 Bil telefon (talian rumah dan bimbit)

60 Bil saluran televisyen berbayar (jika ada) Petrol, tol dan caj letak kereta

160 Barangan bilik mandi (syampu, sabun, ubat dan berus gigi)

30 Makan di luar (bersama keluarga di hujung minggu)

40 Buku pembangunan diri, keluarga dan anak 30

Pakaian?

Insurans atau tabungan untuk pendidikan anak?

Jumlah 2,235 (Biasanya, pasangan yang sudah mempunyai anak, senarai belanja lebih daripada 30 perkara).

Menurutnya, bajet peringkat pertama yang disediakan pasangan melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu RM2,100.

"Oleh itu pasangan itu perlu membuat semakan bagi memastikan perbelanjaan sebulan mereka tidak melebihi 70 peratus daripada gaji bersih diterima.

"Jika memiliki hutang tidak baik iaitu hutang kad kredit, skim ansuran mudah dan pinjaman peribadi, berbincang dengan pasangan untuk menyelidik apa yang tidak kena sehingga membuat hutang yang menambah tekanan dalam keluarga.

"Bebanan hutang menghalang pasangan daripada menyediakan keperluan keluarga dengan sempurna termasuk pendidikan untuk anak.

"Tiada ibu bapa yang tidak ingin memberikan pendidikan terbaik buat anak, tetapi tindakan ibu bapa yang tidak mahu membuat bajet di atas kertas menggagalkan setiap impian itu," katanya.
Post a Comment