Tuesday, October 6, 2009

Tonsilitis jangkitan pada tekak

ANDA mungkin pernah diberitahu doktor anak anda yang sakit tekak mengalami tonsilitis. Tonsilitis adalah jangkitan virus atau bakteria pada tonsil iaitu tisu lembut terletak di setiap belah di belakang tekak. Ia adalah jangkitan biasa pada kanak-kanak yang membuatkan tonsil membengkak dan sakit.

Kebanyakan kes tonsilitis berpunca daripada jangkitan virus dan boleh dirawat di rumah dengan mengambil ubat sakit tekak. Tonsilitis yang disebabkan jangkitan bakteria agak jarang berlaku dan memerlukan antibiotik. Satu ketika dulu pembedahan membuang tonsil (tonsilektomi) sering dilakukan pada pesakit kanak-kanak yang kerap mengalami tonsilitis. Bagaimanapun, kini pembedahan hanya dilakukan jika rawatan lain tidak menunjukkan kesan.

Apabila bakteria dan virus memasuki badan melalui hidung atau mulut, tonsil bertindak sebagai penapis manakala sel darah putih akan menyelaputi atau menelan bakteria atau virus untuk dimusnahkan. Ini akan menyebabkan sedikit jangkitan pada tonsil. Tonsilitis berlaku apabila jangkitan menjadi lebih serius dan tonsil membengkak serta alami keradangan.

Seperti disebut di atas, kebanyakan tonsilitis berpunca daripada jangkitan virus, termasuk virus yang menyebabkan mononukleosis (virus Epstein-Barr). Jika disebabkan jangkitan bakteria, jenis yang biasa ditemui ialah Streptokoki kumpulan A.

Gejala

Antara amaran awal yang menandakan masalah ini disebabkan jangkitan bakteria streotokokal, termasuk kesakitan dan keradangan secara tiba-tiba, nodus limfa di tengkuk membengkak dan kurang kesesakan hidung. Jika tonsilitis disebabkan jangkitan bakteria, anak akan diberikan antibiotik. Bagaimanapun, oleh kerana kebanyakan kes disebabkan jangkitan virus, maka pesakit hanya memerlukan rehat dan penjagaan di rumah.

Antara gejala tonsilitis ialah:

* Tonsil bengkak dan merah

* Ada tompokan putih pada tonsil

* Sakit tekak

* Sukar atau sakit untuk menelan

* Sakit kepala

* Demam dan menggigil

* Nodus limfa (pada rahang dan tengkuk) membengkak

* Hilang suara

* Sakit perut


Siapa yang berisiko mendapat tonsilitis?

* Kanak-kanak (lebih kerap pada kanak-kanak sekolah)

* Individu yang berhubung rapat dengan orang lain. Bakteria dan virus tonsilitis juga cepat merebak seperti virus selesema. Ia lebih cepat merebak di tempat yang ramai orang seperti sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak.

Bila perlu mendapatkan nasihat doktor?

Walaupun tonsilitis bukanlah masalah serius tetapi ada kalanya ia boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat. Oleh sebab itu anak perlu diperhatikan dan segera bawa berjumpa doktor jika mereka mengalami:

* Sakit tekak melebihi 48 jam

* Demam melebihi 39 darjah Celsius

* Tidak boleh menelan kerana tonsilnya bengkak atau sakit

* Sakit tekak diikuti sakit perut terutama jika anak muntah

* Tengkuk menjadi tegang atau berasa lemah

* Air liur meleleh

Ujian dan pengesahan

Doktor akan memeriksa tonsil dan belakang kerongkong untuk melihat tanda jangkitan seperti kemerahan atau nanah. Ujian ini, termasuk:

* Calitan kerongkong - Ujian ini mudah dan doktor hanya perlu mencalit belakang kerongkong untuk mendapat sampel. Sampel kemudian akan dihantar ke makmal untuk ujian kehadiran bakteria streptokokal. Keputusan ujian boleh diperoleh dalam masa beberapa minit atau sehingga 48 jam; bergantung kepada kaedah digunakan.

* Kiraan jumlah keseluruhan sel darah (CBC) - Dalam sesetengah kes, ujian darah boleh membantu mengesahkan punca jangkitan. Melalui CBC, sampel darah akan dihantar ke makmal untuk penilaian kehadiran sel darah putih yang tinggi atau sel tidak normal yang menandakan jangkitan.

Komplikasi

Apabila dibiarkan tanpa rawatan, tonsil yang bengkak boleh menghalang laluan udara dan menyukarkan pernafasan. Ini akan menyebabkan apnea tidur (kerap terjaga ketika tidur) dan beberapa masalah kesihatan lain. Malah, jika tidak rawat tonsilitis juga boleh mengakibatkan pengumpulan nanah di antara tonsil dan tisu lembut di sekelilingnya (lelangit lembut). Nanah ini boleh merebak memasuki salur darah, ke leher atau dada; bagaimanapun kes seperti ini jarang berlaku.

Sesetengah jenis bakteria Streptokokal menyebabkan tonsilitis mengakibatkan keradangan buah pinggang (nefritis) atau demam reumatik iaitu keadaan serius yang memberi kesan buruk kepada jantung, sendi, sistem saraf dan kulit.

Rawatan

Bagi tonsilitis disebabkan virus, tidak memerlukan rawatan khusus, sebaliknya banyakkan berehat di rumah. Ambil ubat sakit tekak (yang boleh dibeli di farmasi) untuk meredakan gejala. Antibiotik hanya diberikan bagi tonsilitis akibat jangkitan bakteria.

Contoh ubat digunakan ialah penicilin (pil) yang perlu diambil selama sekurang-kurangnya 10 hari. Walaupun anak anda mungkin berasa lebih baik dalam masa beberapa hari tetapi dia masih perlu menghabiskan semua ubat. Menghentikan pengambilan ubat terlalu awal boleh mengakibatkan jangkitan berulang semula.

Jika ujian streptokokal menunjukkan keputusan positif, anak perlu menghabiskan sekurang-kurangnya 24 jam rawatan antibiotik sebelum kembali ke sekolah atau dihantar ke pusat jagaan harian. Jika dia sukar menelan, antibiotik akan diberi dalam bentuk suntikan.

Walaupun kini pembedahan pembuangan tonsil bukan lagi menjadi pilihan tetapi ia masih dilakukan jika rawatan lain tidak berkesan. Biasanya pembedahan dilakukan pada kanak-kanak jika dia :

* Mempunyai lebih daripada tiga episod tonsilitis setahun dalam tempoh tiga tahun

* Jika ada nanah yang tidak hilang selepas mengambil antibiotik

* Jika tonsil menjadi besar dan menghalang pernafasan

Penjagaan di rumah

* Ambil ubat sakit tekak dan banyakkan berehat di rumah. Pesakit akan pulih dalam masa satu hingga dua minggu.

* Minum cecair suam seperti teh, sup atau bubur

* Kumur dengan air garam suam

* Ambil parasetamol atau ibuprofen untuk mengurangkan demam dan kesakitan

* Kerap basuh tangan untuk mengelakkan jangkitan

* Tutup mulut dengan sapu tangan atau tisu ketika batuk

* Jangan berkongsi gelas atau peralatan makan

* Jauhkan diri daripada individu yang sakit akibat tonsilitis

1 comment:

Muhammad Syafiq Azman said...

Terima kasih atas informasi yang diberikan,semoga Allah merahmati pemilik blog ini,Amiiin...teruskan berkongsi,semoga bermanfaat...