My Followers

Rangsang minda bayi

ADA ibu bapa merungut mengenai anak mereka yang lambat bercakap, berjalan atau meniarap sedangkan mereka sendiri jarang melatih bayi untuk lebih aktif.

Proses tumbesaran bayi lazimnya melalui satu aspek normal dan bertahap.

Sebagai ibu bapa pula, pelbagai cara boleh dilakukan untuk merangsang minda si kecil atau membentuk proses perkembangannya dari segi pembentukan otot atau psiko-motor.

Panduan berikut mungkin boleh dimanfaatkan mereka yang baru bergelar ibu atau bapa.

* Mengecat atau menampal kertas dinding pada bilik bayi dengan warna terang dan pelbagai corak menarik.

* Menggantungkan alat permainan ataupun barangan berbunyi dan bergerak pada katil tidur dan kereta sorongnya. Selok-eloknya, ia digantung pada jarak yang dapat dicapai bayi.

* Meletakkan cermin muka di tepi katil supaya apabila bayi menoleh, dia dapat melihat wajahnya sendiri.

* Membawa atau mendukung bayi untuk melihat sekeliling rumah sambil menunjukkan pelbagai benda yang ada di dalam dan di luar rumah. Ibu atau ayah juga boleh menyebut benda yang dilihat secara menyanyikannya.

* Sentiasa bercakap dengan bayi dengan memperkenalkan asas bahasa.

Nada suara perlu ditukar mengikut suasana atau aktiviti dilakukan.

Percakapan dengan bayi elok dibuat ketika mandi, memberi minum, menukar lampin atau menidurkannya.

Lebih baik apabila diberitahu setiap apa yang dilakukan kepadanya. Contohnya: "Sayang sudah basah, mari ibu salinkan lampin."

* Memberi reaksi kepada usaha bayi untuk berkomunikasi dengan si ibu atau ayah. Ketika berkomunikasi, gunakan bahasa yang lembut dan pandang wajahnya dengan penuh kasih sayang.

* Apabila bayi sudah dapat mengacah, lihat dan dengar dengan penuh minat. Apabila dia berhenti, si ibu boleh membalas dan ajak dia terus berkomunikasi sama ada bertanya kepadanya atau meniru bunyi yang dikeluarkannya.

* Bermain sambil merangsang panca inderanya seperti mengusap jari kaki atau tangannya pada barang seperti ais, air suam kuku, plastik, kain bulu dan kertas.

* Bermain dengan tangannya sambil menyentuh tangannya pada hidung, mulut, mata ataupun telinga di samping menyentuh panca inderanya sendiri.

* Mengajar bayi mengira dengan memegang jarinya dan hitung. Sewaktu mendukungnya menaiki tangga, kira bilangan anak tangga dengan kuat.

* Meletakkan bayi pada tempat yang membolehkan dia melihat ibu, ayah ataupun ahli keluarganya melakukan aktiviti harian seperti solat, berkebun atau memasak.

* Merangsang deria baunya dengan menghidukannya pelbagai jenis bauan contohnya, membawa bayi mengelilingi taman bunga atau mendengar deruan ombak, angin dan bunyian haiwan.

Bagi umat Islam, boleh memperdengarkan pelbagai jenis alunan seperti bacaan al-Quran, zikir dan suara ibu atau ayahnya membaca al-Quran.

Post a Comment