Friday, October 16, 2009

Pandu laju, muatan lebih tayar cepat rosak ... tak caya??? cuba try :p

PENJAGAAN dan penyelenggaraan tayar penting untuk pemandu kenderaan. Ia memastikan keselamatan pemandu, pengendalian lebih baik, keselesaan dan kos penjimatan lebih berkesan.

Tayar pada kereta, van ringan (tidak melebihi berat 3,500kg keseluruhan) dan trailer ringan yang membawa muatan perlu mempunyai corak bunga tayar sedalam 1.6 milimeter (mm) pada luas keseluruhan permukaan tayar yang menyentuhi permukaan jalan dan seluruh ukur lilit sebuah tayar.

Bagi kenderaan pengangkutan melebihi muatan 3.5 tan, corak bunga tayar mestilah sedalam 1mm.

Apakah faktor yang boleh menyebabkan kerosakan tayar? Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kerosakan tayar, antaranya kekurangan tekanan angin, terlebih muatan dan memandu pada kelajuan tinggi.

Kekurangan tekanan angin

Kekurangan tekanan angin Kelalaian memeriksa tekanan angin tayar antara sebab berlaku kehausan tidak sekata pada bahagian tepi tayar, corak bunga tidak seimbang serta kegagalan fungsi tayar peringkat awal.

Namun, anda harus ingat, jika tayar kereta terlebih tekanan angin ia boleh menyebabkan kehausan terlampau, kegagalan fungsi serta pengendalian tidak sempurna ketika memandu.

Terlebih muatan

Muatan pada kereta, van ringan atau trailer ringan memberi tekanan dan bebanan ke atas tayar ketika membawanya berlebihan.

Ini mengakibatkan tayar melencong ke satu arah dan meningkatkan kepanasan pada tayar. Keadaan ini boleh mengakibatkan kehausan tayar berlaku dengan pantas dan sukar dikawal kerana mudah rosak jika terkena sebarang hentaman atau perlanggaran.

Kelajuan tinggi

Ketika melakukan perjalanan jauh di lebuh raya, kebanyakan pemandu memandu melebihi kadar ketetapan had kelajuan dibenarkan.

Cara pemanduan begini pastinya memberikan tekanan pada tayar dan meningkatkan kepanasan tayar selain mengurangkan jangka hayat tayar.

Tayar berada dalam keadaan baik dan mempunyai tekanan angin yang mencukupi direka untuk menahan kepanasan terlampau walaupun pada tahap kelajuan maksimum.

Oleh itu, jika tekanan angin berada di bawah paras disyorkan, kepanasan melampau terjadi pada tayar.

Ia mengakibatkan kehausan serius dan tayar hilang kawalan serta melencong ke satu arah. Keadaan ini boleh mengakibatkan kereta tergelincir dan boleh menyebabkan kemalangan maut.

Penjagaan tayar

Faktor paling mustahak agar tayar dalam keadaan baik, berupaya memberi prestasi optimum serta memanjangkan jangka hayat tayar adalah tekanan angin dalam tayar.

Tekanan angin mencukupi dapat menjadikannya selamat dan boleh mengangkut beban kenderaan serta muatannya kerana tayar yang baik bukannya bergantung kepada kompaun getah atau rangka yang digunakan.

Oleh itu, tayar hendaklah sentiasa diperiksa sama ada ketika berada di rumah, garaj mekanik atau pam minyak.

Sebelum melakukan sebarang perjalanan jauh, anda haruslah memeriksa bahagian tayar supaya tayar tidak mengalami:

* Kehausan serius, contohnya corak bunga sudah botak

* Kesan potongan pada tayar atau bahagian tepi tayar oleh objek tajam

* Bahagian tepi tayar menggelembung

* Batu atau objek lain terlekat pada celah bunga tayar

* Kesan bocor pada injap (terutama jika tayar menggelembung)

* Penutup angin melekat dengan baik bagi mengelakkan kebocoran Sewaktu melakukan perjalanan jauh dengan kelajuan tinggi, periksa tayar sebelum dan selepas perjalanan.

Elakkan berhenti secara mengejut, menekan pedal minyak dengan keras, melalui selekoh tajam dengan laju dan melanggar bahu jalan atau lubang besar.

Jika pekerjaan anda menuntut perjalanan pada permukaan jalan berlubang, mempunyai batu dan bahan pembinaan, dinasihatkan menanggalkan sebarang batu dan objek terlekat serta memeriksa sebarangan kesan pemotongan atau kesan gelembung pada bahagian tepi tayar.

Akhirnya, jangan lupa melakukan penjajaran tayar jika kehausan tayar tidak seimbang atau mengalami kehausan tidak sekata.

Periksa sistem brek jika tayar gagal diberhentikan dengan tepat dan jangan lupa seimbangkan keempat-empat tayar jika tayar bergetar atau tidak selesa ketika dipandu.

No comments: