My Followers

Gejala alahan makanan



APABILA seseorang alami alahan makanan, badannya akan bertindak balas seolah-olah makanan berkenaan boleh membahayakan. Akibatnya, sistem imun badan (yang melawan jangkitan dan penyakit) akan menghasilkan antibodi untuk melawan alergen makanan pula iaitu bahan yang boleh mencetuskan gejala alahan.

Jika individu alahan ini tersentuh makanan (dengan tangan atau makan), badannya akan menghasilkan bahan kimia yang dipanggil histamin untuk melindungi dirinya sendiri. Bahan kimia inilah yang akan mencetuskan gejala alahan yang boleh membabitkan sistem pernafasan, saluran gastrointestin (usus), kulit atau jantung. Antara gejala mungkin dialami ialah hidung berair, kulit gatal, lidah terasa kebas, bibir dan tekak bengkak, sakit perut atau nafas menjadi kasar.

Ramai keliru antara alahan makanan dengan masalah tidak toleran makanan kerana gejala ditunjukkan hampir sama. Gejala tidak toleran makanan ialah kerap sendawa, masalah tidak hadam, banyak angin, najis cair, sakit kepala, resah atau terasa 'dipam'. Bagaimanapun masalah ini:

* Tidak membabitkan sistem imun

* Boleh disebabkan ketidakbolehan seseorang itu untuk mencernakan satu-satu jenis bahan seperti laktosa

* Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan tetapi tidak berbahaya

Masalah alahan makanan kini semakin banyak dilaporkan di negara kita, terutama di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak boleh alah terhadap sebarang jenis makanan tetapi 90 peratus reaksi alahan berpunca daripada:

* Susu

* Telur

* Kacang tanah

* Soya

* Gandum

* Kekacang (walnut dan gajus)

* Ikan

* Makanan laut bercangkerang seperti udang

Walaupun sejak dulu lagi ibu bapa mendakwa bahawa coklat juga boleh menyebabkan alahan pada kanak-kanak tetapi ia jarang mencetuskan reaksi alahan. Secara umumnya masalah alahan makanan dialami kanak-kanak akan hilang sendiri apabila mereka menjangkau umur lima tahun; iaitu pada kadar 80 peratus bagi kes alah susu, dua pertiga bagi alahan terhadap telur dan 80 peratus bagi alahan kepada gandum atau soya.

Alahan terhadap makanan lain agak sukar hilang. Hanya 20 peratus individu yang alah terhadap kacang tanah dan 10 peratus kes alah pada kekacang bebas daripada masakan ini selepas mereka meningkat dewasa. Alahan terhadap ikan dan makanan laut biasanya bermula lebih lambat dan sukar hilang (berterusan sepanjang hayat).


Reaksi alahan

Reaksi alahan berbeza antara individu. Sesetengahnya alami gejala yang sangat kecil seperti ruam gatal atau urtikaria (di bawah kulit) membabitkan satu bahagian badan saja. Ada pula yang alami alahan teruk sehingga membabitkan lebih satu bahagian badan. Reaksi alahan ini boleh muncul dalam masa beberapa minit atau jam selepas bersentuhan dengan makanan.

Reaksi alahan makanan boleh memberi kesan kepada empat kawasan di badan iaitu:

* Kulit - gatal (urtikaria), ekzema, muka merah dan bengkak; bibir, lidah dan mulut jadi gatal dan bengkak. Reaksi kulit adalah reaksi yang paling lazim.

* Saluran gastrointestin (usus) - Sakit perut, mual, muntah dan cirit birit

* Saluran pernafasan - Hidung berair atau tersumbat, bersin, batuk, sesak nafas

* Sistem kardiovaskular - pening atau pengsan

Reaksi alahan yang serius yang merebak ke seluruh badan dikenali sebagai anafilaksis. Ini adalah reaksi serta merta yang boleh membahayakan nyawa membabitkan dua atau lebih bahagian badan seperti disenarai di atas. Tambahan pula ia boleh menyebabkan saluran pernafasan membengkak dan menyukarkan pesakit bernafas; menurunkan tekanan darah, tidak sedarkan diri dan dalam sesetengah kes mengakibatkan kematian.


Diagnosis alahan makanan

Jika mengesyaki anak anda alami alahan makanan, segera hubungi doktor anda. Untuk mengesan alahan, doktor akan bertanyakan mengenai:

* Gejala yang ditunjukkan anak

* Berapa kerap reaksi berlaku

* Masa yang diambil antara makan satu-satu jenis makanan dan bermulanya gejala pertama

* Adakah ada ahli keluarga yang mengalami alahan seperti ekzema dan asma

Doktor akan melihat lain-lain keadaan yang boleh menyebabkan gejala alahan contohnya jika anak anda mengalami cirit birit selepas minum susu. Jika ini berlaku doktor akan memeriksa jika anak anda alami masalah tidak toleran laktosa.

Penyakit Celiac - ialah keadaan di mana seseorang tidak boleh menerima gluten iaitu protein di dalam gandum dan sesetengah bijirin lain. Ia juga boleh meniru gejala alahan makanan. Jika doktor mengesyaki anak anda alami alahan makanan, anda akan dirujukkan kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut. Antara ujian yang biasa digunakan ialah ujian kulit. Dalam ujian ini ekstrak cecair alergen akan diletak di lengan atau belakang badan, tunggu sekejap dan lihat jika ada reaksi alahan (bintik merah) dalam masa 15 minit. Keputusan positif pada sesetengah alergen makanan menunjukkan anak anda alah kepada makanan berkenaan dan ujian lanjut akan dilakukan untuk pengesahan.

Pakar mungkin melakukan ujian darah dipanggil ujian radioallergosobent (RATs); untuk memeriksa kandungan antibodi IgE pada sesetengah jenis makanan. Jika keputusan positif bagi ujian kulit dan RATs, bermakna anak anda memang alah terhadap makanan berkenaan.

Jika keputusan masih kurang jelas, pakar akan menjalankan ujian makanan. Biasanya ujian ini adalah untuk menentukan sama ada seseorang itu sudah hilang alah. Ketika ujian ini, individu akan diberikan makanan dalam kuantiti yang ditambah sedikit demi sedikit dan memerhatikan kesan alahan. Namun ujian ini hanya boleh dilakukan di dalam pejabat pakar alahan atau di hospital yang mempunyai kelengkapan lengkap dan ubat kerana reaksi yang membahayakan nyawa boleh berlaku.


Rawatan

Selepas anak disahkan alami alahan makanan, pakar akan menyediakan pelan rawatan. Tiada ubat mampu menyembuhkan alahan makanan, jadi rawatan biasanya membabitkan langkah menghindarkan makanan yang mengandungi alergen pencetus reaksi alahan.

Anda juga perlu belajar mengenali makanan dan membaca label makanan untuk mengelakkan masalah kepada anak anda. Meskipun tidak boleh disembuhkan tetapi ubat mampu mengatasi gejala sama ada kecil atau serius. Ubat antihistamin contohnya digunakan untuk merawat urtikaria, hidung berair, sakit perut yang disebabkan oleh alahan.

Jika nafas anak menjadi kasar atau alami serangan asma akibat alahan terhadap makanan, doktor akan menyarankan penggunaan bronkodilator seperti salbutamol (yang dihidu dari pam tangan) secepat mungkin untuk mengurangkan masalah pernafasan.

Tetapi ingat, jika anak anda alami serangan alahan-asma, berikan dia epinefrin dan dapatkan rawatan secepat mungkin; bimbang jika ia adalah sebahagian daripada anafilaksis. Justeru, bagi ibu bapa ada anak yang alah teruk, sentiasa bawa epinefrin bersama anda (di rumah, dalam beg anda dan beg sekolah anak).

Buat pelan kecemasan alahan makanan secara bertulis untuk diberikan kepada pihak sekolah dan penjaga anak.
Post a Comment