Thursday, October 15, 2009

Fucabook menyamar jadi Facebook


MUSIM perayaan ini akan menjadikan laman web sosial bertambah popular dan bakal mendapat kunjungan tertinggi kerana pengguna sibuk berbalas ucapan dan berbual untuk merapatkan silaturahim terutama yang jauh di mata.

Namun, perlu diingat dalam keghairahan itu ada anasir yang mengambil kesempatan mencuri butir-butir rahsia kita termasuk kata laluan dengan tujuan memporakperandakan sistem, malah lebih parah lagi boleh mengakibatkan kerugian wang ringgit.

Kajian syarikat keselamatan terkemuka, Trend Micro berjaya membuktikan dua daripada aplikasi Facebook dibangunkan untuk tujuan jahat itu apabila ia dipautkan terus ke laman `pishing' fucabook.

Apabila pengguna log masuk menggunakan bogus fucabook itu, selepas memasukkan kata laluan buat kali pertama, mereka akan diarahkan untuk memasukkan kata laluan sekali lagi untuk menggunakan fungsi penuh `nama aplikasi jahat' itu. (Namanya kerap bertukar - pernah dikenali sebagai Post dan kini dipanggil `Stream').

Apabila aplikasi itu sudah ditambah, ia menggunakan imej seorang rakan untuk memberitahu beliau sudah menghantar satu grafik yang tiada makna. Ia juga memberi pilihan untuk membalas hadiah yang dihantar itu.

Tidak lama kemudian aplikasi itu akan menghantar `spam' ke semua kenalan tanpa meminta kebenaran. Semua rakan itu juga akan dialihkan ke laman pishing fucabook apabila mereka bersetuju menerimanya.

Trend Micro menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati dan sentiasa melihat alamat URL yang dipaparkan di ruang alamat perisian pelayar. Pengguna juga dinasihatkan supaya menyemak destinasi sebenar pautan sebelum mengklik. Lalukan petunjuk tetikus ke ikon pautan untuk mendapatkannya.

Pengguna Facebook hendaklah menilai semula aplikasi yang sudah dipasang dan menyemak penetapan privasi. Aplikasi yang tidak digunakan lebih baik dibuang.

No comments: