Saturday, October 10, 2009

7 kesilapan lazim pengurusan wang

"SAYA sudah 20 tahun bekerja, tetapi sehingga kini wang simpanan hanya sedikit menyebabkan saya tertanya-tanya ke mana perginya wang saya?" kata eksekutif wanita sebuah syarikat yang kita namakan di sini sebagai Liza.

Pernahkah anda mendengar atau mengeluh seperti itu dan jika bertanya di sekeliling, besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang seperti Liza.

Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan agar anda dapat belajar daripadanya.


>Kesilapan 1: Gagal merancang

Jika bertanya kepada orang ramai di sekeliling, pasti ramai di antara kita tidak merancang kewangan dan alasan selalu diberikan sibuk dengan kerja dan keluarga.

Sikap tidak ambil berat itu akan menjejaskan kedudukan wang anda, contohnya anda akan selalu membayar cukai tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh lama atau tidak bijak memilih produk pelaburan dan kewangan yang sesuai.

Bebanan kerja yang banyak juga menyebabkan ramai tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang, sebaliknya membiarkan keadaan menjadi penentu.

Sebenarnya, walaupun anda tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat merancang kewangan akan membolehkan kita menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan.


>Kesilapan 2: Berbelanja melebihi kemampuan

Ramai berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan pengaruh iklan yang mempromosikan gaya hidup mewah, seperti telefon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru yang mendorong kita berbelanja di luar kemampuan.

Apatah lagi ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai mempunyai baki amat sedikit dalam akaun bank pada hujung bulan selepas ditolak pinjaman rumah dan kereta, bayaran kad kredit dan bil.

>Kesilapan 3: Berbelanja menggunakan kad kredit

Tabiat beli dulu bayar kemudian sudah jadi kebiasaan sekarang dan hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit, malah ramai memiliki lebih daripada satu kad.

Walaupun kad kredit satu kemudahan, tetapi ramai tersilap dalam penggunaannya dan menganggap ia alat untuk kita berbelanja lebih, tambahan pula dengan bayaran minimum setiap bulan.

Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum itu, tidak menyedari ia akan menjadi hutang menggunung dan jika tersilap langkah, tidak mustahil anda boleh muflis.

Ia realiti kerana mengikut laporan kemuflisan, peratusan mereka yang muflis kebelakangan ini meningkat, terutama sekali di kalangan golongan muda dan sehubungan itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian besar di kemudian hari.

>Kesilapan 4: Lewat menabung untuk hari tua

Ramai ingin bersara awal, tetapi bagi memulakan persaraan, kita mesti memastikan mempunyai wang mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Namun, masih ramai, terutama yang hampir bersara masih bergelut mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik, namun apa yang berlaku sebaliknya, iaitu setiap kali gaji naik, perbelanjaan kita pula bertambah kerana ubah suai rumah dan beli kereta baru.

Perbelanjaan seperti itu menyebabkan kita sukar menabung untuk hari tua.

>Kesilapan 5: Melabur dalam produk tidak bersesuaian

Ada pelbagai produk pelaburan di pasaran dan bagi memastikan kita melabur dalam produk pelaburan menepati profil risiko dan ganjaran diinginkan, kita memerlukan pengetahuan mengenai pelaburan.

Jangan bergantung kepada penasihat kewangan semata-mata kerana ada antara mereka mempunyai agenda tersendiri. Ada penasihat kewangan tidak bertanggungjawab dan memberikan maklumat tidak tepat untuk meningkatkan komisyen jualan mereka. Jadi pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

>Kesilapan 6: Tidak menabung untuk waktu kecemasan

Sesetengah orang beranggapan membeli insurans hanya membazir wang. Tetapi, tahukah anda tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan itu ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insuran atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan lain dengan segera.

>Kesilapan 7: Terlampau memikirkan pasal wang

Dalam usaha memupuk tabiat menyimpan, jangan terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa perkara lain dalam hidup seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan. Tanpanya, hidup tidak akan memberi makna walaupun mempunyai wang jutaan ringgit.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kepentingan merancang kewangan. Jika tidak bersungguh-sungguh membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

Securities Industry Development Corporation (SIDC) adalah peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di Asean adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. a ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadan pada 2007. Sila layari laman web Pelabur Malaysia di www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan.

Sumber: www.sidc.com.my

No comments: