Thursday, September 3, 2009

Jadikan bayi anda kuat

TABIAT semula jadi bayi dan kanak-kanak kecil yang suka memasukkan sebarang objek di tangan ke dalam mulut membimbangkan ibu bapa kerana ia dianggap satu daripada perantara yang boleh memindahkan bakteria atau virus penyebab jangkitan.

Bahkan ada ibu bapa lebih rela anak terperap di dalam rumah atau menghadap televisyen sepanjang hari daripada membenarkan mereka bermain di padang dan balik dengan baju kotor. Namun ramai ibu bapa tidak sedar ia sebahagian proses pembelajaran kanak-kanak untuk mengenal dunia dan bagi mengatasi kegatalan gusi akibat pertumbuhan gigi.

Memasukkan objek ke dalam mulut memang boleh meningkatkan risiko jangkitan, tetapi tahukah anda tindakan semula jadi kanak-kanak ini sangat penting kerana secara tidak langsung ia boleh membantu badan mereka membentuk daya ketahanan.

Kajian menunjukkan kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang terlalu bersih lebih mudah mengalami asma, alahan dan demam (akibat jangkitan).

Ia menyebabkan kanak-kanak ini menjadi lemah atau terlalu sensitif apabila terdedah kepada persekitaran lain - yang 'tidak terlalu bersih' daripada keadaan tempat mereka dibesarkan, kata Perunding Kardiologi Paediatrik Pusat Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Nor.

Tabiat memasukkan objek ke dalam mulut boleh berlanjutan sehingga umur kanak-kanak melebihi dua tahun. Umur ini dianggap paling kritikal kerana daya ketahanan badan kanak-kanak kecil masih lemah dan mereka termasuk dalam kumpulan paling berisiko jika berlaku jangkitan. Atas sebab ini mereka memerlukan bantuan untuk meningkatkan daya ketahanan badan.

Menurut Dr Azam, ada beberapa cara untuk membantu daya ketahanan badan anak iaitu:

* Bersalin secara normal - Apabila melalui saluran kelahiran, bayi didedahkan dengan pelbagai jenis bakteria dan badan si kecil akan membentuk antibodi terhadap bakteria itu. Kajian ke atas najis bayi yang dilahirkan melalui pembedahan mendapati ia mengandungi kurang bakteria berbanding bayi dilahirkan secara normal. Ia menjadi petanda bahawa bayi dilahirkan secara pembedahan mempunyai kurang antibodi.

* Memberi susu badan secara ekslusif sekurang-kurangnya selama enam bulan. Susu badan mengandungi bakteria baik dipanggil Laktobasilus yang penting untuk sistem pencernaan si kecil.

Bakteria ini hidup di dalam usus dan menjadi antara pelindung penting kepada kanak-kanak daripada masalah cirit-birit dan jangkitan telinga tengah. Kanak-kanak yang tidak diberi susu badan mempunyai risiko jangkitan telinga tengah lima kali lebih tinggi.

Banyak kajian mendapati insiden cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak yang diberi susu badan lebih rendah berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.

Di seluruh dunia, cirit-birit adalah punca utama kemasukan kanak-kanak ke hospital yang boleh membawa kepada kematian akibat kekurangan air. Ini sebabnya kini kebanyakan susu formula diperkaya dengan Laktobasilus bagi memberi perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak kecil.

"Walaupun ramai ibu sedar kepentingan memberi susu badan, masih ada yang tidak dapat meneruskannya selama enam bulan. Ia mungkin disebabkan si ibu berasa tertekan atau kurang mendapat sokongan sama ada daripada keluarga mahupun di tempat kerja. Justeru, ramai beralih kepada susu formula.

"Tidak salah memberi susu formula, tetapi lebih baik jika penyusuan badan dapat diteruskan. Jika mahu memberi susu formula, pilih jenama mengandungi Latobasilus kerana ia dapat membantu melindungi anak daripada kerap mendapat jangkitan," katanya pada forum keibubapaan 'Terokalah Manjaku' anjuran Nestle Malaysia.

Wanita disaran mengamalkan tabiat pemakanan baik sepanjang kehamilan dan selepas bersalin untuk memperoleh susu badan berkualiti.

Kajian kandungan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid alfa hidroksi (AHA) dan ke atas tiga kaum yang mengamalkan pemakanan berbeza mendapati paras DHA lebih tinggi di dalam susu wanita yang mengambil pemakanan sihat.

* Vaksinasi - Sebagai ibu bapa, tunaikan tanggungjawab anda kepada anak dengan membawa si kecil mendapatkan vaksinasi yang diberi secara percuma di mana-mana hospital atau klinik kerajaan. Vaksinasi ini melindungi anak anda daripada 10 jenis penyakit dan jika ada wang lebih, anda boleh memberi perlindungan tambahan di klinik atau hospital swasta.

"Memberi vaksin kepada anak bermakna anda mendedahkan mereka kepada bakteria dan virus. Ini kerana vaksin membabitkan bakteria atau virus atau toksik daripada bakteria yang dilemahkan.

"Apabila bahan ini masuk ke dalam badan, badan secara automatik bertindak balas dengan menghasilkan antibodi untuk melawan dan menghapuskan bahan asing itu. Demam selepas mendapat suntikan vaksin menandakan badan anak anda sedang membina antibodinya," katanya.

* Memberi peluang anak bermain di luar - Kaedah ini memberi peluang anak anda terdedah kepada persekitaran yang sememangnya banyak bakteria dan virus.

"Jangan terlalu mengawal anak dengan mengurung mereka di dalam rumah. Badan kanak-kanak akan membina daya ketahanannya secara berperingkat-peringkat selagi mereka diberi makanan berkhasiat dan mendapat cukup rehat.

"Lebih aktif dan banyak pendedahan terhadap persekitaran, seseorang kanak-kanak lebih berdaya tahan terhadap jangkitan.

"Mungkin ramai ibu bapa bimbang untuk membenarkan anak bermain di luar, terutama ketika kita diancam jangkitan virus influenza H1N1. Bawa anak bermain di persekitaran terbuka seperti di padang atau taman permainan, sebaliknya elak mengunjungi tempat sesak atau tertutup seperti pusat membeli-belah.

"Risiko jangkitan di persekitaran terbuka jauh lebih rendah dan dapat merangsang kesihatan minda serta emosi anak," katanya.

* Memberi anak produk mengandungi prebiotik dan probiotik - Prebiotik menjadi 'makanan' kepada bakteria baik di dalam usus. Ia boleh diperoleh daripada makanan seperti bawang merah, bawang putih, asparagus, cikori (sejenis sayur-sayuran), pisang dan gandum. Pada masa sama anda boleh meningkatkan jumlah bakteria baik di dalam usus dengan mengambil produk mengandungi probiotik seperti yogurt.

* Pastikan anak anda mendapat tidur dan rehat secukupnya. Kekurangan tidur boleh melemahkan daya ketahanan badan si kecil.

Pada masa sama, sebagai ibu bapa anda juga perlu mengubah gaya hidup dengan berhenti merokok, mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.

Kanak-kanak yang menghidu asap rokok (dikategorikan sebagai perokok sekunder) juga mempunyai risiko kesihatan yang lebih kurang sama seperti perokok. Kajian di Amerika Syarikat mendapati lebih dua juta kanak-kanak mendapat jangkitan telinga setiap tahun akibat kekurangan daya ketahanan badan yang turut disumbangkan asap rokok.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

1 comment:

miemiey said...

info yg berguna tuk panduan saya,,,tq share yee