Thursday, August 6, 2009

PRO tingkat imej syarikat

PEGAWAI perhubungan awam atau lebih mesra dengan panggilan PRO memainkan peranan penting bagi sesebuah organisasi sama ada di jabatan kerajaan mahupun syarikat korporat.

Seorang PRO yang bijak akan membawa imej baik kepada majikannya menerusi publisiti positif yang disiarkan sama ada menerusi akhbar atau televisyen.

Memegang jawatan sebagai PRO memerlukan seseorang itu menjalinkan hubungan baik antara syarikat dengan media.

Selain perlu menjaga penampilan dengan imej kemas dan menarik dalam membawa imej positif kepada syarikat yang diwakili, seseorang PRO perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai syarikat yang dinaunginya.

Antara tugasan PRO ialah perlu menghubungi media bagi memaklumkan sebarang acara yang dijalankan syarikat seperti menghantar faksimili, surat jemputan rasmi atau berhubung melalui telefon.

Seorang PRO perlu menyediakan bahan bertulis yang banyak termasuk maklumat mengenai sesuatu acara yang dijalankan syarikat terbabit untuk wakil media yang hadir ke majlis itu.
Ia bertujuan memberi maklumat yang diperlukan media dalam menyiapkan berita berkaitan acara berkenaan.

Mereka juga bertanggungjawab menyediakan cenderahati program, salinan ucapan ketua mereka di acara yang dihadiri dan juga laporan.

PRO juga perlu menyusun dan menguruskan sidang media terutama jika pihak media meminta ia diadakan supaya soalan penting dapat diutarakan dan berita menarik dapat dihasilkan.

Tugasan penting bagi seseorang PRO adalah membantu media mendapat ulasan atau jawapan atas sebarang isu terkini membabitkan syarikat atau organisasi mereka.

Ia juga bertanggungjawab menyalurkan maklumat yang betul dan tepat serta menghubungkan media dengan barisan pegawai yang mempunyai kuasa untuk memberikan jawapan penuh dan perlu cekap serta berpengetahuan dalam membantu media mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan berkaitan.

Mereka juga perlu memahami tugas media yang sentiasa mengejar masa dan bergerak pantas dalam mendapatkan berita dan setiap persoalan yang dikemukakan perlu diberi balasan dengan cepat dan tidak boleh berlengah.

Kumpulan PRO yang cekap dalam sesebuah organisasi bukan saja akan memudahkan kerja media, malah ia memberikan imej positif mengenai sesebuah syarikat itu.

Untuk menjadi seorang PRO, seseorang itu perlu mempunyai personaliti menarik, ceria, peramah, berpengetahuan dan mudah bekerjasama sebagai satu kumpulan.

Kelayakan yang diperlukan bagi seseorang itu menjawat jawatan itu ialah ijazah dalam bidang komunikasi sama ada jurusan perhubungan awam, pengiklanan atau kewartawanan. Bagaimanapun pemohon yang berkelulusan dalam bidang lain tetapi mempunyai ciri-ciri yang diperlukan juga berpeluang menyertai kerjaya ini.

Kerjaya sebagai PRO memerlukan seseorang yang mempunyai kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris selain bahasa Melayu juga antara kriteria penting.

Tip-tip

* Tugas utama PRO membantu menjaga imej syarikat dan mewakilinya dalam banyak hal melalui hubungan dengan media.

* Untuk menjadi PRO yang bagus, individu perlu berfikiran luas selain mempunyai pengetahuan dalam banyak perkara.

* Majikan mengimpikan berwawasan dan berintegriti dalam melakukan tugas. Justeru, graduan yang menghadiri temu duga perlu berusaha menonjolkan diri dengan kelebihan dan keupayaan yang ada untuk menarik minat majikan.

* Kriteria lain yang perlu ada ialah, berfikir di luar lingkup dan kreatif dalam semua perkara supaya hasil kerja tidak hanya tertakluk pada tahap sama saja.

* Kemahiran komunikasi dan bahasa perlu sentiasa dipertingkatkan supaya kredibiliti sebagai PRO terserlah dan mendapat penilaian baik di mata orang ramai.

No comments: