Sunday, August 30, 2009
Penyeri dinding
BINAAN dinding ialah elemen yang membolehkan kita berlindung di dalam rumah. Tanpa dinding, rumah yang kita diami akan terdedah kepada sebarang kemungkinan dan tidak selamat. Dinding berperanan bukan setakat pelindung kepada pandangan luar ke dalam tetapi berfungsi sebagai pembahagi atau sempadan ruang dalaman dan penghias ruang dalaman. Binaan dinding dalam lebih kepada kesempurnaan bahan kemasan dan nilai estetika yang tinggi berbanding dinding luar.
Selepas dinding disempurnakan kemasannya, perhatian harus diambil kira dari segi kesesuaian hiasan pada permukaannya kerana elemen dinding mudah dilihat. Ini kerana kedudukannya pada pandangan aras mata berbanding lantai yang lebih terlindung daripada pandangan. Fungsi utama hiasan dinding, selain mengisi kekosongan ruang, juga bertindak menyeimbangkan suasana dalaman rumah dan komposisi elemen yang ada dalam ruang. Komposisi ini perlu diseimbangkan supaya tidak dimonopoli oleh sesuatu elemen terutama pada hiasan lantai dan pilihan perabot.
Apabila sesuatu ruang sudah dimonopoli oleh sesuatu elemen, maka tumpuan sering diberikan kepada elemen berkenaan sehinggakan objek lain pada dinding, tidak mendapat perhatian. Justeru, faktor sekeliling perlu diambil kira kerana sesuatu perhiasan perlu disesuaikan dengan elemen lain. Aspek lain yang perlu dipertimbangkan ialah mengambil kira faktor kedudukan, kesesuaian permukaan dinding dengan persekitaran ruang.
Selain itu, pemilihan perhiasan dinding yang mampu membangkitkan seri rekaan dalaman. Perhiasan seharusnya selari dengan konsep ruang dan bukannya sekadar hanya untuk mengadakan perhiasan.
Hiasan dinding bertujuan menceriakan ruang dan mewujudkan kelainan berbanding dinding yang dibiarkan kosong. Hiasan dinding boleh mengundang suasana mewah, santai atau tenang.
Malah, dapat menjadikan sesuatu ruang kelihatan hidup dan menepati keperluan dalaman bangunan. Perhiasan dinding juga secara tidak langsung boleh menggambarkan keperibadian dan minat penghuni.
Gaya pemilihan hiasan dinding
Gaya pemilihan perlu disesuaikan dengan jenis ruang. Ruang tamu yang luas, elok diserikan dengan lukisan besar dan pastikan bingkainya selaras dengan sifat rasmi ruang tamu. Ruang makan pula elok digantungkan gambar kecil motif buah-buahan, potret keluarga atau bunga kering yang boleh merangsang selera.
Bagi dinding di ruang tangga, pemilihan perhiasan bergantung kepada bukaan lebar tangga. Jika bukaan sempit, bahagian sisi dinding tangga tidak sesuai digantungkan gambar, sebaliknya bukaan yang lebar boleh di hiaskan dengan lukisan kecil atau potret yang disusun menyerong.
Gaya hiasan dinding
Gaya hiasan dinding perlu diselaras dengan keadaan sekeliling supaya kehadirannya disedari dan dihargai. Janganlah sekadar mahu memenuhi kekosongan ruang sehingga perhiasan itu kelihatan janggal dan bagaikan tidak diundang di ruang berkenaan. Justifikasi ini boleh dilakukan jika keadaan ruang didominasi oleh elemen lain seperti perabot. Jika perabot yang digunakan itu berukiran penuh atau mempunyai reka bentuk unik dengan sendirinya menyerlahkan penampilan ruang dinding, maka penggunaan perhiasan dinding berukuran kecil sudah memadai.
Gaya hiasan dinding boleh diselaras dengan menggantung hiasan di ruang dinding atas meja konsul, meja kerja dan meja sisi. Jika ruang dinding luas, gantungan lukisan pemandangan atau poster besar secara sendirian mampu menimbulkan daya tarikan.
Pemilihan bahan perhiasan dinding
Pemilihan barang perhiasan penting bagi menentukan sama ada perhiasan dinding dapat menarik perhatian dan bersesuaian dengan suasana ruang. Ini termasuk:
* Ayat suci al-Quran Bagi umat Islam, sememangnya digalakkan menggantung ayat suci al-Quran di kediaman mereka. Dengan adanya ayat suci ini, ia dapat membantu memelihara kediaman daripada perkara tidak diingini, selain membolehkan mereka mengamal bacaan ayat suci berkenaan.
Namun, perlu diingat, seperti sucinya ayat ini, ia juga hanya boleh diletakkan pada dinding bersesuaian dengan kesucian ayat berkenaan. Hiasan pada ayat itu boleh dikemaskan dengan bingkai diperbuat daripada kayu, besi, kaca atau seramik.
* Cermin
Cermin mula ditemui pada abad ke-14 oleh pengukir Itali di Venice. Selain fungsi asas cermin untuk bersolek atau mengemas keterampilan diri, kegunaan cermin pada hari ini sudah dipelbagaikan bagi hiasan ruang dalaman. Penggunaan cermin sebagai perhiasan dinding dapat melahirkan kesan visual kerana menimbulkan perasaan keluasan dalam ruang dan memberi pembalikan cahaya dalam ruang.
* Lukisan dan arca
Lukisan seni halus dihasilkan sama ada dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi. Dilukis berdasar ekspresi kecantikan dan kepercayaan atau cetusan peribadi artis yang melukis. Subjek lukisan ada yang berbentuk abstrak, berbentuk anggota badan, tumbuhan dan pemandangan. Seni arca terhasil dalam bentuk tiga dimensi yang terhasil daripada ukiran daripada tanah liat, kayu, gelas, batu atau besi. Bahan seni lukis boleh diperoleh sama ada galeri seni lukis, kedai menjual barangan seni atau kedai perabot. Ada juga mereka yang membeli karya seni lukis kerana meminati karya sesuatu artis dan lagi ternama artis itu, lebih mahal pula karya seni mereka.
* Foto keluarga
Selain bahan seni lukis yang diletak pada dinding ruang dalaman, ada juga foto keluarga diletakkan dalam bingkai dan digantung pada dinding. Paparan memori dan kasih sayang yang ditonjolkan, menggambarkan keindahan hubungan keluarga dan memberi inspirasi kepada penghuni dan juga kepada tetamu yang bertandang.
* Hiasan bunga kering
Jika bunga yang dipilih, pastikan ia sudah dikeringkan dan digubah dalam bekas menarik atau boleh dibingkaikan. Kehadiran bunga kering ini menimbulkan seri berpanjangan selain mudah dijaga. Ia sesuai untuk hiasan dinding di ruang makan, ruang tamu dan ruang dapur.
* Hiasan pinggan seramik
Semakin ramai berminat kepada pinggan seramik untuk dijadikan perhiasan dinding, sama ada menghimpunkan corak yang sama atau digabungkan bersama corak dan warna berbeza.
* Hiasan fabrik
Gantungan fabrik di dinding turut digemari, terutama di kalangan mereka yang mahu mewujudkan gaya nusantara dengan memilih fabrik bermotif etnik. Ia boleh digantung menggunakan pancang langsir atau gandar.
* Hiasan jam
Ketika ini, jam sudah digunakan sebagai salah satu bahan koleksi dalam rumah. Keunikan dan keaslian reka bentuk jam antik menjadikannya perhiasan dan bahan seni dekoratif yang digunakan dalam rumah, selain mempamerkan waktu.
Info
Tip reka letak hiasan dinding
* Jika mahu menghimpun sekumpulan gambar atau perhiasan dinding yang lain, pastikan susunannya dibuat secara teratur.
* Satukan gambar berkenaan mengikut tema, ukuran atau corak. Jika masih mahu mengumpulkan gambar yang berlainan motif, selaraskan bingkainya atau cari persamaan yang wujud pada imej gambar berkenaan.
* Elak gantung perhiasan dinding melepasi paras mata kerana ia tidak mungkin dapat dihayati sepenuhnya apabila terpaksa mendongak untuk melihat gambar itu atau digantung terlalu rendah sehingga terpaksa menunduk pula.
* Pastikan kedudukan tempat menggantung seimbang di antara bahagian atas dan bawah serta kiri dan kanan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment