Tajuk: Jejak Rasul Musim 14 - Rihlah Ibn Battuta
Terbitan: TV3, Primeworks
Edaran: Nickleodeon Books (M) Sdn Bhd (nickbook@ streamyx.com)
AKU keluar meninggalkan tanjah, jana bijanaku pada hari Khamis yang kedua, dalam bulan Rejab yang unggul, bulan Allah s.w.t, 725 Hijrah, dengan niat mengerjakan haji di Baitullah al-Haram dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w.
Aku keluar bersendirian tanpa teman untuk berhibur dan tanpa menyertai rombongan kabilah. Aku pergi kerana desakan jiwaku dan rindu akan tempat-tempat suci.
Kerinduan ini sekian lama terpendam di dadaku. Oleh itu, aku membulatkan tekad untuk meninggalkan semua yang ku kasihi, wanita dan lelaki. Lalu berpisahlah aku dengan kampung halaman persis burung meninggalkan sarang.
Dengan itu bermulalah siri pengembaraan Ibn Battuta atau nama sebenarnya Abu Abdillah Muhammad Ibn Abdillah Ibn Muhammad Ibn Ibrahim al-Louati Tangi, seorang tokoh pengembara kurun ke-14.
Beliau meninggalkan Tangier, Morocco pada 1325 ketika berusia 21 tahun untuk merentasi sempadan negara dan benua melalui pengembaraan yang mengambil masa selama 29 tahun dengan jarak perjalanan sejauh 120,000 kilometer.
Pengembaraan beliau membabitkan 44 negara lebih 600 tahun lalu itu disorot kembali dalam Jejak Rasul Musim 14 - Rihlah Ibn Battuta yang kini dimuatkan dalam bentuk cakera padat video (VCD), diedarkan Nickleodeon Books (M) Sdn Bhd.
Bagaimanapun, pengembaraan dilakukan kru Jejak Rasul untuk mengesan pengembara berbangsa Arab itu hanya membabitkan tempoh 90 hari di enam negara seperti India, Maldives, Morocco, Sri Lanka, Oman dan Turki.
Dokumentari Islam itu bermula di India, satu destinasi paling lama didiami Ibn Battuta, iaitu selama lapan tahun.
Di negara itu beliau mendapat kedudukan istimewa, dilantik qadi (hakim) dan duta ke China.
India masih menyimpan banyak kesan pemerintahan Islam seperti Qutub Minar di selatan kota Delhi, yang dibina lebih 800 tahun lalu, kini diiktiraf tapak warisan dunia.
Menara lima tingkat setinggi 72 meter itu dibina daripada batu merah dan di sekelilingnya dilingkari tulisan ayat suci al-Quran. Ia dibina mulai tahun 1193, sebaik Islam bertapak di bumi itu dan diiktiraf menara batu-bata tertinggi di dunia.
Terletak berdekatan menara terbabit ialah Masjid Jamek Delhi, dikenali juga Masjid Qutub, dibina pada 1163. Ibn Battuta sering mengunjungi masjid itu dan beliau menggambarkan masjid itu; mempunyai 13 kubah batu, binaannya tidak menggunakan kayu dan ada empat halaman.
Pada 1343 Ibn Battuta meninggalkan India untuk meneruskan pengembaraannya ke negara lain.
Siri pengembaraan Ibn Battuta dalam VCD ini diselusuri berdasarkan kitab Rihlah Ibn Battutah (Pengembaraan Ibn Battuta), iaitu kitab mencatatkan pengembaraan Ibn Battuta, yang dikarang sebaik beliau kembali dari pengembaraannya.
No comments:
Post a Comment