Tuesday, July 21, 2009

Khazanah Ulu Dong


KEINDAHAN alam sekitar di negara ini masih terpelihara dan peluang bersantai bersama keluarga di kawasan air terjun yang menyajikan peman dangan istimewa, mampu memberi ketenangan minda.

Sesekali membawa keluarga menikmati cuti hujung minggu ke pusat rekreasi yang tidak diusik arus pembangunan jauh dari kesibukan kota, boleh memberi pengalaman baru yang menarik dan lebih mencabar.

Sebagai pilihan, lokasi Air Terjun Lata Jarum di Hutan Simpan Ulu Dong, Raub, Pahang mampu memberi kelainan kerana keindahan alam semula jadi yang masih menghijau dan mendamaikan.

Jika bernasib baik, pengunjung boleh menemui spesies bunga `gergasi' yang didakwa spesis bunga terbesar di dunia iaitu `Rafflesia'.

Tidak sukar untuk menemui Lata Jarum kerana kedudukannya hanya dua kilometer dari Pusat Rekreasi Pulau Chekas dan perjalanan menaiki kenderaan hanya mengambil masa kira-kira 40 minit dari Raub.

Hati pasti terpaut melihat air terjun yang indah, selain bunyian unggas dan cengkerik yang ada di hutan simpan berkenaan. Kawasan sungainya berbatu-batan dan aliran airnya yang deras sesuai untuk pengunjung yang gemarkan cabaran. Bagi keluarga yang membawa anak kecil, sungai yang berpasir sangat sesuai dijadikan lokasi perkelahan kerana ia lebih selamat.

Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan panorama alam semula jadi lebih lama di Hutan Simpan Ulu Dong, mereka boleh menginap di Homestay Sungai Pasu yang dibuka sejak sembilan tahun lalu dan dikenal pasti antara homestay paling aktif di Malaysia.

Homestay ini terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan jarak lima kilometer ke Air Terjun Lata Jarum.

Keindahan landskap serta keceriaan dan kebersihan ketika memasuki kawasan perkampungan homestay ini menimbulkan suasana damai dan memukau perasaan bagi pengunjung yang pertama kali ingin merasai keunikan dan kedamaian kampung.

Ada 20 rumah Homestay Sungai Pasu menyediakan kira-kira 30 bilik, sedia menerima tetamu dan sehingga kini, ramai pelancong luar negara seperti Singapura, Belanda, Korea, Indonesia dan Jepun menginap di situ.

Penyelaras Homestay Sungai Pasu, Sumi Ngahdimi, berkata di samping mempamerkan pelbagai ciri kebudayaan setempat, homestay itu juga mengetengahkan perushaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perusahaan kuih tradisional dan ternakan sebagai sebahagian pakej produk pelancongan.

"Majoriti peserta homestay adalah kaum Jawa yang menetap di Raub lebih 50 tahun lalu dan pertembungan budaya antara Jawa dan Melayu menghasilkan cara hidup dan adat resam yang unik di kalangan masyarakat kampung.

"Ada juga kaum Orang Asli keturunan Cik Wong yang mengamalkan cara hidup separa moden dan pelancong yang datang ke sini boleh melihat dan merasai sendiri kehidupan seharian Orang Asli yang unik dan menarik termasuk melakukan aktiviti menyumpit dan membuat kraf tangan," katanya.

Antara aktiviti dijalankan ialah melawat projek ternakan ikan air tawar dan ternakan lembu, mempelajari kaedah menoreh getah, melawat lokasi bersejarah, demonstrasi membuat kuih tradisional dan menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti istiadat perkahwinan dan kenduri, aktiviti sukan air seperti berakit, berkayak dan `flying fox' di Taman Tasik Sungai Pasu dan melihat projek tanaman bunga melur sebanyak 6,000 pokok di kawasan seluas 2.8 hektar.
Kemudahan awam juga dise diakan untuk pengunjung termasuk tandas, bilik persalinan, surau, dewan terbuka dan tapak perkhemahan, selain deretan bangku yang dipayungi rimbunan pokok hutan.

Pengawas Hutan Kanan, Pejabat Perhutanan Daerah Raub, Syed Abu Bakar Syed Manja, berkata pihaknya sedia bekerjasama jika ada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti merentas hutan dan mencari bunga `Rafflesia'.

Katanya, ada antara pengunjung ke kawasan air terjun yang membawa keluarga tidak melepaskan peluang menelusuri kawasan hutan untuk melihat deretan lebih 80 pokok herba yang sukar ditemui di kawasan hutan lain.

Antara tumbuhan herba yang boleh ditemui di situ ialah pokok janggut adam dan keladi lempoyang untuk wanita lepas bersalin, sial manaun (ubat gout), halia (buang angin), akar sembelit (ubat sembelit) dan pokok lemba (menyejukkan badan).

Tumbuhan lain yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional yang masih diamalkan penduduk kampung tetapi tidak dikenali juga boleh ditemui di sini seperti pokok kembang semangkuk, buah gapis, paku gajah, moyang kabut, pokok senduduk (daun lebih lebar) dan serai kayu. Ada antara tumbuhan berkenaan dijadikan tanaman landskap yang menghiasi halaman rumah.

Pengunjung juga pasti terpesona melihat pokok tualang yang memiliki ketinggian melebihi 30 meter yang dipenuhi sarang lebah yang mengeluarkan madu tualang.

Rafflesia yang ditemui di Hutan Simpan Ulu Dong adalah daripada spesies Rafflesia Cantleyi dari keluarga `Rafflesiaceae' yang hidup pada perumah iaitu sejenis akar pepanjat `Tetrastigma'. Saiz diameternya boleh mencapai sehingga 60 sentimeter apabila berkembang dan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mekar tetapi hayat selepas berkembang terlalu pendek antara enam dan lapan hari saja.

No comments: