Ada yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan awam seperti kapal terbang, bas dan kereta api. Ramai juga yang gemar untuk memandu sendiri untuk ke destinasi yang dipilih.
Justeru, sebelum perjalanan dimulakan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan perjalanan selamat tiba di destinasi yang dituju.
Antaranya, ialah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, begitu juga pemandu.
Ini kerana, keletihan serta mengantuk semasa memandu adalah antara punca utama kemalangan jalanraya. Kemalangan seumpama ini boleh terjadi pada bila-bila masa, tetapi masa paling kerap ialah di antara pukul 10 malam hingga 8 pagi dan awal pagi hingga tengah hari.
Kemalangan yang berpunca dari rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan yang teruk berbanding kemalangan akibat punca lain. Pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.
Dalam kebanyakan kes, keletihan dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.
Punca keletihan semasa memandu antaranya memandu untuk jangka masa yang lama tanpa berhenti rehat, pengambilan alkohol, kurang tidur dan rehat, pengambilan ubat-ubatan yang memberi kesan kepada badan, senaman berlebihan, tekanan perasaan atau stres, memandu lewat malam atau awal pagi, iaitu waktu yang pada kebiasaannya anda tidur.
Antara tanda keletihan ialah pemandu kerap menguap, keliru dan pemikiran yang kabur, murung dan mudah baran, tindak balas dan reaksi yang lambat, khayal, sukar membuka mata, terasa penat, sakit-sakit badan, mengawal stering sambil lewa, kegagalan untuk lebih berhati-hati dengan lampu isyarat atau papan tanda, gagal menumpukan perhatian, tidak dapat mengingat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minit atau beberapa saat lalu, badan atau kepala bergoyang-goyang kerana tersengguk-sengguk dan kereta terbabas atau termasuk ke lorong lain.
Jika anda berada dalam keadaan sebegini, perlahankan kenderaan anda, berhentilah dan berehat di tempat yang sesuai seperti hentian rawat dan rehat, berbual dengan penumpang jika ada, pasangkan radio anda dan cuba menyanyi bersama-sama dengan alunan muzik yang dimainkan, turunkan tingkap kereta supaya udara segar dapat masuk atau pasangkan penghawa dingin pada tahap maksimum.
Keluar dari kereta dan berjalan-jalan sekejap, berhenti untuk minum, berhenti rehat untuk mandi, bermalam dulu di pekan kecil sebelum memulakan balik perjalanan yang jauh, berkongsi memandu dalam perjalanan yang jauh dan pastikan anda berehat apabila sampai giliran bertukar pemandu.
Sentiasa sediakan kudap-kudapan di dalam kenderaan dan air mineral bagi menghilangkan keletihan ketika memandu.
Lebih mudah jika anda rancang perjalanan dengan mengambil kira tempat persinggahan menarik yang boleh dilawati di sepanjang perjalanan.
Apa-apapun, beringatlah sebelum kena. Buatlah persiapan sewajarnya sebelum perjalanan jauh.
No comments:
Post a Comment