Ruang tamu dan ruang rehat keluarga adalah antara kawasan yang paling penting dalam sesebuah rumah. Justeru, pemilik rumah pasti mahukan perabot yang sesuai memenuhi cita rasa dari segi warna, penampilan dan yang paling penting keselesaan.
Sofa empuk dan selesa adalah antara perabot yang menjadi pilihan penghuni untuk mengisi ruang tamu dan ruang rehat di rumah. Selain daripada memasuki rumah baru, tidak salah juga untuk menggantikan sofa lama kepada yang baru.
Tetapi sebelum itu, banyak perkara yang perlu diambil kira dan diteliti sebelum membeli sofa baru.
Perkara pertama yang perlu diambil kira ialah menentukan bajet yang sesuai untuk sofa yang bakal dibeli. Jika anda ingin menggantikan sofa setiap empat hingga enam tahun, belilah sofa yang tidak terlalu mahal. Tetapi jika mahu terus menggunakan sofa yang dibeli sehingga mencecah umur 10 tahun pilihlah sofa yang kukuh dan berkualiti.
Pilihan sama ada berjenama atau sebaliknya bergantung kepada bajet dan selera anda.
Ada beberapa perkara yang harus diteliti ketika memilih sofa idaman antaranya mengenal pasti tahap kegunaan perabot di ruang tamu.
Misalnya, adakah sofa itu untuk kegunaan keluarga beristirahat dan menonton TV atau perabot berkenaan jarang digunakan. Jika kerap digunakan, pastikan sofa dipilih tahan lasak bagi menerima apa juga bebanan yang dikenakan ke atasnya. Ukuran sesuai adalah yang boleh menampung berat pelbagai saiz dan kumpulan manusia.
Tahap keselesaan sofa bergantung kepada keanjalan dan kelembutan kusyen. Tentukan sama ada hendak memilih jenis kusyen yang melekat atau terasing.
Pengguna perlu mengenal pasti bahan digunakan sama ada ia campuran bahan berbusa (foam), gentian atau kekabu. Pengisian bahan berbusa adalah terbaik kerana dapat mengekalkan bentuk selain memberi sokongan yang kuat.
Selain itu, kekuatan jahitannya, kemantapan kaki sofa sama ada ia cukup mantap, rata dan tidak bergoyah apabila diletakkan bebanan perlu diambil kira.
Tempat letak lengan juga perlu diperiksa bagi memastikan ia benar-benar kukuh. Akhir sekali, periksa rangka kayunya bagi memastikan ia kuat dan tidak goyah.
Ambil masa untuk memeriksa sofa yang hendak dibeli dari segi pembinaan struktur rangka perabot. Sofa tahan lama biasanya menggunakan kayu keras sebagai rangka biarpun ia menyebabkan perabot itu berat diangkat.
Sofa yang baik biasanya berat. Ini menandakan kerangka sofa diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi.
Cuba duduk di sofa yang bakal dibeli sekurang-kurangnya lima minit untuk memastikan ia selesa. Pilihlah kain sofa yang memiliki tenunan rapat. Cara memeriksanya adalah dengan menggosok tangan anda pada kain itu.
Fabrik jenis jacquard paling tahan. Bahan pelindung fabrik pula berfungsi menjaga fabrik bukan ketahanan fabrik.
Untuk menjadikan sofa kelihatan serasi dengan warna dinding ruang tamu atau ruang rehat, pilihlah sofa yang warnanya tidak lari daripada warna dinding atau setidak-tidaknya yang hampir sama.
Kesesuaian gaya juga penting, misalnya, gaya moden menampil sofa rendah dan rata selain nampak bersih dan minimal; gaya klasik menampilkan gaya sofa melengkung, berukir dan berukuran besar; gaya tradisional menampilkan gaya tradisi etnik tertentu yang menggunakan bahan kayu dan gaya resort dan kedesaan menampilkan sofa daripada anyaman serta bahan semula jadi.
Kesesuaian ruang juga perlu diambil kira. Janganlah disebabkan tertarik dengan tawaran jualan murah, anda mengenepikan kesesuaian dengan luas ruang rumah. Lebih mengecewakan, apabila saiz perabot tidak boleh muat walaupun pada pintu rumah.
Pastikan saiz dan dimensi serta ukuran lebar, tinggi dan panjang perabot diketahui bersama dengan ukuran maksimum ruang rumah anda.
2 comments:
arhhh kopak duit aku...
hihihi
Post a Comment