My Followers

Memahami insurans motor


APABILA anda membeli kenderaan bermotor, anda perlu membeli insurans motor. Walau bagaimanapun, terdapat berbagai jenis polisi insurans motor.

Jenis-jenis yang biasa adalah:
Perlindungan pihak ketiga

Polisi ini menginsuranskan anda terhadap tuntutan bagi kecederaan tubuh badan atau kematian yang berlaku kepada orang lain (dikenali sebagai pihak ketiga), dan juga kerugian atau kerosakan kepada harta benda pihak ketiga yang diakibatkan oleh kenderaan anda.

Perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian

Polisi ini menyediakan insurans terhadap tuntutan bagi kecederaan tubuh badan dan kematian pihak ketiga, kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga, dan kerugian atau kerosakan kepada kenderaan sendiri akibat kebakaran yang tidak disengajakan atau kecurian.

Perlindungan komprehensif

Polisi ini menyediakan perlindungan yang paling luas, iaitu kecederaan tubuh badan dan kematian pihak ketiga, kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga dan kerugian atau kerosakan kepada kenderaan anda sendiri akibat kebakaran yang tidak disengajakan, kecurian atau kemalangan.

Pengecualian/Penambahan

Insurans motor yang standard tidak melindungi sesetengah kerugian, seperti kematian atau kecederaan anggota diri sendiri akibat kemalangan motor, liabiliti terhadap tuntutan daripada penumpang-penumpang dalam kenderaan anda (kecuali penumpang-penumpang kenderaan sewa seperti teksi dan bas) dan kerugian atau kerosakan akibat kejadian alam seperti banjir, ribut dan tanah runtuh.

Walau bagaimanapun, anda boleh membayar premium tambahan untuk menambah perlindungan polisi anda terhadap banjir, tanah runtuh, gelinciran tanah dan juga perlindungan kepada penumpang-penumpang anda. Adalah mustahak untuk menyemak polisi anda tentang pengecualian yang dikenakan.
Post a Comment