Wednesday, April 15, 2009

Warna terang sayur, buah pengaruhi kesihatan


PERNAHKAH anda terfikir sayuran berwarna terang sebenarnya mempengaruhi kesihatan kita? Pernahkah juga kita berfikir setiap sesuatu yang Allah ciptakan sebenarnya memberi manfaat besar kepada kehidupan manusia jika digunakan dengan sewajarnya.

Sebagai menambahkan pengetahuan anda, warna pada tumbuhan adalah terhasil daripada fitokimia. Ia bukan saja membuatkannya kelihatan sedap apabila dipandang, tetapi juga membekalkan khasiat yang penting kepada kesihatan seseorang.

Oleh itu, suri rumah dan ibu perlu bijak memilih sayuran dan buah yang berwarna terang ini untuk dihidangkan kepada keluarga kerana menerusi amalan memakan sayuran jenis ini boleh menjadi perisai yang baik kepada tubuh daripada serangan penyakit merbahaya.

Bagi kalangan selebriti di Barat yang sangat mementingkan diet sihat, mereka lebih cenderung memilih sayuran yang berwarna terang sama ada yang berwarna merah, jingga, ungu dan kuning kerana faktor nutrien yang terkandung di dalamnya.

Jika kita lihat warna merah pada sebiji tomato adalah disebabkan kandungan lycopene atau karotenoid di di dalamnya, di mana kandungan lycopene didapati semakin bertambah banyak ketika buah itu matang. Kajian juga mendapati sebiji tomato merah mengandungi kadar lycopene yang lebih tinggi berbanding sebiji tomato berwarna kuning.

Lycopene bertindak sebagai ejen antioksida yang membantu tubuh menyerap radikal bebas dan membaiki sel badan yang rosak dan menyahkan toksin yang menyebabkan penghasilan sel barah.

Antara sayuran dan buah yang berwarna adalah seperti tomato, tembikai, lada merah, lada benggala, labu, lobak merah, limau pomelo merah jambu dan merah.

Beta karotene adalah sejenis karotenoid yang menyebabkan sayuran atau buah itu berwarna jingga seperti lobak merah.

Secara semula jadi tubuh akan menukar beta karotene kepada Vitamin A jika diperlukan. Pada masa sama beta karotene bertindak sebagai ejen anti oksida yang melindungi tubuh dari kebanyakan jenis kanser dan penyakit jantung, memperlahankan kemaraan penyakit mata seperti katarak dari merebak.

Lobak, buah labu, mempelam dan buah aprikot adalah sebahagian contoh kumpulan makanan berwarna jingga. Sebagai contoh, labu adalah sumber Vitamin B6 yang baik, selain sayur-sayuran hijau seperti bayam merah juga banyak mengandungi beta karotene.

Sementara itu, kumpulan sayuran atau buah yang berwarna jingga kuning pula mengandungi beta-crytoxanthin yang diklasifikasi secara kimia sebagai xanthophylls iaitu kandungan ejen anti kanser dan mampu mempertingkatkan fungsi jantung.

Beta-crytoxanthin membekalkan aktiviti anti oksida dalam tubuh.

Nanas, oren, betik, jagung manis, nectarines, buah limau nipis dan peach tergolong dalam kumpulan makanan jingga kuning. Bromelin dalam nanas dan papain di dalam betik adalah enzim proteolitik yang mampu membantu meningkatkan fungsi penghadaman tubuh badan kita. Pisang pula membekalkan Vitamin B6 yang mampu mengawal hormon.

Pengambilan yang banyak buahan dan sayuran yang kaya dengan lutien dan zeaxanthin dalam diet seharian iaitu buah dan sayuran yang tergolong mengandungi pigmen kuning pekat dan atau sayuran berdaun hijau tua mampu mengurangkan risiko penyakit kemerosotan macula dalam retina mata akibat peningkatan usia.

Antaranya seperti bayam, avocado, kacang hijau, kale, kubis, collard greens dan mustard greens adalah dari kumpulan makanan hijau kuning.

Bagi kumpulan sayuran hijau didapati mengandungi glucosinolates, sulforaphane, isothiocyanates dan indoles yang ada peranannya masing-masing kepada kesihatan yang baik.

Sulforaphane dalam tumbuhan bersifat anti karsinogenik (anti kanser), manakala sulforaphane dan isothiocyanates adalah ejen anti oksida dan merangsang pengeluaran enzim penyah toksin asli yang mujarab kepada tubuh. Indoles pula mampu mengelakkan sel-sel badan dari kerosakan sel dan penyakit kanser.

Iaitu seperti brokoli, kubis Brussels. Bok Choy, kubis bunga dan kubis adalah ahli kumpulan hijau. Kebanyakan sayuran cruciferous (tergolong dalam keluarga sayur kubis) berperanan mengurangkan risiko kanser.

Umpamanya brokoli sumber yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin C, beta-karotene dan asid folik yang sangat baik. Kubis juga tidak mengandungi kolesterol, berkalori rendah dan sumber Vitamin C yang bagus. Kubis bunga pembekal folat yang baik.

Bawang putih, bawang merah dan kucai tergolong dalam kumpulan makanan putih dan berbau tajam. Ia mengandungi allyl sulfides yang juga ejen anti tumor, selain mampu mengurangkan kolesterol tidak baik dan tekanan dalam darah.

Dikatakan kumpulan makanan berwarna ungu sama ada ada buahan, sayuran atau bunganya berwarna merah, ungu dan biru ungu mengandungi anthocyanin; iaitu ejen anti oksida terbaik. Pigmennya mudah larut dalam air dan mampu memantulkan warna merah hinggalah ke biru.

Ia mampu melindungi badan dari kerosakan osidatif yang menyebabkan penyakit jantung, kanser dan penuaan. Anggur ungu, beri biru, beri hitam, rasberi, kranberi, plum, buah prun, kismis, buah terung, blackcurrant dan kubis ungu tergolong dalam kumpulan makanan ungu.

No comments: