Tuesday, April 7, 2009

Ujian Allah angkat darjat manusia

PERNAH dengar katakata "kesakitan dan kesukaran itu satu nikmat?" Selama ini kita tahu nikmat itu adalah kekayaan, kesihatan, kemudaan, kesenangan, ketenangan, kebahagiaan serta bermacam-macam yang menyenangkan hati kita. Jadi, bagaimana sakit dan susah boleh menjadi nikmat?

Cuba lihat generasi orang beriman terdahulu, mereka yang hidup pada awal kera sulan. Mereka adalah orang yang hidup dalam kesukaran dan kepayahan.

Mereka merasai kelaparan, kemiskinan, dihalau, disakiti, meninggalkan segala yang dicintai, diseksa bahkan dibunuh.

Tetapi mereka mempunyai keimanan yang kukuh, hati yang baik, bahasa serta ilmu yang luas, lahir dari jiwa nuraninya.

Banyak juga kita mendengar individu yang hidup susah lebih tabah dan berdaya saing dalam kehidupan mereka. Contohnya pelajar yang hidup miskin dan susah cemerlang dalam pelajaran.

Jika ditanya resepi kejayaan, katanya, kemiskinan dan kepayahan hidup membuatkan mereka lebih bersungguh, bersemangat serta banyak berserah dan berdoa pada Allah. Biasanya kesakitan dan kesusahan melahirkan doa yang penuh keikhlasan dan pengharapan.

Berbeza dengan yang kaya dan senang hidupnya, semua cukup, malah tidak pernah berasa susah dan merasai masalah kehidupan.

Bak kata, sekali petik semua terhidang. Biasanya orang begini cenderung menjadi malas, enggan berusaha serta mudah putus asa.

Lagi menakutkan jika iman di dada gagal dihayati dalam kehidupan lantaran alpa dengan kesenangan.

Jadi tidak perlu menangisi diri jika kita perlu bersusah payah, tidak perlu berasa terhina, tidak perlu takut dengan beban hidup, sebab mungkin beban dan susah itu akan memberikan kekuatan dan nikmat pada suatu hari nanti.

Bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Rasulullah s.a.w pernah meminta sahabat menghilangkan perasaan tidak percaya pada diri, rasa lemah dan takut, malah menanamkan sikap izzah iaitu harga diri yang mulia, berani mengungkapkan pendapat serta mengekspresikan pemikiran dan pendapat tanpa takut pada manusia jika kita benar.

Rasulullah s.a.w menanamkan di dalam jiwa sahabat, setiap musibah, kesakitan serta kepayahan hidup adalah ujian Allah yang bertujuan meninggikan darjat manusia, menghapuskan dosa serta memberikan pahala.

Ajaran nabi ini menguatkan diri sahabat dengan sifat sabar, reda dan pasrah dengan qadar Allah. Sebagai mana sabda baginda bermaksud:

"Tidaklah seorang mukmin ditimpa penyakit,bencana dan kesedihan sehingga berdukacita kecuali Allah menghapuskan dosa-dosanya." (Hadis Riwayat Assyaikhani dan Tirmidzi)

Justeru, kesakitan dan kepayahan adalah nikmat jika kita menghadapinya dengan sabar, bersemangat, pasrah dan bergantung pada Allah serta qada-Nya (ketentuan-Nya).

Penyakit fizikal masih ada peluang dirawat, tetapi lebih bahaya jika pemikiran dan iman kita yang sakit. Dalam al-Quran sendiri lebih banyak amaran mengenai penyakit akidah berbanding penyakit jasmani.

Firman Allah bermaksud: "Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."

No comments: