Friday, April 3, 2009

Bacaan secara tahqiq


KELEBIHAN membaca al-Quran amat besar. Satu huruf al-Quran diberi 10 pahala.

Bagi yang tidak tahu membaca al-Quran, alangkah rugi kerana gagal mendapat ganjaran sebegitu besar.

Justeru, wajar umat Islam memastikan masing-masing boleh membaca al-Quran, walaupun tidak mahir sepenuhnya. Bagi mereka yang tidak tahu membaca, wajib belajar.

Melihat kepentingan penguasaan bacaan al-Quran, Islamic Media Edutainment menerbitkan sebuah album khusus bagi mereka yang ingin mempelajari al-Quran.

Album terbaru ini berjudul Mushaf Muallim, yang menampilkan bacaan al-Quran secara tahqiq, iaitu bacaan perlahan yang berkonsepkan belajar dan mengajar.

Guru dalam album ini ialah Mohd Taha Hassan Azhari, iaitu seorang anak kepada tokoh terkenal pengajian ilmu tajwid di negara ini, yang kini belajar di tahun akhir jurusan hadis di Universiti al-Azhar, Kaherah.

Mohd Taha berkata, bacaan tahqiq adalah satu daripada tertib bacaan al-Quran yang empat selain tartil, tadwir dan hadr.

"Konsep bacaan tahqiq adalah bacaan al-Quran yang dibaca secara perlahan, lambat dan tidak tergesa-gesa, iaitu berkonsep mengajar. Bacaannya hampir dengan bacaan tartil, tetapi lebih lambat dan perlahan.

"Secara teorinya bacaan ini digalakkan untuk diamalkan guru al-Quran kerana bacaannya yang tidak terlalu laju itu memudahkan murid memahami dan mengikuti bacaan yang diajar," katanya.

Menurutnya, Rasulullah s.a.w mengajar sahabat baginda membaca al-Quran dengan cara bacaan demikian.

Imam Hamzah al-Kufi, iaitu seorang imam qiraat yang tujuh juga katanya, meriwayatkan bacaan al-Quran dengan bacaan berkenaan.

"Tetapi konsep bacaan ini semakin dilupakan kebelakangan ini, melainkan kita yang menghidupkannya," katanya.

Melalui album itu, beliau akan membaca beberapa surah lazim dari juzuk ke-30 dengan bacaan tahqiq.

Bacaan dimulakan dengan surah al-Fatihah, diikuti surah ad-Duha sehingga an-Nas. Setiap bacaan beliau akan diikuti oleh murid.

Mohd Taha berkata, album terbabit sebagai praktikal kepada satu sesi pengajian al-Quran.

"Bacaan secara perlahan memudahkan pendengar yang baru berjinak-jinak mengaji al-Quran.

"Album ini sangat sesuai dimiliki pelbagai lapisan masyarakat kerana ia adalah alternatif untuk golongan yang ingin belajar al-Quran.

"Golongan yang baru memeluk Islam juga boleh mendapatkan album ini, cuma dalam pembelajaran guru mesti ada dan bahan ini sebagai panduan," katanya.

(Oleh Idris Musa )

1 comment:

Anonymous said...

Amiable post and this mail helped me alot in my college assignement. Thank you for your information.