Friday, March 6, 2009

Kota A'Famosa warisan Portugis di Melaka




SEKIRANYA merancang untuk melancong ke Melaka, pastikan nama Kota A'Famosa ada dalam senarai kunjungan. Bekas kubu pertahanan Portugis berusia kira-kira 500 tahun ini, adalah destinasi yang wajib dilawati sebaik memijak penempatan penduduk antara tertua di Malaysia ini.

Malah, tidak akan lengkap lawatan ke negeri itu jika tidak mengunjungi tempat berkenaan, selari dengan slogan pelancongan negeri kelahiran Hang Tuah ini, iaitu Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia.
Kota A'Famosa terlalu sinonim dengan Melaka, sebab itu ia dianggap sebagai mercu tanda industri pelancongan di negeri berkenaan.

Bagi yang pertama kali datang ke Melaka, amat mudah untuk mencari tempat ini kerana terletak betul-betul di pusat tumpuan pelancongan negeri berkenaan, selain bersebelahan pusat beli-belah terkenal Dataran Pahlawan Melaka Megamall di Bandar Hilir.
Mengikut bahasa Portugis Kuno, A'Famosa bermaksud yang hebat. Kehebatan yang dimaksudkan di sini, tentunya merujuk kepada struktur premis dibina dengan reka bentuk menakjubkan dan pertama seumpamanya di Melaka ketika itu.

Jika diimbas sejarahnya, Kota A'Famosa dipercayai dibina sepanjang satu kilometer dan dilengkapi lapan rumah kubu atau bastion, selain mempunyai empat pintu gerbang untuk urusan keluar masuk penduduk serta barangan dagangan. Dikatakan kota ini dibina di bawah runtuhan Masjid Melayu dan makam lama Kesultanan Melayu Melaka.

Pembinaannya bukan saja bertujuan sebagai kubu dan pengekalan kuasa Portugis ketika itu, malah menjadi lokasi bagi penempatan masyarakat berkenaan. Ketika itu, semua aktiviti masyarakat penjajah ini bertumpu di situ, manakala persekitarannya pula dihuni komuniti Melayu, kebanyakannya bekerja sebagai petani dan nelayan.

Apabila Belanda berjaya mengambil alih pemerintahan Melaka pada 1641, sebahagian besar tembok kota ini musnah akibat terkena bedilan ketika ia dipertahankan Portugis. Penjajah baru dari Eropah itu bagaimanapun tidak merobohkan terus kota ini, sebaliknya memperbaiki sebelum turut menjadikan ia penempatan mereka.

Selepas Melaka diambil alih oleh British pada awal 1800, Residen pertamanya ketika itu William Farquhar mengarahkan kota berkenaan diruntuhkan. Matlamatnya agar tiada lagi tinggalan Portugis atau Belanda di Melaka, di samping ingin memaparkan kehebatan mereka menakluk pusat perdagangan terbesar di rantau Nusantara.

Kerja meruntuhkan sebahagian Kota A'Famosa ini bermula 1807 dikatakan mengambil masa tiga bulan dengan menggunakan bom. Bagaimanapun kerja-kerja itu dihentikan seorang pegawai kanan Inggeris ketika itu, Sir Stamford Raffles, atas alasan ia wajar jadi bahan sejarah untuk tatapan masa depan.

Malangnya, usaha beliau agak terlambat kerana hanya rumah kubu iaitu pintu masuk Santiago Bastion seperti yang dilihat hari ini berjaya diselamatkan. Penjajah Inggeris yang menakluk Melaka sehingga merdeka, selepas itu tidak pula pernah mengambil sebarang usaha memulihara kota berkenaan sebagai bahan sejarah.

Jadi apa yang boleh dilihat menerusi tinggalan Portugis ini sekarang, hanyalah struktur pintu gerbang di bahagian Selatan kota berkenaan, manakala sebahagian besar struktur kotanya hancur dimusnahkan sama sekali. Namun pada hari ini, kita dapat lihat kerajaan Melaka sedang berusaha mewujudkan semula kota yang musnah itu.
Menariknya mengenai Kota A'Famosa ini juga, lokasi ia berada sekarang dikelilingi oleh pelbagai tarikan pelancongan khususnya dalam bentuk produk sejarah atau tinggalan lama. Jadi bagi pengunjung yang ingin melawat kota ini, pastinya akan berpuas hati kerana mendapat `bonus tambahan' untuk dilawati.
Antaranya, Dataran Pahlawan yang menjadi lokasi Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 20 Februari 1956, ketika rombongan beliau selamat tiba dari London.

Selain itu, Bangunan Stadhyus (Rumah Merah) yang dibina Belanda pada 1650-an, selain Gereja St Paul di atas Bukit Melaka yang dibina Kapten Duarte Coelho, pelbagai muzium dan galeri di Jalan Kota serta replika kapal dagang. Tarikan terbaru di kawasan ini adalah Menara Taming Sari disamping beca dan pusat beli belah Mahkota Parade.

Terdapat juga beberapa sekolah berusia lebih 100 tahun yang menjadi jiran Kota A'Famosa, seperti Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis dan Sekolah Menengah Tinggi Melaka serta hotel bertaraf lima bintang, iaitu Hotel Equatorial.

3 comments:

Anonymous said...

Rather interesting. Has few times re-read for this purpose to remember. Thanks for interesting article. Arvel.

Unknown said...

hey, thanks ! i use some info from this article to do my assignment :)

Anonymous said...

Mungkin menarik artikel kamu.Tetapi apa yang kamu cuba sampaikan adalah sesuatu yang membuat saya ingin bertanya sesuatu.Anak-anak generasi muda pada hari ini begitu cepat sangat terpengaruh dengan budaya luar contohnya dengan mendakwa Hang Tuah Pahlawan Kesultanan Melaka tidak wujud, mungkin pada suatu hari nanti mereka juga berani mencabar dengan mengatakan Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka juga tidak wujud disebabkan kekurangan peninggalan Empayar Kesulatanan Melayu Melaka yang mereka nampak dengan peninggalan si penjajah dan begitu bangga yang tidak bertempat.Diharapkan agar dalam usaha memelihara peningalan penjajah mestilah didahulukan dengan mengembalikan bukti-bukti peninggalan dan tapak Empayar Kegemilangan Kesulatanan Melayu Melaka ketempat asalnya agar generasi di masa hadapan lebih mencintai tanah air sendiri.sekadar memberi pendapat