My Followers

Bukit Fraser masih asli

JIKA berkunjung ke Bukit Fraser, Pahang, pasti pengunjung tidak akan terlepas melihat Menara Jam yang menjadi daya tarikan utama sebaik tiba di pusat peranginan tanah tinggi berkenaan.

Ini kerana Menara Jam yang terletak di pintu masuk utama Bukit Fraser ibarat penyambut tetamu kerana kebanyakan risalah dan poster menggunakan gambar menara itu.

Dengan suasana nyaman dan dingin serta bangunan bercirikan Eropah, pengunjung seakan berada di negara Eropah yang tidak asing dengan musim sejuk.

Bukit Fraser yang terletak kira-kira 1,500 meter dari aras laut di atas Banjaran Titiwangsa masih kekal dengan keindahan alam semula jadi yang mampu membuatkan pengunjung tenang.

Bagi mereka yang gemar suasana romantis dan mahu menjadikan destinasi bulan madu, Bukit Fraser destinasi pelancongan terbaik untuk dikunjungi.

Dengan pelbagai kemudahan seperti hotel, resorts, chalet dan pangsapuri, pengunjung tidak perlu gusar untuk mendapatkan penginapan bagi menikmati suasana nyaman dan tenang.

Bagi mereka yang belum mengetahui bagaimana Bukit Fraser mendapat nama, difahamkan seorang rakyat Scotland bernama James Fraser dikatakan mula menemui kawasan berkenaan pada sekitar 1890-an.

Pada 1922, jalan raya mula dibina merentasi gunung menuju ke puncak diikuti pembinaan banglo dan padang golf.

Ketika zaman penjajahan kolonial, Bukit Fraser menjadi tempat pegawai Inggeris dan keluarga mereka berehat.

Namun, kini semua berubah apabila Bukit Fraser semakin mendapat perhatian pengunjung sebagai destinasi pelancongan terunggul di negara ini.

Usaha Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) menganjurkan Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa setiap tahun turut mempopularkan lagi kawasan peranginan itu.

Berdasarkan statistik, lebih 250 spesies burung boleh didapati di pusat peranginan itu, malah ada pemenang pernah mengesan sehingga 70 spesies burung hanya dalam tempoh 24 jam.

Selain menikmati keindahan alam semula jadi, banyak aktiviti boleh dilakukan di Bukit Fraser termasuk `jungle trecking', meniti laluan denai, berakit, berkelah di air terjun, golf, memancing, tenis, memanah, menunggang basikal dan squash.

Kanak-kanak pula pastinya gembira kerana dapat menunggang kuda dan menaiki bot di tasik. Selain itu, mereka juga boleh mempelajari pelbagai maklumat mengenai alam semula jadi di Pusat Pendidikan Alam.

Bukit Fraser juga sesuai bagi mengadakan seminar, persidangan, perjumpaan kakitangan, kursus dan hari keluarga.

>Info Zoom

Bukit Fraser terletak kirakira 104 kilometres dari Kuala Lumpur. Anda boleh menggunakan dua jalan alternatif untuk ke sini. Pertama, melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebelum memasuki jalan ke Raub. Sebelum simpang ke bandar Raub, belok ke kiri. Laluan lain ialah menggunakan jalan lama ke Kuala Kubu Baharu dan anda akan melihat papan tanda untuk ke Bukit Fraser.

Post a Comment