Wednesday, April 2, 2014

Cermin diri untuk atasi peningkatan kos sara hidup


AKHIR-AKHIR ini kita diikejutkan dengan kenaikan harga barangan terutama produk-produk utama yang menjadi kegunaan penting seperti minyak petrol, minyak masak, tepung, gula dan sebagai. Tentu tidak sedikit tercetus perasaan kebimbangan dan kerisauan dengan keadaan krisis ekonomi yang sedang melanda negara sedunia.

Sebagai suri rumah pasti kita juga akan terkena tempiasnya, lebih-lebih lagi dengan berita tersebut di saat kita sedang membuat persiapan persekolahan anak-anak. Banyak perkara yang perlu diuruskan dan melibatkan kos terutama pakaian sekolah, peralatan sekolah seperti buku termasuk juga yuran persekolahan dan tambang pengangkutan.

Jika anak-anak ramai agak sukar bagi ibu dan bapa untuk mengagihkan kewangan dan melengkapkan semua keperluan tersebut sekaligus. Bagi ibu bapa yang bekerja berpendapatan tetap pun merasai bagaimana kos sara hidup yang semakin tinggi meningkat, bagaimana pula dengan keadaan ibubapa yang tidak berpendapatan tetap, yang hanya bekerja sendiri seperti petani, buruh kasar dan nelayan.

Wanita yang bergelar isteri dan ibu sepatutnya mengetahui cara berbelanja dengan berhemah dan tidak mengikut kehendak diri dengan berbelanja pada sesuatu barang atau perkara yang tidak penting. Utamakan keperluan yang penting seperti barang keperluan dapur dan wang perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Elakkan makan di luar dan membeli makanan yang sudah siap. Di samping untuk berjimat, bagi menjaga kebersihan dan kesihatan dari segi pemakanan, ini kerana makanan segera banyak pengawetnya dan tidak segar.

Tingkatkan kemahiran diri seperti mengambil inisiatif belajar memasak seperti membuat kuih, kek atau biskut dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dengan cara ini lebih menjimatkan kos jika dibandingkan membeli yang readymade di luar. Jika ada kemahiran lagi baik dan dapat menambah pendapatan keluarga.

Perbelanjaan berhemah juga mengutamakan keperluan utama dan tidak mudah terpengaruh dengan peralatan rumah yang tidak perlu seperti hiasan-hiasan rumah yang mahal dan membawa pembaziran. Janganlah melihat kepada mereka yang mempunyai kemampuan dan gaya kehidupannya yang mewah.

Jika ditakdirkan Allah menjadi orang yang sederhana pendapatannya, tidak perlu terlalu teruja untuk memiliki kemewahan dalam sekelip mata. Sikap ini akan menyebabkan tidak senang dan gelisah sepanjang masa dan asyik berangan-angan untuk mendapatkan juga sebagaimana yang dimiliki orang lain.

Ringankanlah diri membaca kisah kehidupan para isteri Rasulullah dan para sahabiah, ini sebagai motivasi dan mendidik jiwa supaya kita tidak dipengaruhi dengan dunia dan banyak memikirkan bagaimana hendak menambahkan barang perhiasan diri dan peralatan rumah yang mahal dan serba canggih, juga bagaimana hendak membeli pakaian yang indah dan berkualiti.

Sebenarnya inilah salah satu cara kita sebagai suri rumah yang prihatin dan bijak menguruskan ekonomi keluarga, berusahalah menjadi pembantu yang baik kepada suami dan tidak menyusahkan mereka dalam urusan berbelanja. Itulah suri rumah efektif dan berjaya.

Sebagai muhasabah ialah untuk perkara dunia, lihatlah orang yang di bawah supaya kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, untuk perkara agama, lihatlah orang di atas agar kita tidak memadai dengan apa yang kita ada.

 - Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: