TERTINGGAL barang di bilik hotel saat bercuti adalah perkara yang sering berlaku. Keadaan ini juga sering dilalui mereka yang bercuti dengan anak-anak terutama anak kecil.
Menginap di bilik hotel yang sama dalam tempoh yang lama juga boleh menyebabkan anda tertinggal barang saat daftar keluar.
Kejadian tertinggal barang ini juga ada kalanya menyusahkan dan merugikan lebih-lebih lagi barang yang tinggal itu adalah barang yang penting.
Oleh itu, jangan terburu-buru daftar keluar dari bilik hotel. Tip melancong minggu ini menyenaraikan beberapa panduan yang perlu anda lakukan sebelum daftar keluar dari bilik hotel supaya tertinggal barang boleh dielakkan.
Periksa kembali keseluruhan bilik dengan teliti
Periksa keseluruhan bilik dengan teliti walaupun anda sudah berbuat demikian. Jangan sekadar melihat sekilas walaupun anda kesuntukan masa.
Periksa di sebalik selimut sampai di bawah katil. Mana tahu ada barang yang terjatuh.
Periksa juga di setiap laci lebih-lebih lagi jika anda menginap di bilik dalam beberapa hari atau bersama anak kecil. Anda mungkin menyimpan sesuatu di dalam laci atau anak-anak memasukkan barang dalam laci tanpa anda sedari.
Jangan lupa periksa bilik mandi termasuk di bahagian pancuran mandi serta almari dan kotak deposit.
Periksa alat mengecas bateri anda
Soket di bilik hotel biasanya tersembunyi atau terlindung dari meja dan kerusi. Justeru, ketika mengecas, ramai tetamu yang tertinggal pengecas bateri.
Pastikan anda mengambil kembali pengecas anda sebelum meninggalkan bilik hotel.
Periksa pengeluaran anda
Hitung kembali perbelanjaan yang anda keluarkan untuk bilik hotel anda. Adakah anda ada mengambil minuman dan makanan di mini bar. Jika ya, kira berapa harganya.
Hitung juga segala perbelanjaan lain yang anda lakukan seperti memesan makanan menerusi `khidmat pesanan bilik'. Ingat kembali sama ada anda membuat pembayaran atau sebaliknya.
Begitu juga dengan penggunaan telefon. Catit masa menelefon dan tempoh perbualan anda. Kira semuanya kerana ada kalanya hotel boleh tersalah kira keseluruhan perbelanjaan yang anda lakukan.
Wang deposit
Biasanya sebelum daftar masuk, pihak hotel meminta anda meninggalkan sejumlah wang tunai atau kad kredit sebagai pendahuluan.
Biasanya, segala perbelanjaan atau bayaran yang dikenakan akan ditolak dari wang deposit itu.
Namun, pastikan anda mengingati segala perbelanjaan yang dilakukan dan jangan lupa mengingatkan petugas hotel mengenai deposit itu.
Isi maklum balas pelanggan
Di bilik penginapan di hotel biasanya ada kertas yang meminta pendapat atau maklum balas tetamu.
Tulis dan beri komen dengan jujur kerana maklumat dari tetamu sangat berguna untuk pihak hotel.
Anda juga boleh memberikan cadangan atau penambah baikkan terutama jika anda ada sebarang usul yang ingin disampaikan kepada pengurusan hotel.
Sumber: Harian Metro - Variasi - Oleh Suliati Asri
No comments:
Post a Comment