Monday, December 16, 2013

Selenggara kereta anda sebelum perjalanan jauh


KENDERAAN memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelancaran pemanduan ketika di jalan raya. Sebagai pemandu, anda perlu sentiasa memeriksa kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan sempurna dan selamat untuk dipandu.

Berikut adalah komponen atau bahagian kenderaan yang perlu anda titik beratkan sebelum memulakan perjalanan jauh.

Lakukan Aktiviti Fizikal

Keadaan enjin yang baik amat perlu bagi memastikan keselamatan perjalanan kerana enjin merupakan nadi sesebuah kenderaan. Justeru, pemeriksaan rapi ke atas enjin perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan jauh demi keselamatan diri dan keluarga.

Minyak enjin yang tidak pernah ditukar walaupun setelah melakukan perjalanan melebihi ribuan kilometer akan menyebabkan kerosakan enjin. Pemeriksaan rapi juga perlu dilakukan untuk memastikan minyak enjin anda mencukupi atau tidak bagi sesuatu perjalanan.

Bateri

Jangka hayat bateri baru lazimnya menjangkau di antara dua hingga lima tahun. Jika bateri sudah berusia di antara empat hingga lima tahun, anda mungkin perlu menukarnya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan.

Bagi memastikan bateri berada pada tahap memuaskan, periksalah terminal negatif dan positif pada bateri untuk melihat sama ada terdapat sebarang hakisan akibat karat pada bateri tersebut atau tidak. Jika ada, tuangkan air panas padanya untuk menghilangkan hakisan karat tersebut. Sekiranya, bateri masih boleh digunakan, periksa tahap air bateri di dalamnya. Air bateri mesti berukuran lima millimeter melebihi paras plet atau berada di antara tahap tertera pada bateri.

Radiator dan Cecair Penyejuk

Radiator bocor akibat kepanasan malampau apabila memandu terlalu lama antara yang amat ditakuti. Keadaan ini akan melambatkan pejalanan kerana anda memerlukan masa untuk merehatkan kenderaan dari melakukan perjalanan jauh. Bagi mengelakkannya, pastikan radiator memilki air yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Letakkan juga cecair `coolant' untuk membantu menyejukkan sistem enjin apabila kereta bergerak. Periksa juga kipas pendingin radiator dan talinya bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Elakkan membuka penutup radiator ketika ia masih panas kerana ia boleh melecurkan tangan anda.

Bahagian Lain Di Bawah Bonet

Tali sawat kipas adalah bahagian lain yang perlu diperiksa. Pastikan tali ini tidak merekah atau rosak. Jika rosak, gantikan tali tersebut dengan tali baru sebelum ianya mengakibatkan kerosakan besar pada bahagian enjin jika ia terputus di tengah jalan.

Anda juga perlu memastikan cecair bagi sistem brek dan brek pad mencukupi bagi mengelakkannya haus.

Periksa juga cecair stereng berkuasa bagi melancarkan sistem gear dan stereng supaya ia melancarkan pemanduan anda. Selain itu, bersihkan penapis udara dengan lebih kerap kerana debu yang melekat bukan hanya akan membuatkan komponen enjin kotor tetapi juga boleh menyebabkan gangguan.

Tayar

Tayar penting kerana ia menampung berat muatan. Oleh itu, pastikan tayar tidak mengalami sebarang rekahan, botak atau menggelembung.

Tukarlah tayar jika corak bunga tayar botak kerana memandu kereta dengan keadaan tayar yang botak sangat membahayakan terutama ketika hujan lebat kerana mungkin kereta akan gagal dikawal akibat permukaan jalan yang licin. Sebaik tayar ditukar, lakukan penjajaran, pengimbangan dan periksa tekanan angin pada tayar.

- Artikel sumbangan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@ hotmail.com

No comments: