Monday, December 23, 2013

Apa itu bajet?



BAJET merupakan satu pelan perbelanjaan, iaitu cara untuk mengimbangi wang yang anda miliki dengan wang yang anda belanjakan. Anda membuat satu perancangan dengan membuat pilihan. Anda memutuskan apa yang akan anda belanjakan, berapa banyak yang akan dibelanjakan dan berapa banyak yang anda akan simpan.

Pelan kewangan anda adalah berdasarkan kepada pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan ialah wang yang masuk ke dalam poket anda. Perbelanjaan pula ialah perkara yang memerlukan anda mengeluarkan wang. Oleh kerana pendapatan setiap orang berbeza, maka pelan anda perlu bersesuaian dengan kedudukan dan kewangan anda. Bajet anda berasaskan kepada Matlamat, Keperluan dan Kehendak. (lihat carta)

Seperti yang anda boleh lihat pada carta, kadangkala sukar untuk membezakan antara Keperluan dan Kehendak. Semakin lama, keperluan asas kita semakin bertambah, iaitu selain daripada makan dan minum, tempat tinggal dan pakaian. Keperluan juga berbeza bergantung kepada latar belakang setiap individu. Seorang jurujual mungkin akan melakukan kerjanya dengan lebih berkesan sekiranya memiliki kereta. Kini, telefon mudah alih merupakan satu keperluan untuk berkomunikasi. Begitu juga dengan komputer. Namun, terdapat kereta yang berharga RM30,000, sementara ada juga yang berharga RM300,000; telefon mudah alih yang berharga RM100 dan yang lain berharga RM1,000 dan ada computer yang berharga RM1,000, sementara computer yang lain berharga sehingga RM10,000. Keperluan hanya beberapa sahaja, tapi kehendak boleh jadi tiada penghujungnya.

Mengapa saya memerlukan bajet?

Sesiapa sahaja yang mempunyai pendapatan dan perbelanjaan memerlukan bajet. Perancangan kewangan boleh membantu anda membelanjakan wang untuk mencapai matlamat anda. Anda boleh mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk membuat bajet dan mempraktikkannya. Pelan kewangan ini akan membantu anda mengawal kewangan anda. Anda dapat mengelak daripada menghadapi masalah kewangan dan mencapai matlamat anda dengan lebih mudah.

 Bagaimana saya boleh mula merancang bajet?

Untuk membuat satu perancangan kewangan, senaraikan Pendapatan dan Perbelanjaan Tetap, iaitu perbelanjaan yang tidak berubah dari bulan ke bulan, seperti sewa rumah, ansuran rumah dan kereta atau premium insurans. Perbelanjaan yang lain adalah pemboleh ubah, iaitu berubah-ubah pada setiap bulan, seperti bil air dan elektrik, pakaian atau hiburan. Kemudian, anda perlu tahu bagaimana membelanjakan duit anda. Anda boleh menyenaraikan apa yang anda beli dan berapa yang anda belanjakan. Ia memerlukan masa dan usaha tetapi memberi manfaat kerana dapat membantu anda mengetahui berapa banyak wang yang dibelanjakan dan ke mana ia dibelanjakan.

Dalam tempoh 30 hari seterusnya, setiap kali anda berbelanja, catatkan dalam buku perancangan (gunakan Excel spreadsheet, jika anda mahir menggunakan komputer), berapa yang anda belanja dan ke mana anda membelanjanya. Catat semua perbelanjaan anda sama ada dalam nilai yang kecil atau besar, seperti membayar bil, mengisi minyak kenderaan, menonton wayang, bersedekah/membayar zakat, termasuklah membeli nasi lemak. Semua perbelanjaan itu perlu dicatat.

Pada hujung bulan, gunakan kalkulator untuk menjumlahkan setiap kolum di bawah carta agar dapat anda boleh melihat berapa banyak duit yang telah dibelanjakan dalam setiap kolum. Kemudian, jumlahkan semua kolum untuk melihat berapa banyak wang yang anda belanjakan dalam sebulan secara purata. Didik anak-anak anda membuat latihan ini kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka, tetapi juga mendedahkan kepada mereka tentang konsep bajet.

 Bagaimana saya hendak memutuskan di mana untuk berbelanja?

Dengan melihat semula spreadsheet/carta yang telah anda catatkan, anda dapat mengetahui ke mana wang anda dibelanjakan. Berbincang mengenai carta perbelanjaan anda dengan kaunselor kewangan atau mereka yang lebih arif tentang perancangan kewangan. Sebahagian besar wang anda digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian. Ini merupakan keperluan dan anda akan sentiasa membelanjakan wang untuk keperluan hidup. Tetapi anda sendiri boleh menentukan berapa banyak yang perlu dibelanjakan. Perbelanjaan lain seperti membeli pakaian baru, pinggan mangkuk baru atau permainan baru untuk anak-anak anda. Ini pula adalah kehendak. Walaupun anda mungkin gemar membelanjakan wang untuk memenuhi kehendak, namun sebenarnya anda boleh hidup tanpanya.

Soalan berikut mungkin dapat membantu anda membuat keputusan tentang perkara yang perlu dilakukan:

 Perbelanjaan manakah yang tidak boleh dipotong?

 Berapakah perbelanjaan minimum yang saya perlukan untuk hidup?

 Perbelanjaan yang mana satu ialah Keperluan dan yang mana satu ialah Kehendak?

 Apakah yang akan berlaku jika saya menangguhkan beberapa perbelanjaan?

 Bolehkah saya membeli produk yang sama tetapi berharga lebih rendah?

Setelah anda mengkaji carta pendapatan dan perbelanjaan anda, maka anda telah bersedia untuk membuat bajet peribadi. Catatkan berapa banyak wang yang anda perlukan untuk setiap jenis perbelanjaan dalam sebulan. Sebagai contoh: RM300 untuk makan minum, RM100 untuk pengangkutan, RM50 untuk simpanan dan sebagainya.

Cuba tetapkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Sebagai contoh matlamat jangka pendek: hadkan wang untuk makan minum sebanyak RM10 sehari, menggunakan pengangkutan awam seperti bas/ LRT ke tempat kerja dan sebagainya. Contoh matlamat jangka panjang: simpan RM1,000 untuk membeli peti sejuk baru (model yang jimat tenaga dan mesra alam adalah ideal!), melangsaikan hutang atau mungkin berpindah ke kawasan perumahan baru (atau balik kampung!).

 Bagaimana saya dapat mematuhi bajet?

Ini adalah bahagian yang mencabar! Ia memerlukan latihan dan disiplin diri untuk mematuhi bajet anda. Hanya anda seorang saja yang boleh mematuhi perancangan anda. Di sini ada beberapa cadangan yang boleh membantu anda untuk mematuhi bajet anda:

 Bayar bil yang diperlukan terlebih dahulu. Jika boleh, cuba aturkan supaya bil-bil anda tidak perlu dibayar serentak pada hari yang sama.

 Simpan duit setiap bulan, tidak kira berapa jumlahnya. Anda cuma perlu menjadikannya sebagai satu tabiat.

 Buat satu senarai barangan yang ingin dibeli sebelum anda pergi membeli-belah. Semasa anda membeli-belah, ingat perbezaan antara keperluan dan kehendak.

 Buat perancangan terlebih dahulu dan beli barangan ketika ada jualan murah. Membeli-belah di kedai yang membuat potongan harga atau pasar lambak. Kongsi barangan yang boleh digunakan semula dengan keluarga dan rakan.

 Pelajari cara-cara menyimpan wang daripada keluarga dan rakan.

 Rekodkan apa yang anda belanja dan berapa perbelanjaan anda. Jadikannya mudah dan senang untuk dibuat. (Tip: mungkin "buku kecil 555" amat berguna!)

 Bandingkan rekod ini dengan perancangan kewangan yang anda telah catatkan supaya anda boleh lihat jika anda telah mematuhinya.

 Bilakah perlu saya ubah bajet saya?

Jangan panik atau kecewa jika anda tidak dapat mematuhi bajet anda sepenuhnya. Ia mengambil masa dan memerlukan latihan untuk mengubah sebarang tingkah-laku, lebih-lebih lagi tabiat berbelanja! Anda mungkin perlu mengubah bajet anda mengikut keperluan anda dan keluarga anda. Jika pendapatan anda bertambah atau berkurangan, anda perlu mengubahnya. Yang penting, anda mempunyai satu pelan dan anda dapat mengurus kewangan anda.

Akhir sekali, sentiasa ingat untuk "Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup".

Artikel ini adalah sumbangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Hubungi AKPK melalui 1-800-88-2575 atau layari laman web www.akpk.org.my. AKPK turut berada di www.youtube.com, www.facebook.com dan juga di www.twitter.com/ AKPK1.

No comments: