Friday, October 18, 2013

Kenali 7 ciri penting mesin basuh


MEMBELI kelengkapan rumah umpama membuat satu pelaburan. Pembelian berbaloi bakal menyenangkan kehidupan rutin sebaliknya kesilapan memilih mempelawa risiko tertentu misalnya, perlu mengeluarkan wang lagi bagi membaiki peralatan rosak, lebih melambatkan kerja seterusnya menjejaskan minat anda untuk melangsaikan kerja rumah.

Memilih mesin basuh juga memerlukan penelitian dan pertimbangan jitu. Sepatutnya, senaraikan dulu keperluannya mengikut turutan yang paling penting hingga kurang penting, misalnya sama ada memerlukan kapasiti  ruang yang besar, program cucian tangan, automatik atau separuh automatik dan sebagainya sebelum mengambil keputusan membeli.

Perkara wajib tahu

Beberapa perkara wajib diketahui seperti trend terkini mesin basuh adalah menyediakan muatan besar kapasiti, teknologi membilas berkuasa tinggi dan kecekapan guna tenaga semata-mata memastikan proses mendobi berjalan lancar. Khusus membantu anda memilih, disenaraikan beberapa ciri penting yang patut diberi:

1. Penilaian

Mesin menyertakan penilaian AAA atau A+AA (mewakili kecekapan guna tenaga, membasuh dan prestasi membilas sekali gus mengeringkan pakaian) meskipun menawarkan harga tinggi namun lebih ekonomikal untuk kegunaan jangka masa panjang. Sistem pengeringan berkesan membantu mengeringkan pakaian dengan lebih baik

2. Saiz muatan

Mesin boleh memuatkan sehingga enam kilogram muatan mendapat sambutan hangat malah disebabkan keperluan mendesak lebih-lebih lagi bagi keluarga besar dan mempunyai anak kecil, mesin menawarkan muatan bermula tujuh hingga sepuluh kilogram lebih laris di pasaran. Rekaan pintar membolehkan sebarang jenama mesin basuh dengan saiz muatan besar ditempatkan di mana jua sudut kediaman khusus untuknya seperti penjuru bilik air serta ruang utiliti.

Begitupun, saiz mesin basuh tidak menentukan untung rugi memilikinya sebaliknya bergantung kepada sikap anda ketika menggunakannya. Untuk lebih ekonomi, anda diingatkan membasuh dengan muatan penuh berbanding memilih memenuhi ruang di dalamnya dengan dua tiga helai pakaian saja.

3. Kelajuan membilas

Mesin yang berputar laju ketika proses membilas mampu menjimatkan masa bagi mengeringkan pakaian berkenaan. Ia juga menjadikan pakaian kurang renyuk dan berkedut. Mesin dengan kelajuan 1200 putaran per minit memadai memenuhi keperluan dobi anda.

4. Penderiaan Auto (Auto Sensing)

Teknologi menyelaraskan kemasukan sejumlah air untuk tujuan membasuh sebelum tiba masa membilas. Ia memastikan operasi optimum mesin menggunakan tenaga serta air yang minimum.

5. Panel kawalan

Arahan LED digital yang dipamerkan biasanya mudah dibaca dan digunakan. Petunjuk masa sangat berguna kerana membantu kita mengagak tempoh pakaian selesai dibasuh dan lazimnya, pengguna boleh menetapkan sendiri tempoh cucian mengikut kesesuaian serta keperluan sendiri.

6. Tahap bunyi

Pengeluar mengukur tahap kebisingannya dalam kiraan desibel. Mesin basuh diprogramkan tahap bunyi 40s boleh dianggap senyap. Semak tahap desibel mesin anda terlebih dulu sebelum mengambil keputusan menempatkannya di bilik atau ruang terbuka.

7. Fungsi pengering

Bagi mereka jarang menggunakan fungsi pengering, disyorkan memilih mesin basuh automatik. Namun, kelemahannya tidak boleh membasuh dan mengeringkan pakaian serentak dan berkemungkinan besar menyebabkan urusan mencuci tertunggak. Proses mengeringkan sebenarnya perlu dilakukan dalam jumlah yang kecil namun ada ketikanya membabitkan muatan lima kilogram juga.

Sumber: Harian Metro - 1Klassifieds - Oleh Bennie Zie Fauzi 

No comments: