Wednesday, September 7, 2011

Langkah perlu lindungi harta

SETIAP kali Aidilfitri, suasana di bandar, apatah lagi ibu negara, pasti lengang kerana kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman meraikan kehadiran Syawal dengan keluarga tersayang.

Mereka membawa pulang baju raya, kuih muih dan perhiasan diri, tetapi sebahagian wang tunai dan barangan kemas mungkin disimpan di rumah.

Namun, meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung di musim perayaan tidak boleh dianggap semudah itu.

Soal keselamatan rumah perlu diambil kira selain diri sendiri tidak terdedah dengan kepada sebarang perlakuan jenayah, terutama ragut.

Bagi yang ingin pulang ke kampung, kegembiraan yang terpancar di wajah ketika menghidupkan enjin kenderaan masing-masing tidak harus menjadi penyebab untuk kita leka dalam memastikan semua barangan berharga serta sistem keselamatan rumah dipertingkatkan.

Seelok-eloknya, barangan berharga seperti wang tunai dan barangan kemas yang tidak dibawa bersama ke kampung tidak disimpan di dalam rumah, sebaliknya dihantar ke institusi yang menyediakan perkhidmatan menyimpannya.

Seperti yang kita ketahui, lazimnya penjenayah 'tersenyum lebar' jika mereka merasakan ada ruang untuk memecah masuk dan bermaharajalela dalam rumah yang ditinggalkan dan biasanya kawasan elit menjadi lokasi sasaran.

Walaupun sesetengah taman perumahan dikawal pengawal keselamatan di jalan masuk dan keluar, pemilik rumah tidak harus mengetepikan soal keselamatan harta benda.

Harus diingatkan, ada antara kita kurang mengambil berat aspek keselamatan dalam rumah, terutama membabitkan pintu, tingkap dan siling, sedangkan ketiga-tiganya menjadi tumpuan penjenayah.

Betapa tidak, itulah sebenarnya laluan masuk penjenayah setiap kali memecah masuk rumah mangsa dan musim perayaan biasanya menjadi masa sesuai bagi mereka menjalankan aktiviti jahat berkenaan.

Tidak dinafikan, polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan kediaman tetapi tidak harus dijadikan alasan untuk kita mengabaikan keselamatan harta benda kerana ia sebenarnya tanggungjawab pemiliknya. Pihak berkuasa hanya boleh melakukan rondaan di luar rumah.

Yang penting, sebelum meninggalkan rumah, kita perlu memastikan beberapa perkara antaranya, tidak menggunakan gril tanpa mangga, tidak menggunakan gril berkualiti rendah kerana mudah dipotong dan tidak menggunakan mangga berkualiti rendah.

Pemilik rumah yang memiliki tingkap rumah berbentuk 'sliding' juga harus menitik beratkan soal gril berkualiti selain memastikan bahagian tingkap yang rosak dibaiki segera.

Bagi pemilik rumah teres pula, ruang untuk penjenayah agak besar kerana mereka gemar memecah masuk melalui siling dan cara ini lebih mudah berbanding kaedah mengumpil tingkap atau pintu.

Kecuali kes pecah bank atau kedai barangan kemas, jarang kita mendengar penjenayah korek lubang atau memecah dinding semata-mata untuk pecah masuk rumah, jadi keselamatan ketiga-tiga elemen berkenaan harus diambil berat dan jangan mencipta ruang kepada penjenayah.

Peringatan juga harus diberi kepada kaum Hawa yang ghairah membeli-belah atau bertandang ke rumah saudara mara, maklumlah mungkin ada antara mereka yang akan bergaya sakan dan memperagakan barangan kemas.

Tidak salah jika hendak berhias tetapi harus berpada dan berwaspada dan jangan terlalu mendedahkan diri kepada perlakuan jenayah, khususnya ragut yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan.

Betapa tidak, ketika inilah barangan kemas berkilauan di leher mereka selain beg galas yang biasanya berisi barangan berharga diletakkan merata-rata dan dibawa sambil lewa.

Memang tidak salah untuk berhias atau kelihatan anggun pada musim perayaan, tetapi harus dibekalkan bersama dengan sikap waspada bagi mengelak mengundang peluang kepada penjenayah demi keselamatan diri dan keluarga.

Tinggal pesan pada jiran

ORANG ramai yang ingin pulang ke kampung dan meninggalkan kediaman masing-masing dalam tempoh panjang harus meninggalkan pesan kepada jiran tetangga berserta nombor telefon supaya mudah dihubungi.

Tindakan itu perlu bagi memastikan mereka mudah dihubungi selain membolehkan jiran memerhatikan rumah mereka jika secara lebih kerap dan mengesan sebarang kecurigaan yang berlaku sepanjang rumah kosong.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selain meningkatkan sistem keselamatan rumah masing-masing, peralatan seperti tangga dan pertukangan disimpan di tempat tertentu supaya penjenayah tidak menggunakannya untuk memecah masuk.

"Mereka juga dinasihatkan memotong ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah dan memasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman dan boleh mengesan penceroboh jika berkemampuan.

"Sebenarnya langkah itu bukan saja perlu dilakukan ketika musim perayaan kerana jenayah pecah rumah berlaku jika peluang terbuka untuk penjenayah," katanya kepada Metro Ahad.

Apapun, katanya, semangat kejiranan memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan seperti ini.

Jiran yang menyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan di rumah yang tiada penghuni perlu segera menghubungi polis.

Mengenai kes ragut yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan, Ramli berkata, berdasarkan statistik, hampir semua negeri mencatat penurunan kecuali Perlis yang menunjukkan peningkatan 50 kes.

"Statistik di negeri itu meningkat kepada 58 kes pada 2010 berbanding tahun sebelumnya dan secara keseluruhan kes ragut boleh dikatakan menurun kerana semua negeri mencatat penurunan, dengan ada antaranya mencecah kepada 80 peratus.

"Negeri Sembilan mencatat penurunan daripada 273 kes kepada 55 pada tahun sama dan kejayaan itu hasil kerjasama orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa bekerjasama dengan polis," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, katanya, Melaka mencatatkan peningkatan 22 kes kepada 96 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya manakala negeri lain mencatatkan penurunan.

Sumber: Metro Ahad - Sun, Aug 28, 2011 - Informasi Elektif - Oleh Hadzlan Hassan

No comments: