Friday, March 6, 2009

Anggur Perlis


DULU, cubaan Malaysia untuk menanam anggur dianggap mustahil, sehingga memaksa ramai di antara kita berkunjung ke negara orang untuk merasai sendiri pengalaman lawatan ke kebun anggur.
Namun, kini semua itu tidak lagi mustahil kerana peluang untuk menikmati sendiri kemanisan anggur secara terus dari ladang sudah menjadi kenyataan.
Tambahan pula, anda tidak perlu berhabis ribuan ringgit untuk berkunjung ke luar negara bagi tujuan itu, kerana Perlis, sebuah negeri paling utara di Semenanjung Malaysia kini mampu menanam sendiri anggur dan hasilnya juga tidak kurang hebatnya daripada anggur import.
Malah, Perlis yang kini mengusahakan tanaman itu secara komersial, berhasrat menjadi pengeluar utama anggur di negara ini menjelang 2010 dengan mengusahakan tanaman pokok anggur di kawasan seluas 1,000 hektar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Antara anggur yang popular di Perlis kini ialah New White Malaga, IAC, Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho.
Bagaimanapun, New White Malaga dan IAC lebih mendapat perhatian atau digemari berbanding Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho.
New White Malaga mempunyai beberapa kelebihan terutama rasanya yang masam manis dan buahnya juga lebih besar. IAC pula lebih manis manakala buahnya bujur dan besar. Kedua-dua jenis anggur ini berwarna hijau tanpa biji.
Difahamkan, percubaan menanam anggur di Perlis dimulakan sejak November 1981 lalu, di kawasan seluas 0.35 hektar di Kompleks Pertanian Bukit Temiang dan hasilnya mendapati tanaman terbabit bersesuaian dengan iklim serta cuaca Perlis yang unik .
Pada peringkat pertama, penanaman anggur dimulakan dengan jenis Isabelle dan Cardinal dari yang berasal dari Amerika Syarikat, selain New White Malaga dari Thailand dan jenis IAC dari Taiwan.
Ini kemudian diikuti dengan penanaman anggur dari jenis Black Opal, Kyoho, Green Lose Perlette pada peringkat kedua penanaman di kawasan sama.
Hasilnya, anggur daripada jenis Isabelle, IAC dan New White Malaga mengambil masa antara 7 hingga 9 bulan untuk matang sepenuhnya, manakala Black Opal dan Green Loose Perlete serta Cardinal pula antara 9 hingga 12 bulan.
Malah, hasil kajian juga mendapati tanaman anggur terutama jenis New White Malaga yang berusia empat atau lima tahun mampu mengeluarkan hasil sehingga 10 tan semusim atau kira-kira 20 tan setahun. Sementara daripada jenis IAC pula sebanyak lapan tan semusim atau 16 tan setahun.
Berdasarkan keunikan ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian negeri dan Tourism Malaysia mula mewartakan Pusat Pertanian Bukit Bintang II sebagai lokasi tarikan agro-pelancongan negeri, sekali gus menjadikan anggur sebagai produk utama konsep pelancongan terbabit.
Malah, penanaman anggur di kawasan terbabit juga semakin maju dan berkembang, manakala segala infrastruktur dan kemudahan asas lain juga turut dinaik taraf untuk menarik pengunjung, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan negeri.
Ini termasuk pembinaan Laman Informasi dan Jualan bernilai RM1.6 juta yang baru diluluskan Kementerian Pelancongan baru-baru ini, sebagai nilai tambah kepada infrastruktur pelancongan di Pusat Pertanian Bukit Bintang II.
Laman Informasi dan Jualan berkenaan yang akan dibina di atas tapak seluas 1,200 meter persegi itu akan dilengkapi dataran terbuka, dewan pelbagai guna (MPH), pusat jualan produk anggur basah dan kering selain kafeteria dan kemudahan asas lain.
Untuk rekod, statistik Jabatan Pertanian Perlis menunjukkan Pusat Pertanian Bukit Bintang II yang menempatkan ladang anggur dan mempelam harumanis menerima 2,800 pengunjung bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini. Jumlah itu dilaporkan meningkat berbanding 1,230 pengunjung pada 2006 dan 2,500 pada tahun lalu.
INFO
* Percubaan menanam anggur di Perlis dimulakan sejak November 1981.
* Ia ditanam di Kompleks Pertanian Bukit Temiang kawasan seluas 0.35 hektar.
* Peringkat pertama, penanaman anggur dimulakan dengan jenis Isabelle dan Cardinal yang berasal dari Amerika Syarikat, manakala New White Malaga (Thailand) dan IAC (Taiwan).
* Anggur jenis Black Opal, Kyoho, Green Lose Perlette ditanam pada peringkat kedua.
* Jenis anggur Isabelle, IAC dan New White Malaga mengambil masa antara 7 hingga 9 bulan untuk matang sepenuhnya.
* Black Opal dan Green Loose Perlete serta Cardinal pula antara 9 hingga 12 bulan.
* Statistik menunjukkan Pusat Pertanian Bukit Bintang II yang menempatkan ladang anggur dan mempelam harumanis menerima 2,800 pengunjung bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

No comments: