Friday, January 27, 2012

Iktibar kisah Laut Mati

Penulis: Mohd Hassan Adli Yahya 






MENJEJAKKAN kaki di Jordan sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara memori paling tidak dapat saya lupakan walaupun sudah empat tahun pengalaman itu berlalu.

Waktu itu cuti semester dan saya bersama beberapa rakan sempat melawat beberapa tempat yang sememangnya mempunyai kisah serta sejarahnya yang tersendiri di Jordan.

Antaranya, pengalaman sewaktu menjejakkan kaki di  Laut Mati yang sinonim dengan kisah Nabi Lut AS dan kaumnya. Pastinya  ramai tahu mengenai Laut Mati, iaitu pada asalnya dikenali sebagai tasik tetapi kemudian diiktiraf sebagai laut.

Terletak bersempadan dengan Jordan dan Tebing Barat (Israel), Laut Mati kawasan paling rendah di muka bumi yang tidak dilitupi ais, iaitu serendah 418 meter di bawah aras laut dengan panjang laut sejauh  67 kilometer dan lebar 18 kilometer.

Laut Mati juga terkenal sebagai tasik paling masin di dunia dengan kadar ketumpatan 30 peratus lebih masin daripada air laut biasa.

Walaupun memiliki kedalaman sehingga 330 meter, kadar ketumpatannya menyebabkan tidak ada hidupan yang boleh hidup dan sesiapa yang terjun ke dalamnya pasti tidak tenggelam.

Namun, dalam ruangan kali ini bukan mengenai sifat luar biasa laut yang ingin dicungkil, sebaliknya kisah atau sejarah Laut Mati yang boleh dijadikan panduan supaya tidak mengulangi kesilapan umat terdahulu.

Dalam kisah yang pernah disebutkan, Laut Mati dikatakan tapak kawasan bagi sebuah kota yang maju dikenali sebagai 'Sadum'.

Kisah masyarakat Sadum banyak dinyatakan dalam al-Quran di mana walaupun maju, mereka memiliki nilai moral rendah, rosak nilai intelektualnya serta menolak ajaran agama yang dibawa Nabi Lut. Mereka terbabit dengan kemungkaran apabila maksiat bermaharajalela dalam pergaulan hidup.

Bukan itu saja, masyarakat itu juga mengamalkan penindasan terhadap kaum lemah. Pendek kata, seorang pendatang tidak akan berasa selamat jika memasuki Kota Sadum.

Kerosakan akhlak masyarakat Sadum sangat teruk apabila mereka turut mengamalkan seks luar tabii (homoseksual) sesama jenis antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita.

Berdasarkan kisah diceritakan, seorang pendatang lelaki yang tampan paras rupanya pasti menjadi rebutan dan 'korban' oleh lelaki kaum ini, dan begitu juga jika pendatang itu seorang wanita.

Kedua-dua jenis kemungkaran ini bermaharajalela di dalam masyarakat ini hingga menjadi budaya kaum Sadum.

Amalan cinta sejenis ini mendapat kemurkaan Allah SWT di dalam al-Quran.

Malah, dalam al-Quran juga Allah merakamkan dialog antara Nabi Lut dan kaumnya melalui surah Asy-Syu'ara, ayat 165 hingga 168, yang bermaksud: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki daripada kalangan manusia? Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan halal) dari badan isteri kamu?

"(Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas! (keinginan kebanyakan haiwan). Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar.

"Bagaimanapun, Nabi Lut menjawab: Sesungguhnya aku daripada kalangan orang yang membenci perbuatan kamu yang keji itu."

Kemuncak kisah ini apabila Allah SWT mengutuskan beberapa Malaikat-Nya menyerupai lelaki tampan ke Kota Sadum dan menumpang di rumah Nabi Lut.

Kehadiran lelaki tampan ini dihebahkan oleh isteri Nabi Lut. Maka berebut-rebutlah mereka datang ke rumah Nabi Lut untuk menggoda lelaki terbabit.

Akhirnya mereka (termasuk isteri Nabi Lut) ditimpa bencana dan azab daripada Allah. Kisah ini dinyatakan Allah dalam surah Asy-Syu'ara, ayat 172 dan 173, yang bermaksud: "Kemudian kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). Dan kami hujani mereka dengan hujan azab (azab yang membinasakan); maka amat buruklah hujan azab yang menimpa kaum yang sudah diberi amaran."

Itu kisah mengenai masyarakat Sadum dan menyentuh mengenai hubung kait kisah ini, pasti kita sering membaca atau mendengar laporan berita mengenai gejala songsang yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di kalangan masyarakat kita.

Siapa yang tak tahu mengenai kumpulan pengkid, tomboy dan gay? Yang pasti, mereka terjebak dengan gejala homoseksual dan berani mencabar fitrah Allah yang menjadikan manusia berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan.

Menyedihkan, baru-baru ini kita dikejut dengan perkahwinan sejenis antara seorang jejaka Melayu bersama 'suaminya' di luar negara.

Mungkin kerana 'perkahwinan' ini satu jenayah di negara kita, mereka melakukan perkara terlarang ini di luar negara.

Bagi sesetengah negara seperti Belanda, Ireland dan beberapa negara lain, khususnya di Eropah, perkahwinan sesama jenis dibenarkan atas alasan menjaga 'hak asasi manusia'.

Jika kita imbas peristiwa yang berlaku di negara kita, beberapa bulan lalu kita digemparkan dengan satu kes tuntutan mahkamah bagi menukar status jantina seorang lelaki dalam kad pengenalannya kepada wanita.

Lebih menyedihkan, apabila segelintir individu ini ditemuramah, mereka tanpa setitik rasa bersalah dan berdosa, menyatakan masih menganut agama Islam dan mengamalkan ajaran Islam.

Kononnya mahu meredakan kemarahan masyarakat, tetapi secara terang-terangan menunjukkan jahilnya mereka mengenai Islam. Kenyataan jahil ini juga sebenarnya boleh memesongkan pemahaman orang yang kurang arif mengenai agama Islam.

Apa guna mengaku masih Islam jika Rasulullah SAW melaknat mereka yang melakukan amalan songsang. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah, & Ahmad)

Dalam hadis lain pula, Rasulullah SAW bersabda: "Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga (antaranya); perempuan yang meniru dan berkelakuan seperti lelaki." (Riwayat Ahmad).

Namun, memang pelik apabila manusia sekarang kononnya merasakan lebih bijak daripada Penciptanya dengan memperjuangkan apa yang dilarang atas tiket 'hak asasi manusia'.

Sesungguhnya Allah meninggalkan sebahagian daripada kesan bencana dan azab yang menimpa umat terdahulu seperti Laut Mati untuk menjadi iktibar kepada umat zaman sekarang.

Namun disebabkan kejahilan, ia tidak digunakan sebagai panduan hidup sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut, ayat 35, yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang mahu memahaminya."

Sumber: Metro Ahad - Sun, Jan 22, 2012 - Ekspresi

Thursday, January 26, 2012

Kaedah atasi alahan

UNTUK mengatasi masalah alahan, amalkan petua berikut:

* Elak membela binatang berbulu dalam rumah seperti kucing, arnab dan anjing

* Elak menggunakan kain selimut yang diperbuat daripada bulu binatang, sebaliknya gunakan selimut yang diperbuat daripada bahan sintetik (tiruan)

* Elak menggunakan tilam dan bantal yang diperbuat daripada bulu binatang. Selalu basuh sarung tilam dan bantal dengan air panas untuk membunuh pijat atau serangga dan membuang habuk sekurang-kurangnya dua kali seminggu

* Gunakan pembersih hampa gas yang baik dan mempunyai penapis baik

* Kurangkan penggunaan permaidani dan set sofa yang dibaluti kain atau bulu

* Untuk katil dua tingkat, pengguna katil di tingkat bawah perlu berhati- hati kerana anda menyedut segala habuk daripada tilam atas

* Selalu basuh barang permainan yang lembut

*  Simpan pakaian di dalam almari yang tertutup

* Elak menggunakan tirai langsir yang berat dan banyak kain. Seandainya panel penyaring nyamuk dipasang pada tingkap rumah, pastikan ia bersih

* Gunakan kain yang lembap untuk mengelap barangan alat perkakas rumah

* Amalkan pemakaian penutup hidung ketika mengemas rumah atau perabot

* Elak memakan makanan yang anda alah

Sumber: Metro Ahad - Sun, Jan 22, 2012 - 004 - Sihat

Wednesday, January 18, 2012

Lena diulit mimpi


ATAS alasan bilik tidur hanya untuk beradu dan tidak dikunjungi tetamu, anda mengabaikan saja ruang itu. Sebaiknya, belajar menghargai bilik tidur dengan mengetengahkan hiasan mengikut cita rasa atau mengambil inspirasi pereka dalaman tersohor.

Namun perlu diingat, bukan saja reka bentuk katil, almari solek serta pencahayaan perlu diberi keutamaan, sebaliknya beri perhatian kepada kepala katil yang menjadi sebahagian hiasan penting.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi mencantikkan bahagian kepala katil. Namun, apa yang paling menonjol ialah menggantung lukisan kegemaran di bahagian itu. Pilihan genrenya sepatutnya menampakkan keserasian antara cat dinding serta kemasan utama seperti cadar dan langsir. Namun, boleh saja mencuba warna kontras bagi mendapatkan impak serta suasana dramatik.

Namun, lukisan sebagai hiasan dinding terbaik mengiringi katil berkaki lebar. Ia mampu menyerlahkan estetika lukisan berkenaan. Disebabkan itu, sebolehnya, buat sedikit pelaburan dengan membeli karya pelukis nama besar atau setidaktidaknya, memaparkan eksperimen seni mengagumkan.

Hindari memilih imej berskala kecil kerana sukar dilihat serta dihayati dari jauh. Untuk fikiran tidak berkecamuk selain dapat tidur lena, pastikan lukisan pilihan itu memaparkan karya mudah ditafsir, gambar pemandangan alam serta rekaan bingkai sederhana.

Lukisan itu pula perlu digantung tinggi supaya tidak ditindih bantal dan jika berhasrat menjadikannya titik tumpu ruang, pasang lampu tumpu khas memfokuskan keindahan lukisan itu saja.

Bagi katil mempunyai bod kepala namun sudah tidak menarik dipandang, kembalikan semula serinya dengan lilitan fabrik organza. Selain melindungi permukaan yang sudah calar dan buruk, fabrik jarang itu mampu mengungkap suasana romantik lalu menjadikan tidur lebih mengasyikkan.

Sesetengah rekaan katil amat membosankan, maka bantuan aksesori amat diperlukan. Bagi menambah drama selain mengekalkan katil sebagai perabot utama, tempatkan panel penghadang berukir atau bermotif menarik pada bahagian kepala katil.

Kediaman jenis apartmen memang memerlukan cahaya semula jadi supaya ruang sempit tampak segar, luas dan berudara. Namun, pencahayaan berlebihan juga tidak baik kerana mengundang rasa berbahang. Kaedah mengurangkan bahang itu adalah dengan meletakkan penghadang berhampiran tingkap. Jika kedudukannya dekat dengan kepala katil, secara tidak langsung ia membentuk sebahagian hiasan di tempat berkenaan.

Katil yang tidak menyediakan kepala, patut diletak menghimpit dinding yang dilengkapi rak terbuka serta dihiasi. Bagi yang berkemampuan, pasang kemasan kulit atau gentian PVC di dinding terbabit. Pilihan kemasan kulit sebagai kepala katil selain unik, dianggap menguntungkan kerana tahan lasak serta mudah disenggarakan. Ia hanya perlu dilap dengan kain lembap bagi membersihkannya.

Penggunaan lampu tidur berciri mudah alih dengan cahaya boleh diselaraskan juga berbaloi ditempatkan di kepala katil. Selain menemani tidur dengan cahaya samar, ia juga juga berguna bagi mereka yang gemar membaca novel, akhbar selain melayari internet sebelum melelapkan mata.

Kadangkala aksesori sampingan berperanan mengindahkan suasana bilik. Supaya ruang dilihat harmoni dan saling menyahut, pastikan pilihan corak serta warna cadar, bantal, gebar selesa, langsir dan permaidani digunakan tidak lari jauh dengan warna kepala katil.

Peringatan bagi keluarga mempunyai anak kecil yang masih tidur bersama, elak memilih kepala katil berbucu tajam. Ia dikhuatiri menyebabkan kemalangan tidak diingini, misalnya kepala terhantuk pada bucu. Justeru, demi keselamatan, anda disyorkan memilih kepala katil yang menawarkan ciri keselamatan seperti kepala dipan dan jika inginkan kayu, pastikan memilih rekaan berbucu bulat.

Gantungan cermin besar di kepala katil mewujudkan kesan luas secara ilusi. Gaya ini amat dialualukan bagi bilik luas terhad. Untuk tampak simetri, gantung sebuah lukisan menarik perhatian di dinding bertentangan dengannya. Selain cermin besar, menarik juga dilekat cermin kecil yang diatur mengikut pola corak tertentu.

Gambar kenangan menggamit memori dan bernilai sentimental. Maka, tempat paling sesuai untuknya adalah di dinding kepala katil. Bagi menguatkan lagi nilai nostalgia, pilihlah gambar bercetak hitamputih dengan bingkai rona putih. Atur dalam kedudukan mendatar dan sebaiknya, sehingga mencecah siling supaya ia juga boleh dijadikan titik fokus ruang.

Sementara, bagi pemilik katil lama, pastinya sakit mata memandang kepala katil yang sudah usang akibat kena hentaman dan digores.

Kepala katil logam atau besi tempawan lebih tidak enak dipandang berikutan catnya menggelupas dan logamnya yang mula berkarat.

Namun, jangan terus dibuang, sebaliknya kembalikan ia semula ke rupa asal melalui sarung upholsteri. Pelbagai warna serta corak boleh dicuba namun bagi yang mementingkan keseragaman, pastikan pilihan anda mengikut tema serta konsep dan seeloknya, menampilkan sama motif dengan cadar, langsir serta permaidani.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Jan 15, 2012 - Rona - Oleh Bennie Zie Fauzi

Monday, January 9, 2012

Gejala perut kembung


SELAIN jaga makan dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak, rajin-rajinlah bersenam. Banyak gangguan kesihatan diatasi dengan bersenam termasuk masalah kembung perut; nasihat seorang pakar perubatan dalam ceramah umum menjawab soalan wanita yang mengadu kerap berasa tidak selesa setiap kali selepas makan walaupun dia hanya makan sedikit.

Kembung perut atau banyak angin tidak hanya berlaku pada bayi tetapi dianggap masalah biasa yang dialami kebanyakan orang, terutama wanita.

Dianggarkan tujuh atau lapan daripada setiap 10 orang mengalami masalah gas berlebihan dan walaupun tidak berbahaya, ia boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup seseorang.

Masalah kembung perut atau pengembangan abdomen sebenarnya tidak berlaku pada perut, sebaliknya di dalam usus kecil. Biasanya ia disebabkan proses penghadaman yang tidak teratur dan mengakibatkan penghasilan lebih banyak gas daripada biasa. Kehadiran gas berlebihan ini menyebabkan perut terasa sesak dan tidak selesa.

Gejala kembung perut menandakan kita mengalami masalah tidak toleran makanan - maknanya ada jenis makanan yang boleh mengakibatkan kita berasa tidak selesa.

Ketika proses pencernaan di dalam usus, makanan dipecahkan kepada komponen nutrien untuk diserap semula sebagai tenaga. Bahan yang tertinggal ini bergerak ke dalam usus besar untuk dibuang sebagai najis.

Sesetengah bahan sisa ini menghasilkan gas metana, oksigen dan nitrogen. Namun, apabila gas dihasilkan secara berlebihan, ia menolak dinding usus yang menyebabkan kita berasa 'kembung' dan tidak selesa.

Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga dua liter gas di dalam sistem pencernaan setiap hari iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Gas oksigen, karbon dioksida dan nitrogen adalah komponen yang paling besar masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut ketika kita menelan.

Gas dalam usus datang daripada dua sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil di mana sebahagian daripadanya diserap ke dalam badan. Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).

Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas menyebabkan ketidakselesaan dan perut terasa kembung setiap kali selepas makan.

Ada dua cara semula jadi untuk mengeluarkan gas ini iaitu melalui sendawa dan kentut. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul.

Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, seperti kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula keras; makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat; banyak bercakap, bercakap terlalu cepat atau banyak berbual ketika makan; minum minuman berkarbonat, gigi palsu tidak dipasang dengan baik, tekanan (individu tertekan biasanya menelan lebih banyak udara), merokok dan makan makanan banyak lemak  mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut.

Masalah ini juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan.

Selain itu pengambilan sumber serat (sayur, buah atau kekacang) yang terlalu banyak secara mendadak; ketegangan sebelum haid (yang hilang apabila haid bermula); pengambilan pil pencegah kehamilan; kekurangan protein dan air serta terlalu banyak makan makanan masin atau diproses juga dikenal pasti boleh menyumbang kepada masalah ini.

Malah proses pemecahan makanan yang tidak tercerna juga mengakibatkan masalah gas berlebihan. Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi, makanan yang tidak diserap akan berpindah dari usus kecil ke usus besar di mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.

Antara gejala kita mengalami masalah angin berlebihan ialah:

* Kerap buang angin - Secara purata kita buang angin kira-kira 10 kali sehari. Namun kekerapan ini boleh bertukar antara enam hingga 20 kali sehari. Jika lebih daripada itu, ia dikira keterlaluan;

* Kerap sendawa - Sendawa selepas makan adalah perkara normal dan gas dikeluarkan apabila perut penuh berisi makanan. Bagaimanapun jika kerap sendawa, ia mungkin disebabkan seseorang itu menelan terlalu banyak udara dan melepaskan udara berkenaan sebelum ia sampai ke perut. Sesetengah orang sengaja menelan udara untuk membuat mereka sendawa bagi melegakan ketidakselesaan perut.

Kajian menunjukkan tindakan ini tidak memberi kelegaan, sebaliknya ia hanya menambah kandungan udara dalam perut. Malah ia boleh merangsang berlakunya masalah asid refluks iaitu aliran songsang asid dalam perut ke dalam salur makanan (asid gastrik di dalam perut tertolak ke atas ketika individu berkenaan cuba sendawa).

Selain itu sendawa yang terlalu kerap mungkin menjadi petanda kepada masalah usus atas seperti ulser peptik atau asid refluks,

* Kembung - Keadaan ini boleh disebabkan oleh kehadiran angin dalam perut dan usus. Ia juga mungkin disebabkan jangkitan bakteria H pylori;

* Sakit perut atau rasa tidak selesa - Ia adalah masalah biasa tetapi kadangkala gejala ini boleh mengelirukan. Pengumpulan gas dalam usus yang menyebabkan kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus, sama ada di kiri atau kanan. Jika pengumpulan gas berlaku pada bahagian kiri usus, mungkin ditafsir sebagai penyakit jantung dan jika di belah kanan pula, ia menyerupai masalah batu hempedu atau apendiks.

Masalah gas berlebihan ini boleh diatasi dengan beberapa cara, antaranya:

* Perubahan pada makanan - Kenal pasti makanan yang boleh menyebabkan banyak angin seperti bunga kubis, kubis, brokoli, kekacang, kebanyakan makanan berkanji kecuali beras (kentang, jagung, gandum), bawang serta makanan bergoreng dan banyak lemak;

* Jika anda ada masalah alahan pada gula dalam susu (laktosa); elak mengambil susu dan produk tenusu. Sebaliknya, gantikan dengan susu tanpa laktosa atau minum yogurt kerana kajian mendapati bakteria dalam yogurt (probiotik) dapat mengurangkan masalah ini;

* Kurangkan buah-buahan dan pemanis makanan kerana makanan manis mengandungi gula fruktosa juga boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus.

Usus kecil kita hanya boleh menyerap fruktosa pada jumlah tertentu dan selebihnya masuk ke dalam usus besar dan menjalani proses penapaian seperti laktosa. Elak juga pemanis makanan seperti sorbitol kerana ia sukar diserap badan;

* Elak minum minuman berkarbonat, mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula;

* Pastikan gigi palsu dipasang dengan baik;

* Tumpukan perhatian pada makanan ketika makan dan kunyah makanan perlahan-lahan sehingga benar-benar lumat;

* Perlahankan rentak percakapan;

* Tingkatkan pengambilan sumber serat secara berperingkat;

* Kerap bersenam kerana senaman semudah berjalan atau joging boleh membantu merangsang pergerakan gas dalam usus.

Metro Ahad - Sun, Jan 23, 2011 - 006 - A-All - Sihat - Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin - 1118

Thursday, January 5, 2012

Periksa air bateri seminggu sekali


BATERI kereta adalah sistem penyalaan dan menyimpan tenaga elektrik bagi menghidupkan enjin kereta yang perlu diperiksa secara berkala.

Pelbagai jenis bateri boleh diperoleh di pasaran sama ada jenis basah atau kering.

Bagi anda yang malas untuk memeriksa atau mengambil tahu mengenai kenderaan, sebaiknya menggunakan bateri kering kerana ia tidak boleh di isi air bateri.

Bagi bateri basah, anda perlu memastikan air bateri sentiasa berada di tahap yang sesuai bagi mengelak plaknya rosak jika air kering.

Jika ada bijak menjaga bateri, ia boleh bertahan untuk tempoh bertahun atau anda mungkin terpaksa menukar bateri baru dalam tempoh enam bulan jika malas menjaganya.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk menjaga dan memelihara jangka hayat bateri sel basah untuk tempoh yang lama:

* Periksa jika terdapat kerosakan seperti retak, bocor atau penutupnya hilang dan wayar pecah.

* Periksa paras air bateri sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan menanggalkan penutup sel untuk memeriksa aras elektrolit di dalamnya.

(berhati-hati ketika menanggalkan penutup sel kerana bateri diisi dengan cecair asid menghasilkan gas hidrogen dan mudah terbakar jika terdedah api).

* Aras elektrolit sepatutnya berada di antara had atas. Jika arasnya rendah, tambahkan air bateri dengan perlahan-lahan dan berhati-hati sehingga sampai ke aras yang dikehendaki.

* Pastikan ketika menambahkan air bateri tidak melebihi parasnya yang boleh menyebabkan melimpah dan mungkin menyebabkan kerosakan pada bahagian besi lain.

* Sekiranya terdapat kesan debu putih pada terminal negatif dan positif, ia perlu dibersihkan segera.

* Bersihkan dengan menggunakan bancuhan natrium karbonat (serbuk penaik) dengan campuran air. Bancuhan ini diletak atas terminal bateri dan ia akan berbuih dan bilas dengan air biasa.

Sumber:Harian Metro - Tue, Jan 3, 2012 - 002 - Variasi